Nov 5, 2017

Dik

Bismillah.



Prolog:
Adik yang nak SPM takda tahun ni, coming up next kena tunggu beberapa tahun lagi. 
Tapi ini, dedikasi buat adik yang menginjak alam universiti. (Adik-adik SPM 2017 boleh baca entri ni tahun depan XD )



Dik
Pantas sekali percaturan waktu.
Peralihannya umpama bicara kita yang dulunya berkisarkan jiran dan teman sepermainan yang memanggil-manggil dari luar pagar rumah setiap petang. Kita sama-sama membesar zaman Anak-Anak Sidek, yang segala-galanya bermula dengan usaha, tidak seperti zaman ini, kanak-kanak mengenali Boboyboi yang meraih kejayaan dengan 'kuasa'. Kita bersaing mengingat nama-nama 25 Rasul dan lirik lagu Hijjaz ekoran terikut-ikut kaset kepunyaan Maksu, mengenal Si Botet, Naruto dan Mirmo Zibang di saluran TV biasa, tanpa Astro.
Kita, yang lebih dahulu mengenal dunia politik, walau cuma sipi-sipi pada saat rakan-rakan sebaya masih asyik berkejaran di padang, bermain gelongsor, jongkang jongket dan buaian.

Setiap Isnin jam 5 petang kita akan menghadiri training Taekwondo di sekolah, terlambat 10 minit nanti adalah yang didenda lari keliling dewan ruang legar Blok C. Bila terlebih perform pula, sampai ke tamat latihan nama jadi sebutan! Tapi sayang ya, rutin ini tak lama bertahan, cukup koleksimu setakat White & Yellow belt kau gantung di almari. Dan setelahnya, Kakaklah yang harus menjawab setiap kali Sir bertanyakan; "mana adik Siti?"

Kemudian kau membuka langkah ke tengah arena EPL sejak melihat Pak Long bersorak sakan dengan gol Gerrard, sehingga Kakak pun terikut-ikut sekali pertahankan Fabregas dan kau temui Robin Van Persie terkemudian. Berapa lama fenomena 'team bedil' yang namanya diambil dari kata arab; Dar As-Sina'i ini mempengaruh kita, entahlah, Kakak pun tak bersungguh mengira. (Oh, tapi kau masih lagi setia dengannya dok degih sikek habuk! )


Itu dulu, Dik.
Masing-masing kita sekarang semakin teradaptasi dengan kematangan. Kalau dulu, diusik Kakak, kau akan menangis. Cengeng ya? Itu kata orang kota. Orang kita kata; 'ddene'! Yang menghiburkan, selang beberapa minit kita akan berbaik-baik semula. Air dicencang manakan putus? Sebegitu dekat rasanya peribahasa orang melayu.
Dan lihatlah kau sekarang yang sudah memegang status mahasiswa. Ah, adik Kakak sedang mendewasa!
Mama senang sekali kerana kau sedang belajar berdikari. Walaupun begitu, kebimbangannya masih belum benar-benar habis selama mana anak-anak tiada di depan mata. Mother's instinct is always right. Obey her advices, and so does Abah. Libatkan mereka dalam setiap urusan kita semampunya.
Beruntunglah kita yang masih punya ibu bapa, masih ada doa-doa mereka sebagai penawar mujarab paling setia, justeru jasa bakti haruslah ditumpahkan seluruh jiwa raga, selagi terdaya, hatta hanya dengan sebaris doa. Bersungguhlah kita, demi mereka!



Disember 2013.

Padi segemal kepuk di hulu
Sirih di hilir merekap junjungan
Kepalang duduk menuntut ilmu
Pasir sebutir jadikan intan



Tentang coretan ini, ia bukan sekadar corat-coret kosong, justeru ada beberapa hal yang ingin Kakak titip pesan.


