May 13, 2018

Nilai Yang Teruji | Cintanya KhaliluLlah

BismiLlah.


Teringat. Tentang perbualan dengan seorang adik, sedang kami pula berpergian menaiki keretapi ONCF dari Mohammedia ke Sale yang bergerak laju meredah zulmat pekat malam di musim dingin lalu.

Adik yang seorang ini memecah sunyi, bertanya;
"Akak, kita ni diuji dengan perkara yang kita lemah kan?"

Saya renung dia, lama. Dia tunduk pula mengalih pandang ke arah loyang besi bulat berisi kek keladi tanpa kelapa yang belum sempat dijamah kami di rumah. Adik yang seorang ini, bukan baru sehari-dua saya mengenalnya. Setiap butir bicara dan persoalan yang timbul tidak hanya sekadar mengajak sembang yang biasa-biasa. Ada sesuatu yang diharapkannya.

"Kalau akak, akak tambah lagi; bahkan kita juga teruji dengan hal-hal yang kita jadikan prinsip diri, yang kita sanjung tinggi."


Seketika, dia membalas pandang, mengangguk-anggukkan kepala.

"Betul, kak! ***i rasa ***i faham maksud akak..."


Bagaimana?
We'll make it short, but precisely in shaa Allah.


[Islamic Centre, Brussels - 13032018]


[Tentang NABI IBRAHIM AS]

Nabi Ibrahim menyanjung tinggi cinta.


.وَاتَّخَذَ اللَّهُ إِبْرَاهِيمَ خَلِيلًا 
"....Dan Allah mengambil Ibrahim menjadi kesayangan-Nya"[An-Nisa', 4:125]


Barangkali kita terlupa tentang Nabi Ibrahim AS. Digelar khaliluLlah, kekasih Allah.
Khalil. Kekasih. Gelaran yang bukan calang-calang, teruntuk yang kita kasih, yang dekat sekali dengan kita. Tentu, Allah amat sayangkan baginda AS. Banyak sekali doa-doa Nabi Ibrahim yang dicatatkan dalam Al-Quran, dan sirah telah membuktikan bahawa telah Allah kabulkan doa-doa baginda. Keturunan baginda juga banyak yang dipilih Allah menjadi rasul, menyebar risalah agama.
Nabi Ibrahim menyanjung tinggi cinta, bahkan terhadap kecintaannya itulah yang diuji Allah. Antara ujian besar Nabi Ibrahim di usia remaja baginda; baginda teruji dengan ayahanda baginda sendiri, semestinya yang paling disayangi. Ayah baginda, Azar kufur. 

Dewasa baginda teruji pula dengan cemburunya Siti Sarah si permaisuri hati, lalu diperintah untuk membawa pergi Siti Hajar dan anakandanya Ismail, ditinggalkan mereka di tengah-tengah tanah kering tidak berlembah. Ternyata Long-Distance-Relationship sudah wujud sejak lama dulu, teguh tak tergoyahkan yang harus dijadikan ikutan, hanyasanya tidak terperasankan oleh kita selama ini.


Tiada plot lain daripada kisah pengorbanan tulus ini kecuali menyaksikan teguhnya keyakinan Siti Hajar kepada Allah. Hatta pada ketika itu tiada jaminan bagaimana mungkin dia meneruskan hidup bersama bayi kecilnya sedang tiada seorang manusia pun yang terlihat di kawasan sekitar, sama sekali tidak mampu difikirkannya bagaimana mungkin si suami mampu mencarinya kembali suatu hari nanti?
Diteguhkan hati, berbekalkan taatnya pada suami kerana cinta yang lebih besar dari itu. Dan tentulah, cintanya khaliluLlah yang tiada pernah singgah resah dalam hati baginda terhadap sesuatu yang telah dijamin Allah untuknya, rezeki, jodoh dan ajal terutamanya, maka tenanglah hati baginda meninggalkan Hajar dan Ismail AS si bayi di tengah-tengah padang pasir yang 'ganas', hanya untuk memenuhi perintah Allah SWT jualah.



وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالاً وَعَلَى كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ
 
"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh."[Al-Hajj, 22:27]

Lalu kemudiannya, Mekkah menjadi negeri yang aman dan sejahtera, dikunjungi oleh jutaan manusia saban tahun, di sanalah tempat berhimpunnya manusia dari pelbagai bangsa, dari segenap pelosok dunia bermatlamatkan Allah! 
Rentetan perjalanan hidup baginda yang mulia, diindahkan dengan keteguhan Siti Hajar yang ditinggalkan suami, berlari-lari ke sana ke mari mencari air; telah disyariatkan sebagai manasik haji. Juga umat Islam di seluruh dunia hingga kini berselawat ke atas baginda dalam setiap solat yang didirikan di samping berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Ma shaa Allah!


