Aug 11, 2018

#MalaysiaMembaca

BismiLlah.

Menyambut baik seruan Menteri Pendidikan dengan tagar #MalaysiaMembaca,
saya kongsikan di sini 10 buku kegemaran, atau dengan definisi lain bagi saya; 10 buku yang meninggalkan kesan buat diri.





1. Lautan Langit - Kurniawan Gunadi 
Sekumpulan tulisan yang sentiasa terasa dekat dengan diri. Bermula dari Hujan Matahari, Lautan Langit, Menentukan Arah, termasuklah tulisan-tulisan beliau di mana-mana akaun media sosial milik beliau.

2. Harry Potter series - JK Rowling

Berkenalan dengan siri ini sejak 2007. Walaupun 7 siri utama HP ini sekadar membawa kita berlegar-legar ke dalam dunia imaginasi semata, tapi buku-buku inilah yang banyak membantu saya menambah kosa kata Bahasa Inggeris sejak dari awal pembacaan memandangkan mama dan abah meletakkan syarat kalau nak beli (mestilah kena patuh pada syarat-syaratnya, baru sekolah rendah tak ada duit lagi nak beli guna duit sendiri), mesti beli versi bahasa asal; Bahasa Inggeris. Maka, saya akan menghabiskan bacaan versi asli dahulu sebelum meminjam baca novel yang sama milik rakan sekelas dalam Bahasa Melayu pula. Bila ada yang bertanya, jawab saya, "nak menambahkan kefahaman!" 
Baiklah. Geli hati sekarang.

3. Peribadi - Hamka. 

Lambat-lambat beralih ke muka surat seterusnya sebab nak cuba letak diri dalam kategori yang mana dalam setiap topik perbahasan yang sangat menarik dan membuka minda.



Siapa khatam The Alchemist akan faham falsafah di sebaliknya

4. The Alchemist - Paulo Coelho
Ya, nak letak juga sebab memang suka! Semakin dekat dengan jiwa bila dah jejak tanah Sepanyol dan berkelana di Maghribi, bumi senja. Bukunya nipis sahaja. Sudah pun diterjemah ke dalam pelbagai bahasa. Bacalah. Kalau bukan dalam bahasa aslinya pun, Bahasa Melayu juga tidak mengapa.

5. Mudahnya Menjemput Rezeki - Fathuri Salehuddin
Tentang rezeki, tentunya. Setiap bab, pasti ada sahaja tulisan beliau yang mengelus lembut menegur diri. 'Menjemput' rezeki dan 'mencari' rezeki; ada bezanya.

6. Ayat-Ayat Cinta - Habiburrahman El-Shirazy
Juga berkenalan dengan buah tangan Kang Abik ini sekitar penghujung 2007. Novel 'dewasa' pertama yang saya baca dan khatamkan. Dengan menggunakan tarakib dan jumal mudah dalam Bahasa Arab dan ada sesetengahnya dalam dialek 'amiyah (bahasa pasar Mesir), membuka ruang untuk pembaca berkenalan dengan bahasa syurga ini. Dan bertitik tolak dari pembacaan inilah mencetuskan perasaan teruja untuk belajar Bahasa Arab.

7. Karya-karya Hlovate. 
Paling suka dengan Anthem dan Contengan Jalanan. 
Kosa kata Hlovate dalam penulisan agak tinggi walaupun dibalut dengan gaya bahasa yang ringkas dan mudah. Siapa pernah baca karya Hlovate akan kenal dengan gaya penulisan beliau. Dan kebanyakan karya beliau secara tidak langsung memaparkan etiket rasmi dan ilmu sosiologi.

8. Yang Singgah dan Pergi - Hafizul Faiz

Juga, sekumpulan tulisan yang begitu dekat dengan diri. Membacanya membawa minda jauh berkelana mencari makna tetapi pada akhirnya kembali menemukan diri sendiri.

9. Tautan Hati - Fatimah Syarha
Novelnya tebal yang amat, tapi stamina untuk menamatkannya sentiasa berkobar-kobar sehinggalah ke helaian yang terakhir. Novel yang boleh kata jadi turning point awal diri. Disarankan oleh Cr Fakrul Rizal, kauselor Ibest dan serta merta minta pinjam untuk baca. (2 minggu pinjam dari beliau kalau tak silap)




Port depan syukbah UH2C Mohammedia yang dirindui

10. Banaati/My Daughter - Salman Alaodah
Membacanya berasakan seolah-olah abah datang mendekat mengusap-usap ubun, menepuk dan menggosok lembut di atas belakang. Buku ini tentang nasihat seorang ayah kepada anak perempuannya dari kecil sehinggalah dewasa, termasuklah fasa berumahtangga. Boleh dikategorikan sebagai buku parenting yang baik juga.
Sekali pakej dengan buku yang berjudul; Cinta Di Rumah Hassan Al-Banna - Muhammad Lili Nur Aulia. Perasaannya nyaman. Bezanya, Banaati lebih khusus buat anak perempuan. (Baca tajuk pun dah jelas kan?)


Dah lebih 10 dah pun sebenarnya. 
Alahai, koleksi RAM, karya Hilal Asyraf, mutiara kata Ustaz Pahrol nak letak mana?
Buntu nak diprioritikan yang mana apabila masing-masing mendapat tempat di hati.

Belum banyak membaca, sebenarnya.
Hajat di hati nak kurangkan novel dan lebihkan karya-karya ilmiah yang matang dan berwawasan. Yang penting, bahan bacaan yang dapat membantu menjadi diri sendiri yang lebih baik dari hari ke hari, in shaa Allah. Semoga tercapai. Doakan! :D

Selamat membaca, rakyat Malaysia!





TGG, MYS
11082018
17:38

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Transparent Teal Star