من سلك طريقا يطلب فيه علما سلك اللّه به طريقا من طرق الجنة ، وإن الملائكة لتضع أجنحتها رضا لطالب العلم ، وإن العالم ليستغفر له من في السموات ومن في الأرض والحيتان في جوف الماء، وإن فضل العالم على العابد كفضل القمر ليلة البدر على سائر الكواكب، وإن العلماء ورثة الأنبياء ، وإن الأنبياء لم يورثوا دينارا ولا درهما إنما ورثوا العلم، فمن أخذه أخذ بحظ وافر
“Barangsiapa menempuh suatu jalan dalam rangka mencari ilmu maka Allah akan tunjukkan baginya salah satu jalan dari jalan-jalan menuju ke surga. Sesungguhnya malaikat meletakan syap-sayap mereka sebagai bentuk keridhaan terhadap penuntut ilmu.Sesungguhnya semua yang ada di langit dan di bumi meminta ampun untuk seorang yang berilmu sampai ikan yang ada di air. Sesungguhnya keutamaan orang yang berilmu dibandingkan dengan ahli ibadah sebagaimana keutamaan bulan purnama terhadap semua bintang. Dan sesungguhnya para ulama’ adalah pewaris para Nabi, dan sesungguhnya mereka tidaklah mewariskan dinar maupun dirham, akan tetapi mewariskan ilmu. Barangsiapa yang mengambil bagian ilmu maka sungguh dia telah mengambil bagian yang berharga.”  [HR Abu Dawud]


Hal 1 : Niatmu, semoga terjaga
Memilih sesuatu bidang itu tentulah punya kurang lebihnya. Dan kita harus bersedia untuk menghadapi konsekuensinya juga. Kakak pasti, sudah kau terlebih dahulu pertimbangkan pilihanmu ini.
Ada waktunya, Dik,
kita harus memilih laluan yang panjang, andai shortcut yang terhampar di depan membahayakan. Tiada ruginya. Kelak kita akan belajar meneguk hikmahnya itu satu persatu, tanpa kita jangka, ia kan menerpa kita dengan cara-cara yang tidak kita duga.
Jelaskan hala tujumu tapi usah sesekali kau lupa, bahawa ini hanya perancangan manusia semata,masih ada kuasa agung yang akan melorongkan pengembaraanmu kelak di jalan-jalan cintaNya.

Dik,

di setiap jatuh bangunmu nanti, luruskan niatmu kembali. Kau di sana, untuk ilmu. Persiapkan dirimu semampunya, selagi terdaya. Tidak lain kerana ia adalah hal yang aku sesalkan dulu. Membacalah, sebelum komitmen yang lebih besar datang meragut tumpuanmu meminta diadili.

Manusia itu seringkali terselam dalam kekecewaan kerana ketidakmengertian kita tentang keikhlasan. Sejauh mana pun kita berlari, keikhlasan hati akan menemukan jalan kembali. Kuatkan semangat, teguhkan niat! Setelah kau berdamai dengan 'keikhlasan' nanti akan datang pula padamu 'keseriusan' mengajakmu berteman. Bergeraklah beriringan dengannya.


Hal 2 : Sabar
Tentunya sekarang kau sedang berusaha untuk berdamai dengan suasana baru. Kakak tahu. Setiap kali Kakak call ke rumah sekarang, Mama akan bercerita tentangmu lebih banyak dari biasanya. Tentang perjalanan hidupmu seharian, ke Pusat Islam saat subuh menjelang, tentang kau dan 'mesin basuh berbayar', tentang bungkusan yang dipos tapi tidak cukup barang. Banyak sekali tentangmu yang diperihalkan sampai cerita Kakak pun jadi berkurang. Iya, Dik, sudah terang-teranglah Kakak cemburu! Tapi usah kau bimbang, kerana kata orang, cemburu untuk keluarga ini cemburu yang membahagiakan :)

Memang begitu, Dik.
Kehidupan kampus semuanya harus dilakukan sendiri, assignment dan projek yang datang sekali gus menuntut disegerakan, sudah tidak seperti fasa hidup lalu yang baru kau letakkan nokhtah di hujungnya. Kau harus bijak mengurus diri sendiri. Merancanglah dengan teliti. Ambil masa, tak apa.
Ingat, apa yang dulu telah kau perjuangkan dengan susah payah, dengan begitu kau akan lebih mampu bersabar.
Kadang, Dik, kita 'kalah' dalam sesuatu perkara hanyalah disebabkan kita tak sabar.
Berusahalah sampai kita lupa erti lelah. Bersabarlah sampai kita tidak terasa penat untuk bersabar. 
لأستسهلن الصعب أو أدرك المنى ..... فما انقادت الآمال إلا لصابر




