May 5, 2017

Surat untuk 'Musa' : Tentang Tulisan dan Kita

Menemui 'Musa'ku di seberang,
Assalamualaikum wbt.

Ku awali surat ini dengan kata maaf. Coretan ini ialah coretan yang tertunda setelah sekian lama. Dengan izinNya hari ini ku gagahkan jemari memunggah kembali 'isi'nya, supaya mampu kau baca selari situasi.

Terfikir juga, apalah yang aku sibukkan sebenarnya?
Entah apa pula gambaran yang muncul di benakmu membayangkan kesibukan-kesibukan yangku nyatakan sebagai siswi semester akhir yang bukan terakhir di Bumi Senja ini.
Rutinlah, ulang alik ke jami3ah menghadiri kuliah, bertemu rakan sekelas meminta murajaah, tidakkah engkau juga senasib denganku? Minggu lalu bertemu Dr Lahlal, meneruskan diskusi berkenaan tugasan tambahan daripada beliau yang masih tergendala dek memilih mendahulukan bahath untuk dihantar segera pada Dr Harbouch.
Bahath. Usai 3 kali penolakan dan waktu pantas berjalan, lalu setelah itu aku memutuskan untuk akur saja dengan tajuk pilihan musyrifah. Selayaknya sekarang aku mengatakan bahawa menulis dalam ketergesaan itu renyah, sahabat, perasaannya kurang menyenangkan ekoran diri tidak punya persediaan sedari awal. Apa untuk hal-hal yang sebegini mampu kita memujuk diri dengan peribahasa 'takkan lari gunung dikejar'?
Kerana realitinya jelas musyrif itu dikejar setiap minggu! Kadang menyelit di kelas Fiqhul Lughah fasl thani, kadang di depan syu3bah, kadang hanya berhenti sejenak di koridor depan tangga demi mendapatkan sepatah kalimah 'muwafaqah' daripada beliau. 'Ala kulli haal, Alhamdulillah.
Semoga para junior tidak mengikuti jejak langkah 11th hour 'senior mereka yang ini'.

Hari minggu pula? Jarang-jarang di rumah. 
Oh iya, sekarang lagi musim semi, siang sudah memanjang. Masaku setelah kuliah tentunya diisi untuk meneleku catatan-catatan pelajaran yang lompong, mujurlah urudh yang satunya itu tidak jadi (sedang berbahagia sekarang, tapi awas juga, ini hanya konklusi sendiri sebenarnya), yang satu lagi pula Alhamdulillah sudah dilepasi, dua bulan persediaannya, walhal pembentangannya 2 minit cuma! Menurutmu, ajaib tidak itu?

Musim semi ini, malam menjadi singkat kembali, fasa yang aman untuk kerap menjengah ke sutuh, menengadah langit malam yang kadang tidak berbintang, memerhati rembulan yang tidaklah setiap malam ia kelihatan, tetap sahaja berbicara dengan alam itu mendamaikan. Cuma debu dari jalan yang sedikit menyesakkan.
Lihatlah, sahabat, memperihal 'kesibukan' sahaja sudah sepanjang ini? Haha!
Dan dari sekian banyak kesibukan ini, mengingatkanku pesan yang kau titipkan pada rentetan naratif waktu yang telah sama-sama kita lewati; "sesibuk mana pun kita, masa dengan Al-Quran jangan sesekali diabaikan."
Itulah kita; kadang terlupa, atau barangkali kurang cakna. Seringkali harus ada yang mengingatkan tentang perkara-perkara yang sudah kita tahu, harus diingatkan, harus diulang-ulang. Memahami konsep ini seakan-akan menghubung kaitkan manifestasi 31 kali ayat berulang dalam surah Ar-Rahman.
Harapanku cuma satu, semoga kesibukan-kesibukan kita ini semakin membawa kita taqarrub padaNya, menjauhkan kita dari hal-hal yang sia-sia.


Sahabat, bagaimana khabarmu sekarang? Masihkah sama rutinmu?
Seperti yang terkisah di dinding facebookmu saatku terjah di beberapa sela waktu dahulu?

