Dec 18, 2016

'Kalau tuan mudik ke hulu, carikan saya bunga kemboja


       
'Kalau tuan mudik ke hulu,
carikan saya bunga kemboja;
 

BismiLlah.
 
    Ada rangkap yang tidak habis. Ada rindu yang enggan terhakis.
 
Ah, rindu. Demikian layuhnya ia, datang menjengah sebagai tetamu malam minggu dan tahu-tahunya sudah menyelusup menyerkap di setiap penjuru, lalu kaku di situ.


Malam-malam musim sejuk ialah malam yang panjang. Malam ini malam yang kurang dinginnya bebanding semalam, dan keadaan teratak Amna yang semakin sepi. Sesekali sunyi itu diselangi dengan suara-suara jiran yang lalu lalang, juga deru enjin kenderaan.

Matbu3 Maqamat Hamadhani dialih ke tepi, laptop yang masih bercahaya ditarik ke sisi. Dan sekarang, izinkanlah saya berhikayat bebas untuk beberapa waktu,
sekadar membiarkan kenangan-kenangan tumpah keluar dari uncangnya yang digantung di dahan hati. Bimbang juga, tiba saat dahannya merapuh dan akhirnya nanti uncang itu akan terjatuh sendiri. Pasti bertambah ngilu.

Tahu konsep 'Zappin In' seperti di Music Player?
(Konsep yang mungkin boleh disamakan dengan rentak entri ini)
Konsep di mana dari satu lagu akan berpindah ke lagu seterusnya dengan rawak dalam hitungan cuma beberapa detik sahaja. Untuk entri ini, modenya ialah 'Gurindam Jiwa', atau mungkin memadai instrumental dimainkan, atau kitaro sahaja? Eceh, saja melebih!


Ini tentang seorang kakak yang saya temukan di Bumi Senja. Yang terlebih dahulu namanya saya kenal di media sebelum tuannya. Almaklumlah, pada ketika itu saya memang stalker tegar page facebook PMMM, sampaikan semua nama akaun yang berkenan di 'Add Friend'.
Entah keterikatan apa yang mengikat saya dengannya, barangkali kami sama-sama bukan dalam golongan manusia yang jaguh mengekspresi, tetapi tidaklah bermakna kami tidak menghargai setiap eksistasi.

Tidak banyak waktu yang menghimpunkan kami, dan tentulah yang tidak banyak itu sangat besar nilai dan kualiti.
Pertama kali bersua muka dengan si empunya nama di rumah kenangan tingkat 4 sebuah iqamah di bandar besar 'Rumah Putih', setelah pulang dengan penuh ketakjuban dari Hassan II. Bertemankan msamman dan seteko teh panas Lipton, saksi bisu betapa saya dimuliakannya sebagai tetamu. 'A night in Casablanca' diisi dengan ta'aruf ringkas antara kami, juga catatan pada secebis kertas putih yang ditampal pada dinding menghadap meja study.
 
"Diri ini sudah terjual habis kepada Allah.
Barang yang sudah terjual tidak boleh terjual sampai dua kali."
-Maulana Jalaluddin ArRumi-

Ringkas saja, tapi sarat makna.
Lalu saya catat ia, bekal untuk dibawa pulang esok hari.


Sekitar dua minggu setelahnya, kami berjodoh lagi di program orientasi. Rupa-rupanya, kakak fasi kami ini seorang penggemar roib dan roti!
Oh iya, kakak ini mantan Timbalan Exco Rohani.


Plot seterusnya ini, selain nilai sabar dan pengorbanan, saya belajar bahawa betapa keberkatan punya ufuk yang luas sekali.
Saya kira, saksi kenangan kami kali ini lebih menarik, dan unik.
Clinique Dar Essalam, dengan background dua buah katil bertilam dibalut cadar putih, sebatang tiang (Sesuaikah? saya kurang pasti istilah yang sebenar, maafkan saya para tabib sekalian!) di sisi katil yang menampung proses dripping, juga sebuah televisyen memecah sunyi selain bunyi rintihan makcik di katil sebelah dan kadang diselangi 'labas-ki deyra' si jururawat dan pak doktor yang bersilih ganti datang bertugas.
Saya dibawanya mengembara ke Tanah barat lewat pengkisahan pendeknya berkisarkan filem 99 Cahaya di Langit Eropah adaptasi dari karya Hanum Salsabila. Bed-time story setelah saban tahun tidak dilazimi. Umpama kembali ke zaman tadika-sekolah rendah, lena setelah didodoi cerita abah.
Puas dia bercerita, buku dibeleknya.
Penat membaca, makcik katil sebelah pula yang disapa.
Entah sudah berapa hari dia tidak ke jami3ah, segan saya untuk bertanya.
Tidak lelap dia sebelum saya lena.
Tidak tegar saya melihat dia cuma beralas tilam di lantai dingin berselimut sweater hitam si peneman setia.
Namun, apa sahaja yang mampu dikerjakan dengan wayar berselirat di kedua-dua tangan? Bangkit dari katil sahaja sudah memerlukan bantuan. Lemah benar.
Sudahlah jauh, jatuhlah pula. Sudahlah jatuh, tersungkurlah pula.
 