Belum habis cintanya khaliluLlah teruji. Ujian seterusnya ini juga getir sekali untuk dijalani. Diperintahkan baginda untuk menyembelih Ismail AS si cahaya mata. Allah. Zuriat penyambung keturunan baginda yang saban tahun dinanti-nanti harus dikorbankan. Semestinya ini bukan hal yang biasa-biasa, bukan hal yang mampu dilakukan sekian banyak orang. 

Ya, sekali lagi baginda teruji dengan kecintaannya. Tapi Nabi kita Nabi Ibrahim, atas dasar keimanan yang tidak ada tolok bandingnya, terlalu luar biasa. Baginda mengangkat cinta Khaliq di tempat teratas, mengatasi cinta pada makhluk; yakni terhadap putera baginda, Ismail AS. Dengan cinta suci itulah baginda mampu mengutamakan perintah Allah sebelum perintah-perintah selain-Nya termasuklah perintah akal dan perasaan baginda.


Ketaatan kepada Allah, basirah yang jernih, ibadah yang sahih, dan selainnya; cinta qudus teruntuk Rabbul 'Izzati itu satu nilai yang besar sekali untuk dimiliki. Andai nilai ini yang teruji, lumpuh iman dalam diri, sedang iman hamba ini tidaklah cerlang berpanjangan, tentu ada turun naiknya pula. 

Iman tidak dapat diwarisi.
Yang disebut-sebut sebagai 'bapa' oleh Rasulullah SAW tidak lain dan tidak bukan, dialah Ibrahim KhaliluLlah. (Betapa panjangnya susur galur 'generasi soleh', sudah dari keturunan baginda SAW yang ke berapa? But this is real!) Selang beberapa ratus tahun ke belakang lamanya, Nabi Ibrahim AS pernah berdoa;
  
 رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَا أُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُرَبَّنَا وَابْعَثْ فِيهِمْ رَسُولًا مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُزَكِّيهِمْ إِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ  
"Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana". [Al-Baqarah, 2:128-129]


Nabi Ibrahim AS meminta kepada Allah agar diutuskan Rasul di Mekkah, dikabulkan Allah kurang lebih 4200 tahun setelahnya. Ajaibnya dihubungkan KhaliluLlah dan Rasulullah sebagai 'bapa-anak' dalam sesetengah riwayat. Ma shaa Allah, tetap bersambung.


Kita dahulu pun sudah terbiasa sekali menulis karangan tentang nilai-nilai murni, bukan? Rasanya, itulah yang lebih mudah berbanding menjawab soalan latar, tema dan yang selainnya. Setelah hampir lima tahun meninggalkan fasa itu, saya lebih faham sekarang, bahawa untuk membangunkan nilai-nilai ini dalam diri tidaklah semudah mengarangnya dulu, juga menyudahkan entri ini. Lalu setelah dibangunkan nilai itu, perihal menjaganya pula perlu lebih waspada dan hati-hati.


"Kita biasanya akan diuji dengan apa yang kita sampaikan pada orang..."

Dan sesungguhnya, yang menjadi kebimbangan diri adalah sampai waktunya teruji dengan kata-kata sendiri. Maka untuk itu, sayalah yang berhajatkan doa-doa indah dari kalian. :)
Kita pohonkan, semoga nikmat dan ujian yang datang membawa kita lebih dekat dengan Tuhan

"Keikhlasan doa. Keagungan kasih, mengubah takdir." (eceh, lirik lagu!)

Bila teruji dengan sesuatu yang kita lemah, kita masih ada sisi kuat untuk mempertahan. Tapi once kita teruji dengan prinsip diri, pergantungan dan kekuatan murni hanya dari Allah yang kita harapkan.

Dan yang terakhir di sini;
Terima kasih, adik!
Untuk setiap kebersamaan, dan perbualan-perbualan yang mengesankan.




Sudah saya simpan di draf sejak awal Februari.
Harini ini, saya memerlukannya,
boleh jadi, anda juga memerlukannya suatu hari nanti.
Maka, saya pamerkanlah ia di sini, kembali.

13052018
Negeri Sejahtera,
TGG, MYS

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Transparent Teal Star