Berminat benar engkau dengan perpustakaan yang aku kisahkan itu, ya? Ayuh, lekaslah ke Maghribi, akan ku bawa kau ke sana sebagai tempat kedua di wilayah Casablanca yang mesti kau lawati selepas Masjid Hassan II;
Bibliotheque Al Saoud namanya.
Lokasinya berhadapan pantai dan Shopping Complex Anfa-yang aku gambarkan ia ala-ala The Curve, Kota Damansara berdasarkan landskap dan binaan pada bahagian belakangnya. Perpustakaan ini tidaklah termasuk dalam senarai -18 Stunning Libraries Around The World that will make you wanna read- yang sempatku baca beberapa hari lalu. Tidak se'gah' itu. 
Begitupun ia, cukuplah tempat ini mampu membuatkan aku terlupa jam di tangan menunjukkan pukul berapa. Banyak bahan bacaan/rujukan lisaniyat, adab, falsafah, qanun, fiqh, pelbagai jenis mu3jam serta majal lainnya yang boleh kita terokai di sana. Yang sering menjadi kunjungan siswa/wi Malaysia ada dua bahagian utama; Janah Ibnu Rusyd dan Janah Ibnu Khaldun. 
Seperkara lagi tentangnya, perpustakaan ini bersambung dengan masjid di halaman sebelah. Berbezanya masjid ini ialah iqamat untuk solat tidak sesegera masjid-masjid lainnya, iqamatnya dianggarkan usai 15 minit azan dilaungkan. Fuhh, satu kelegaan bagi kita, dapatlah muslimat berwudhu' dengan tenang.

Untuk semester ini, itulah latar tempat ranking kedua teratas (Dar As-Tsaqafah pun sudah jatuh nombor 3) yang menyaksikan pergelutan aku dan bahath, selain jami3ah sendiri. Cuma akhir-akhir ini saja aku tidak lagi ke sana. Hendak dikata jauh jaraknya, tidak juga. Aku hanya perlu menaiki bas 900, turun di Casa Port dan menaiki bas kedua; bas bernombor 9 yang akan menuju ke Anfaplace. Andai bertiga, bolehlah terus menahan teksi merah dari depan Casa Port dan terus sampai ke depan masjid maktabah, jimat masa! Ah ya, tentang perjalanan pulang tidak perlulah dikhuwatirkan, aku lebih gemar menaiki teksi kabeer dari depan masjid maktabah yang kemudiannya akan berhenti di madinah dan setelah itu menapak ke bus stop, juga menaiki bas 900 untuk pulang ke Mohammedia.
Tempoh hari aku membawa seorang temanku dari Kenitra ke sana, dari Kenitra ke Casablanca 2 jam durasi perjalanan menaiki keretapi. Seperti selalunya, ONCF menjadi pilihan yang memberi khidmat pengangkutan buat anak-anak Malaysia di Tanah Argan. Semester ini  8 subjek ditekuni temanku itu, ditambah bahath juga. Mengingatkan kegigihannya semakin membuatkan aku bersyukur, kagum aku dengan semangat juangnya. Terima kasih untuk seorang dia yang menyuntik inspirasi dalam diam. Sudilah didoakan dia, ya?



Antara koleksi design last summer. Er, ada satu printed version tapi lupa dalam buku yang mana letaknya.


Hujung minggu lalu juga tidak aku berteleku di daerah tenang ini. Awalnya melunasi persetujuan dengan warga kedutaan untuk menyertai Hari Asian di Rabat, dan keesokannya menghadirkan diri ke diskusi ahlul lughah di Kenitra (atau nama rasminya Al-ayyam Ad-dirasiyyah) julung-julung kali begini; legend arabiyyah in the house semuanya, Alhamdulillah, meriah Villa Chellah.