Dengan satu peristiwa cukup membuat saya terpana, betapa Allah SWT ingin saya belajar sekian banyak perkara.
Demikianlah bibit-bibit awal bergegarnya empangan air jernih, namun bila diperiksa, nyata masih kontang, gersang bak sahara. Resah saya mencari oasisnya, jiwa harus disegarkan segera, harus lebih kuat menjalani hari-hari setelahnya. Sudah banyak sekali mereka menabur bakti, berkorban masa, dan saya harus lebih kuat, tentunya!
Setidaknya, harus terlihat kuat di hadapan mereka.
Maha Suci Tuhan, bagaimana mampu saya membalas jasa?



Anak cina pasang lukah,
lukah dipasang di Tanjung Jati;
Di dalam hati tidak ku lupa,
sebagai rambut bersimpul mati.
 
 
 
Saya sajikan pula pemandangan indah sekitar Utara Bumi Senja. Kami berjaulah bersama-sama di sekitar penghujung musim dingin. Seperjalanan ke Bandar Biru kami duduk bersebelahan, bertukar pelbagai cerita dan kisah, topiknya sentiasa berubah-ubah; seperti Maqasid Tafsir disambung Maqamat Hariri, Imam Bukhari berbalas Ibnu Qutaibah- sebegitu bezanya skop pengajian dirasat islamiyah vs lughah.
Sesekali melontar pandangan ke jendela mengkagumi sakura yang tumbuh melata sambil membekukan memori sekeping-dua. 
Ajaibnya dia, ketika yang lain bergilir-gilir mengusir galau sekarang, dia datang dengan tenang lalu segera ditutup dan dikuncinya pintu kekesalan.
'Jangan serik.'
Demikian pesannya.                                                                                                                                                                                                            
Lalu tanpa disangka, empangan itu akhirnya pecah juga di sempadan antara dua benua, deras airnya melimpah mencurah-curah. Ah, ajaib lagi!


Berlatar belakangkan Masjid Hassan II terabadinya momen terakhir kami di Maghribi.
Di penghujung Oktober itu dia saya lepas pulang, tanpa lambaian, hanya senyuman yang menemani dari kejauhan.

 
Pejam mata perlahan, dan senyum.
Begitu ?



Dua jiwa dipisah benua.
Sekali dua bertanya khabar, bertukar berita, lincah sekali dia di Tanah ibunda, roadtour Ramadan ke sini sana, ada 'Program Sentuhan Kasih Al-Qalam' katanya.
Saya juga punya roadtour sendiri; bermula panas terik di Kota Oualili, berteduh sebentar di Makam Moulay Idris Akbar, terus lagi ke kota Fes kota warisan, singgah di Kenitra memenuhi permintaan, 3 hari mengikuti talaqqi di Rabat turun lagi ke Casablanca, naik semula ke Rabat menemui tuan Duta, lajak lagi ke Kenitra dan akhirnya diseru kembali ke daerah tenang, bertapa merentas masa ke zaman Abasiyah, zaman kegemilangan sastera, menekuni lembaran 'Seribu Satu Malam' mendaki plot kebijaksanaan dan keberanian Syahrazad dalam meleburkan kekejaman Raja Syahrayar, dan betapa majnun Qaisy dek terlalu mencintai Lailanya. Subjek Adab, manakan terpisah dari helaian berkajang?


Terakhir dari dia,
mauduk 'antara istikharah dan ikhlas' mengisi ruang bicara tanpa suara.
'Kalau kita hadam betul-betul, istikharah ni macam soalan periksa. Setiap perbuatan, percakapan, pemikiran, pilihan yang kita buat semuanya jawapan untuk soalan tadi. The best result dalam setiap urusan, walaupun benda tu kita tak suka.'

Istikharah untuk minta Allah pandu dalam pilihan-pilihan yang datang dalam kehidupan seharian kita. Meski untuk sekecil-kecil pilihan yang perlu diputuskan, tetap ia akan memberi kesan.
Dan hari-hari yang kita lalui, sama ada baik atau buruk, bagus atau teruk, pastilah punya hikmah yang sempurna. Kerana yang terbaik itu tidak dapat kita ukur dengan  alat pengukur biasa, bukan juga dengan cara-cara kita. Untuk itu, semoga kita tergolong dalam golongan hamba-hambaNya yang ikhlas menerima.
Semoga.


Burung merpati terbang seribu,
hinggap seekor di tengah laman;
Hendak mati di hujung kuku,
hendak berkubur di tapak tangan.
 

Minggu lalu, menerima notifikasi yang tidak disangka-sangka.

Sekuntum bunga lagi sudah dipetik.
Selamat menemukan kunci syurga buat kakak yang penuh inspirasi, yang kaya jiwa lagi besar hati. Selamat melangkah ke fasa mendepan dengan keimanan dan ketaqwaan bersama teman sejati sehidup semati sesyurga.
BarakaLlahu lakouma :)

 
Moga kita ketemu lagi dalam doa-doa dan mimpi, dari mimpi ke diksi, diksi menjadi realiti.
Nah, sekarang saya sambung rangkap tadi,


Kalau tuan mati dahulu,
Nantikan saya di pintu syurga.'






Mohammedia
diselimuti musim pertempuran minda dan pena.
Semester akhir untuk bermesra
dengan prosa dan sastera.
Sedih, tapi lega juga.
 
Sang pungguk di malam minggu
Teratak Amna
17122016
 

2 comments:

saifullah muhamad said...

salut ! comment ça va ?
#try

Mjhri said...

!انت هيبۃ جدا

Minta tunjuk ajar. 😋

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Transparent Teal Star