Hal 3 : Muamalah, spread the good vibes
Dik, kehidupanmu yang sekarang akan menuntutmu menjadi lebih berani dari sebelumnya. kau memang seorang yang pendiam, bahkan pemalu juga iya. Tambah lagi dengan rakan-rakan perempuan. 
Kadang-kadang, kita menjadi seorang pendiam, pemalu, kerana belum menemukan lingkungan yang tepat untuk menjadi ruang nyaman bagi kita agar kita menjadi diri kita sendiri. Dengan kata lain; kau masih teragak-agak untuk memberi dan menerima percaya orang, begitu kan?

Asal kau tahu, Dik, menyantuni kau yang semakin mendewasa menjadikan Kakak lebih tahu orang-orang lelaki ini bagaimana. Juga sebaliknya, daripada kenalan-kenalan lelaki Kakak belajar untuk lebih memahami kau, Dik. Bahawa untuk berkomunikasi dengan seorang lelaki itu bicaranya perlu jelas, tulisnya biar terang. Bahawa respon mereka pula, ya, tidak semestinya sama seperti yang terbayang di minda, kadang menyimpang, kadang melebihi jangkaan. Bukan senang untuk kita mengadaptasi setiap satu keadaan, dari masa ke masa, haruslah kita belajar menerima dan menghargai perbezaan orang. Hidup bermasyarakat perlu bermuafakat.

Dan tentang perempuan pula, jangan kaget kalau ada ketikanya kau akan menemukan budak berusia 12 tahun dalam diri seorang perempuan berumur 21 tahun. Tapi perempuan cepat matang (juga kata orang), kerana golongan kami cenderung meneropong masa depan dengan cabang-cabang fikiran yang bercambah walau hanya bertitik tolak dari singkat sebuah perbualan semasa makan. Lantaran itu, kematangan bukanlah sekadar untuk golongan yang berusia sekalipun ia ditimba dari perigi masa.

Tidak perlu mesra, cukup berikan kerjasama sebaiknya pada mereka. Adab-adab bersahabat harus dijaga, juga ikhtilat itu ada batas-batasnya. Kita mudahkan urusan orang lain, in shaa Allah, Allah mudahkan pula urusan kita. Biasa orang kata ini karma, but no, it's not, Dik. It's sunnatuLlah.



Memadailah 3 hal ini kita semaikan dahulu. Biarkan ia bertunas. Lalu setelah itu nanti akan kita tinjau pula reranting yang tumbuh; mana yang harus dibiar, mana yang harus dicantas.



Biarpun belum pernah dibaca langsung, tapi berkenan dengan tulisan Pak Hamka yang ini;
“Mamak jangan panjang was-was. Pepatah orang Mengkasar sudah cukup: ‘anak laki-laki tak boleh dihiraukan panjang, hidupnya ialah buat berjuang, kalau perahunya telah dikayuhnya ke tengah, dia tak boleh surut pulang, meskipun bagaimana besar gelombang. Biarkan kemudi patah: biarkan layar robek, itu lebih mulia daripada membalik haluan pulang’.”



Begitulah, Dik. 

Anak laki-laki mahupun perempuan sekalipun, kita orang Islam, hidup kita ini masing-masing dibuat berjuang, kan?


Oh, sebelum terlupa, ada pesanan penaja tambahan;

1. Elakkan makan mee segera! Bawalah stok serunding, beli nasi putih semata-mata pun lagi berbaloi-baloi.
2. Jaga kebersihan. Tak kemas takpa, yang penting bersih ;)

Iya, Kakak tahu kau lebih gemar kira-kira menggunakan formula berbanding membaca coretan panjang separa sastera ini.
Tak mengapalah, boleh jadi suatu hari nanti generasi-generasi kita akan menggeledah maya dan menemukan ini. Semoga bermanfaat hendaknya.




Epilog tiada.
Atau mungkin tiada lagi buat masa ini.


Tulus,

Kakak
Ahad, 5 November 2017,
Mohammedia, Morocco.

1 comment:

AinulZaidi97 said...

untuk saya kah.. saya baru lepas SPM ehehe

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Transparent Teal Star