Yang ingin aku kisahkan padamu adalah seputar perbualan tidak dirancangku dengan seorang adik yang baru selesai bermesyuarat pimpinan, ba3da Asar sebelum berangkat pulang, dia membuka maudu3 penulisan. Langsung serta merta melodinya menjadi rancak mendahului rentak. Berkongsi kriteria penulisan yang diminati, tentang genre yang berubah-ubah seiring mendewasa bersama pengalaman dan usia, tentang 'Cerpen-Cerpen Terengganu' (eh? masuk juga!), tentang menulis itu sendiri merupakan terapi untuk kami selayaknya ia, tentang penulis-penulis yang sudah berjaya menambat hati. Ma shaa Allah, ajaib ya manusia, bagaimana kita (berasa) mengenal sesorang itu hanya dengan kata-kata?
Lanjutku lagi, betapa semenjak menghadiri Slot Protokol pada April yang lalu menyedarkan aku bahawa hampir kebanyakan karya Hlovate secara tidak langsung memaparkan etiket rasmi dan ilmu sosiologi.

'Tabadul' antara kami berlaku secara berterusan, walau pada dasarnya aku kira perbualan kami lebih berkonsepkan behavior theory semata, hah!
Bagaimana tidak, dia menghujaniku dengan soalan-soalan yang tak terjangkakan.
Terima kasih juga untuk dia yang ini, sudah membuka satu ruang introspeksi dan telah aku letakkan diriku sebagai watak utama. Benar sahabat, setiap satu kejadian yang berlaku harus lah kita berbalik pada diri sendiri juga, dan pada akhirnya, sedarlah kita; penglibatan Allah itu dalam setiap peristiwa, sebenarnya.

Sahabat, di tepian muara pada satu hujung minggu aku temukan ini, tulisan yang telah menggabungkan dua kecintaan, yang ku rasakan aman untuk aku berbagi; 

"Kita amat menghargai, ketika membaca apa-apa tulisan, apabila si penulis berjaya mengungkapkan perasaan kita yang tak terluahkan. Apabila penulis berjaya melukiskan perasaan itu, sedang kita sedia tahu, bahan yang sama untuk melukisnya ada pada kita.
Mungkin, berus lukisannya lebih baik, seni tangannya lebih halus, kualiti cat dan dakwatnya lebih bagus, kanvasnya lebih baik.
Tetaplah, andai kita punya semua itu, belum tentu lukisan yang terhasil akan sama, secantik yang kita lihat.
Lega. Dan bahagia. Ada cemburu juga.
Lega kerana kita tidak sendirian. Bahagia kerana kita tahu, rupanya lukisan itu sedia ada dalam hati kita, cuma tidak terzahirkan. Dan cemburu, kerana si penulis berjaya 'melukiskan' apa yang terbuku."



Alang-alang sedang fenomena PBAKL 2017, ya kita juga barangkali seperti itu. Kita yang membaca ini umpamanya orang yang mendatangi pesta buku. Hentian kita tidak pada setiap booth jualan. Memadai dengan meninjau dari luar. Kita hanya akan berhenti dan singgah di booth yang benar-benar kita hajati atau mungkin yang berjaya mencuri hati kala itu. Ternyata bukan cuma kita yang begitu, masih banyak yang serupa dengan kita, aksi yang sama. Dan dalam keramaian itu, tidak pula kita perlu menegur mereka, sama seperti mereka tidak harus menegur kita. Cukup sekadar memahami, yang berada di pesta buku itu punya hajat-hajat yang tersendiri.
Namun, ada waktunya kita akan berbual juga sepatah dua, menceritakan pengalaman masing-masing. Bila? Bila ada hari seperti hari kelmarin; semasa berprogram persatuan. Ada hari ketika kita sama-sama menaiki densha. Ada hari sekadar lewat tulisan-tulisan dari jendela media. Ada hari kita saling mengangguk kepala dan membalas senyuman. Ada pula hari kita diam sahaja tanpa bicara.

