Dec 1, 2017

Qudwah & Cinta



"Alangkah seronok ya, kanda, jika kita punya hati yang tidak penat membuat kebaikan?"
Kanda diam.

"...hati yang ada Rasulullah di dalamnya,"
giliran yang bertanya pula diam.

...jalan menuntut ilmu juga jalan dakwah, yang memerlukan pejuang-pejuangnya mujahadah dari sekecil-kecil hal dalam diri, dan beriringan dengannya istiqamah. Itu pasti.

Orang berjuang ini, dinda, ada pantang-pantangnya. Salah satunya, usah kita terlalu melayan lelah. Kerana keindahan hidup itu ada pada berpenat-penat, selagi tidak tersasar niat.

Masih kurang jelaskah niat dan matlamat perjuangan hidupmu, dinda?


محمد حبك يجمعنا


Lain benar rasanya. Apabila hal yang selalu kita ingatkan pada orang lain, malah diingatkan kembali pada kita. Meleburlah segala bagai defence mechanism. Headshot tepat atas kepala.



Menjadi qudwah dan menebar cinta.
Pada jalan ini.

Jalan yang mana?

Jalan yang sama beratus-ratus tahun lalu, 
ditempuh seorang sosok yang yatim sejak kecilnya, ditohmah sini sana, ditentang darah dagingnya sendiri berkali-kali, yang dibaling batu dilempar najis.

Jalan yang sama hari ini,
ditempuh dengan jaguh-jaguh teknologi, sudah terhidang peluang tidak dimanfaat, punya autoriti tapi sekadar memandang sepi 'mencegah dengan hati'.
Yang tercungap-cungap berjuang ini, yang masih longgar batas ikhtilat, yang hafazannya masih belum masyi. Bukan orang lain, malah diri sendiri.

Kadang-kalanya, kita sangka kita tersungkur rebah, tapi rupanya di sana ada insan-insan sedang menumpang bahu, tumpang menggagah. 

Kita berada di zon selesa, bukan?
Ya, selesa. Tapi belum tentu selamat.

NastaghfiruLlah.



Dan tentang cinta pula, 
an evergreen topic yang hadir dengan pelbagai definisi.

'Cinta yang menghantar kita pada redha Ilahi'.

"Ada di kalangan manusia mengorbankan diri untuk mencari keredhaan Allah semata-mata. Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya."[Al-Baqarah, 2 : 207]


Yang mengorbankan diri untuk mencari redha Ilahi. 
Kita kah itu? 

Manusia ingin bahagia. 
Manusia bahagia apabila dicinta. 
Kita manusia.
Antara kehendak hati dan keredhaan Ilahi, jika tidak diselari, 
bahagiakah kita?

'Cinta itu fitrah'.
Fitrah itu sebahagian dari kita.
Tatkala fitrah yang datang menjajah daerah dalaman, tidak mungkinlah diisytihar perang, kerana tidak akan ada yang dimenangkan. Tapi, jangan langsung dibuang, usah pula dibiarkan keterlaluan.

Lalu apa?
Harus kita bina tembok dan mengurus kawalan dengan sebaik-baik pedoman kehidupan. Fitrah manusia sukakan kebaikan, tetaplah ia harus dididik untuk sentiasa berada di jalan kebaikan. Kebaikan yang diredhai Tuhan.

Jatuh cinta itu biasa. 
Ter'jatuh', kerana kabur akan definisinya. Sehinggakan pada segelintir hal, pudar keistimewaannya.
Mereka yang memakai 'kanta' taqwa akan memilih untuk mem'bangun' cinta. 
Luar biasa. Istimewanya terjaga.




Ditulis Ibnu Qayyim Al-Jauziyah dalam kitab Madarijus Saalikin, 

"Mahabbah adalah kejernihan cinta. Ia adalah kekuatan, ketinggian, dan besarnya keinginan hati kepada yang dicinta, kerana pertautannya dengan yang ia cinta dan inginkan. Mahabbah adalah keteguhan keinginan kepada yang dicinta. Ia adalah kehendak untuk selalu bersama, dan keengganan meninggalkannya agar sang pencinta bisa memberikan hal paling berharga yang dimilikinya pada yang dicintai. Yakni hatinya.”


Memberi hati pada jalan ini.
Memberi hati pada mereka yang punya persamaan pada misi dan visi.
Memberi hati, semoga diredhai Rabbi.


Cinta itu sudah ada dalam jiwa kita, bahkan Rasulullah SAW telah dahulu mempamer qudwah dalam membangun cinta.
Carilah di mana terselitnya cinta pada jalan ini, hammasah dalam berkomitmen terhadapnya, dengan itu kita akan lebih kuat untuk mujahadah.

Dan cinta yang dibangunkan pada jalan ini,
moga kan menuntun kita ke syurga-Nya yang tertinggi.



"Tidalah seseorang mencintai suatu kaum kecuali ia akan dibangkitkan bersama mereka."[HR At-Thabrani]
"Dan orang yang beriman, berserta anak cucu mereka yang mengikuti mereka dalam keimanan, Kami pertemukan mereka dengan anak cucu mereka (dalam syurga) dan Kami tidak mengurangkan sedikit pun pahala amal (kebajikan) mereka. Setiap orang terikat dengan apa yang dikerjakannya.

[At-Tur, 52: 21]

Akan ada reunion untuk orang-orang beriman di syurga. Ma shaa Allah. Benar, janji-Nya tidak termungkir.
Entah sudah kali ke berapa membacanya,tapi baru beberapa hari lepas, mengulang baca dengan getar emosi yang luar biasa sekali. 
Sungguhlah, air mata adalah kejadian yang istimewa; menguatkan, bahkan menjernihkan.
'Seperti mana kita menghargai senyum tawa, pada tangisan juga perlu serupa. Semoga mengalirnya ia menuju laut ketenangan yang tiadalah habisnya.'


Meski kita tidak tahu seperti apa kita pada hari itu,
hari yang nantinya segala sesuatu yang kita khuatirkan sekarang tidak akan ada bandingannya dengan kekhuatiran kita di sana, semoga pelaksanaan cinta yang dibangunkan kerana-Nya di dunia bakal mengumpulkan kita semua dengan penuh cinta, bahkan sebenar-benar cinta.


Rasulullah,

cintamu menghimpunkan kami.
Labbaika Ya Rasulallah.
Sollu 3lanNabiy.





Daerah tenang
01122017
10:46

2 comments:

AinulZaidi97 said...

Akak.. sobs..
Mohon tanganmu jua untuk dipimpin bersama langkahmu..
huhu T.T

Aishah said...

Salam..suka baca nukilan anda..byk idea..deep..terus berkarya

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Transparent Teal Star