Mar 27, 2016

Surat Harry Potter untuk Ron Weasley


Sahabatku, 
Ronald Weasley,



Apa sebenarnya yang terjadi antara kita? Sepertinya sulit benar untuk aku memahami setiap kejadian yang berlaku setelah malam pengumuman juara Triwizard Tournament.

Kesalkah kau padaku? Marah?
Tapi atas sebab apa, Ron?

Apa kau juga sekarang sudah seperti mereka yang lain, menyangka bahawa Harry Potter yang masyhur ini telah berjaya memanipulasi the Goblet of Fire semata-mata untuk kepentingan dirinya sendiri, untuk meningkatkan kemasyhurannya lagi, begitu ?

Ron, sahabatku.

Tidak ada insan lain yang sangat aku sayangi, sangat aku kasihi terutama di bumi Hogwarts ini melainkan kau, Ron, 
dan Hermione, yang selalu teguh di sampingku saat aku berasa aku tidak mampu. Memilikimu sebagai sahabatku merupakan peristiwa terindah dalam hidupku, 
selain berada di Hogwarts, tempat yang selayaknya ku sebut 'rumah'.

Tiga tahun ini, sudah pelbagai rencah rasa kita lalui.

Kau ingat malam penuh tragik sepanjang tahun satu kita di Hogwarts, menyusup keluar dari menara Gryffindor menuju ke sebuah bilik terlarang di koridor tingkat 3 untuk satu misi yang kita bertiga sendiri tidak tahu seperti apa kesudahannya ?
Saat kita berdua terperangkap di Platform 9 3/4 yang hampir membuat aku kecewa kerana tidak dapat kembali ke Hogwarts dan kau dengan penuh semangat berusaha meredakan aku dengan solusimu menerbangkan kereta ayahmu ke Hogwarts.
Lupakah kau pada malam saat kau dan aku menyusup ke dalam paip, laluan rahsia untuk ke Chamber of Secret yang kita sama-sama percaya Ginny sememangnya dibawa ke sana?
Melakukan benda luar alam dengan pelbagai macam peraturan sekolah yang telah kita ingkar.
Kenapa kita melakukannya Ron?
Kau kira atas alasan apa lagi  kita berjaya melepasi kesemua saat genting itu dengan izin Yang Maha Berkuasa jika tidak dengan 'percaya'?

Adakah Ronald Weasley yang sentiasa menjadi support system Harry Potter telah hilang seperti cebisan kertas yang dihanguskan Goblet of Fire lalu menjadi abu ?


Kau mampu menjadi seorang Ron yang ceria bercerita tentang hal itu dan ini, bernyanyi riang melagukan melodi harmoni seperti rutinmu setiap hari di samping teman-teman kita yang lainnya, namun denganku, bicaramu tiada, bisu seribu bahasa, memandangku sahaja kau tidak ingin.

Apapun persepsi mu terhadapku saat ini, Ron,
ada beberapa hal yang harus kau tahu,
sedih yang aku rasakan saat ini lebih sedih dari sedih hidupku 10 tahun berbumbungkan rak bawah tangga di rumah Dursley.
Sedih aku bukan disebabkan aku ditinggal sendirian tak berteman, dipulaukan orang, diboikot sahabat yang tak tergantikan, jujur, bukan itu yang menyedihkanku.

Kau tahu Ron, apa yang aku sedihkan ?
Kerana retak ukhuwah kita hanyalah disebabkan sangkaan semata.
Dan ternyata aku ini belum mampu berbuat apa-apa.



*  *  *  *  *  *  *

 

Hai orang-orang yang beriman, 
jauhilah kebanyakan daripada prasangka, 
sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu dosa,
dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain
dan janganlah ada di antara kamu yang mengumpat sebahagian yang lain.
Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya 
sesudah mati ?
Tentu kamu merasa jijik padanya.
Dan bertakwalah kepada Allah. 
Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.
[Al-Hujurat,49 ;12]


Mari memaknakan hidup kiita tanpa prasangka,
kerana yang namanya prasangka itu tidak lain hanyalah tipu daya syaitan 
untuk memecah belahkan umat manusia.

Semoga kebesaran hati Salman Al-Farisi 
yang memilih untuk memuliakan Abu Darda' 
saat malu dan kecewa membuncah dek pinangan tak bersambut
mampu ku teladani.
Semoga kisah Abu Bakar 
yang tegar menahan pedih sengatan sang kala jengking di Gua Tsur 
demi tidak ingin Rasulullah terjaga dari tidurnya,
menjadi paksi dalam diri.
Semoga sabar itu 
sentiasa dan selamanya diniatkan kerana Yang Maha Berkuasa.
Semoga.




Sudilah didoakan.
La Colline, Mohammedia.
27032016


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Transparent Teal Star