"Membaca bukan semestinya dengan buku di tangan. Melihat dan mendengar juga satu bentuk pembacaan."
-Sani Kopratasa-


Sepanjang perbualan kita pada hari-hari lampau, ada sesuatu yang belum pernah kita bahaskan secara panjang lebar. Bahan bacaan kita berkait dengan hati juga rupanya. Bagaimana?
Sudah kita maklum, setiap yang kita makan itu akan menuju ke perut untuk dicerna. Adapun setiap apa yang kita lihat, yang kita dengar, yang kita rasa akan menuju ke hati sebagai destinasinya. Sudah sampai ke hati nanti, apa pula yang jadi?
Hati kilang untuk cerna setiap apa yang kita lihat, kita dengar, kita rasa tadi. Yang kita baca juga?
Tentu, sahabat, tentu sekali! Justeru penting untuk kita memilih bahan bacaan yang baik, untuk hati kita cerna yang baik-baik, yang nantinya akan dihubungkan pula ke minda lalu terhasil lah fikiran yang baik-baik yang akhirnya menatijahkan tindakan yang baik-baik. Betapa kaitan bahan bacaan dan manusia itu sangat luar biasa impaknya, bukan?
Dan sebaik-baik bahan bacaan untuk kita, pastilah Al-Quran :)

Oh ya, sahabat.
Aku sendiri belum sempat kisahkan padamu, semester ini mengajak aku berkenalan dengan nama-nama baru (atau mungkin 'baru'nya hanya pada aku) seperti; Umberto Eko, Roland Barthes, Charles Peirce dan beberapa nama lain lagi dalam subjek Simiyaiyyat, Semiotik/Semiologi. Adapun, Ferdinand de Saussure tidak mungkin dilupakan, Saussure merupakan salah seorang pencetus kepada cabang ilmu Semiologi ini, dan Barthes setia berdiri di belakangnya.
Mari, aku perihalkan padamu gambaran amnya; Saussure di Perancis dan Peirce di Amerika hidup sezaman, Umberto Eko di Itali pula muncul pada zaman setelah kedua-dua mereka. Pokok pangkalnya berkisarkan kajian tentang tanda dan makna, seterusnya membuat relasi untuk memahami manusia dan kehidupan, membandingkan antara denotative dan connotative dalam skop bahasa yang digunakan, juga berkait rapat dengan sastera dan seni lukisan, hatta merangkumi skop antropologi dan budaya. Mengenali nama-nama itu secara tidak sengaja telah membawa aku kembali ke pembelajaran semester 3 madah Sard Hadith perihal dua tokoh yang tidak asing lagi bagi kita; Muhammad Abduh dan Al-Afghani. 
Nampak tidak? Kesemua mereka  ini dalam golongan penulis yang bukan biasa-biasa, malah punya pengaruh yang besar sekali di seantero dunia!

Ah, pembacaanku kala ini masih terbatas sebenarnya. Jika hanya merujuk syarah pensyarahku itu, selanjutnya yang diperihalkan ialah perbezaan teori Semiotik antara Peirce dan Barthes, juga sekilas teori Algirdas Julien Greimas. Teori Peirce berfokus kepada mantik dan matematik, symbol dan terma yang saling berkaitan manakala Greimas tertumpu pada riwayat dan pengucapan.
Ada sesuatu yang boleh kita cedok daripada Greimas yang menurut pensyarahku, Greimas langsung tidak tahu berbahasa Perancis pada mulanya! Sesuatu yang sangat mengejutkanku. Dan lihatlah Greimas yang digambarkan era ini, Semiotican besar juga dengan jolokan 'saintis sastera Perancis' yang menekuni bidang semiotik dan linguistik dalam jangka hayatnya. Berbalik kepada pembelajaranku di kuliah, Dr Haddawi lebih banyak menekankan teori Semiotik Peirce nampaknya, oh dan juga sedikit content daripada buku Mythology karangan Barthes dan berkenaan Nahu Ifriki, tidak akan sampai kita ke titik bertemunya golongan penulis terdahulu ini.

Beginilah aku sahabat, masih berusaha mencari keterikatan bidang ini dengan majal diini. Sudah menjadi tabiat manusia, kecenderungan terhadap sesuatu hal itu akan lebih tinggi jika sesuatu itu lebih dekat dengan diri, dengan kehidupan yang dijalani sehari-hari.
Betapa sering, bilamana sudah terasa tepu dan 'tiada hati' pada sesuatu itu, kita cuba mengubah hati sendiri, tanpa kita sedar kita sebenarnya sedang merugikan diri sendiri. Kita mungkin saja belum menjumpai nilai sebenar yang tersembunyi, justeru kuatkanlah hati untuk tetap mencari. Umpama kita mencari barang yang hilang dengan penuh pengharapan, dan bukankah saat kita berjaya menemukannya itu merupakan saat indah yang mampu mengusir segala galau hati?
Teringat kata-kata seorang sifu Arabiyah di Kenitra, beliau mengatakan lingusitik yang kita pelajari ini tidak hanya diaplikasi dalam Bahasa Arab sahaja, bahkan kesemua bahasa yang ada di dunia, sama konsepnya dengan Nahu Kulli dan Nahu Khas yang diketengahkan pak Chomsky. Hendak dirungkaikan satu persatu dalam masa yang sempit ini, lelah juga ya?


Jika tidak lelah, tidaklah pelajar namanya, iya kan?
Pesan seorang kakak
"Proses tadris dan ilmu yang dipelajari itulah tadrib sebenar. Adapun ujian itu platform untuk lebih memahami durus. 'Faham' dan 'ilham' itu datang seiring. Kefahaman boleh dicapai, tapi ilham akan lebih mudah diperoleh jika dicari dengan hati."
Ya, sahabat, masih kita bicarakan peranan hati.


Jujurku katakan, tidaklah aku niatkan coretan ini menjadi panjang, hasratku cuma ingin meredakan semusim gelora di jiwamu yang menanti dari seberang.

Sebelum ku akhiri coretan ini, ingin aku kongsikan sebaris doa yang nyaman.
Doa ini diajarkan oleh seorang kakak bilamana kita diberi puji, atau disanjung tinggi . Selain meng'Aamiin'kan dan ungkapan 'hadza min fahdli Rabbi', ucapkanlah doa ini;

اللهم اجعلني خيرًا مِمّا يَظُنُّون

Andai engkau umpamakan engkau-aku : Musa-Harun, maka doa-sabar juga begitu, sahabat.

اللهم بارك لنا في شعبان
Semoga Syaaban ini membuka lembaran juhud yang lebih tinggi dalam diri.
 اللهم بلّغنا رمضان
Semoga Ramadan nanti kita jemput dengan hati yang sejahtera, yang redha lagi diredhai.


Selamanya, semoga ukhuwah kita persis persahabatan antara Harry Potter dan Ronald Weasley, seperti Chad dan Fend penghidup cerita 'Contengan Jalanan', juga Elya Khadeeja dan Asiah Yusra dalam Tautan Hati, Laksamana Sunan dan Djailuh dalam siri penulisan RAM, seperti Teme dan Ahmad teraju utama Arkitek Jalanan (k, memanglah tak baca lagi -.-)
Seperti Musa dan Harun, dan persahabatan dengan nilai tertinggi tidak lain dan tidak bukan, qudwah kita selamanya; habeebuna Rasulullah SAW dan Abu Bakar As-Siddiq.
Mudah-mudahan seungkap namaku sentiasa tumbuh mekar dalam doa-doamu.


“ ...dan jadikanlah untukku seorang pembantu dari keluargaku, (iaitu) Harun, saudaraku, teguhkanlah kekuatanku dengan adanya dia, dan jadikankanlah dia sekutu dalam urusanku,agar Kami banyak bertasbih kepada-Mu, dan banyak mengingat-Mu, sesungguhnya Engkau Maha Melihat (keadaan) kami.”
[Surah Taha : 29-35]




Sekian dulu,
'Harun'mu.
Jumaat yang redup, seredup rabitah kita
 Semakin menuju pertengahan Syaaban, 05052017
Daerah tenang

p/s: Hampir terlupa pula, aku temukan sesuatu yang mengujakan hasil kutipan daripada video Ustazah Norhafizah Musa berkenaan '7 Habits' yang aku kira kita boleh aplikasikan ia menjadi tips berguna menjelang Ramadhan. Nanti-nanti lapang lagi, aku tintakan, ya? Moga Allah izinkan :)

1 comment:

AinulZaidi97 said...

Akak.. tulisan akak.. 😭😭.. sangat menbalut hati.. mengingatkan saya pada Buya HAMKA.. dan penulis idola, Kang Abik..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Transparent Teal Star