Showing posts with label Dunia Islam. Show all posts
Showing posts with label Dunia Islam. Show all posts

Dec 8, 2016

Seindah Tutur Kata Rasulullah

بسم الله الرحمن الرحيم
Tokoh-tokoh ternama mampu membina empayar pengaruh manusia dengan hanya bermain kata. Bukan cuma seorang peniaga di jalanan yang mampu meyakinkan orang ramai yang berpapasan untuk membeli barang jualannya dengan manis bicara. Sudah berapa banyak karya, puisi mahupun hanya sekadar rangkap yang tidak habis mampu membuatkan jiwa-jiwa tersenyum bahagia, berderai tangis hiba?


Bahasa, Kata & Latar Sejarah Seni
Lenggok berbahasa itu juga punya seninya yang tersendiri. Menyelongkar lipatan sirah, yang dicatatkan sekitar sebelum, semasa dan selepas kelahiran Nabi SAW, antara perkara yang sangat ditekankan oleh masyarakat Makkah ialah sastera. Mereka hidup dalam budaya sastera walaupun kebanyakan daripada mereka adalah 'ummiy', zaman di mana rata-rata  manusia tidak tahu menulis, tidak tahu membaca., tidak punya bahan bacaan. Namun, keistimewaan yang dikurniakan Allah kepada sebahagian daripada mereka adalah apabila golongan ini mampu menyusun kata-kata menjadi syair.

Satu fenomena menarik pada zaman tersebut, pasar-pasar bukan sekadar menjual ikan atau sumber makanan semata, bahkan juga menjual kata-kata. Bagaimana?
Para penyair melagukan syair-syair mereka di pasar-pasar sekitar Mekkah. Perkara yang sama turut dinyatakan dalam kitab Fiqh Al-Lughah karangan Dr. Subhi Shalih di mana masyarakat Arab di Basrah menjadikan Souq Al-Mirbad sebagai medium perkembangan bahasa.

Pernahkah anda mendengar nama-nama seperti Imru' al-Qays, An-Nabighah dan Zuhayr ibn Abi Salma?
Nama-nama inilah merupakan antara penyair-penyair yang sangat berkemampuan dalam bidang syair pada waktu tersebut. Mereka ini terdiri dalam golongan rakyat biasa yang diangkat kepada golongan elit sekali gus menjadikan mereka rapat dengan golongan pemerintah. Golongan pemerintah pula akan membawa para penyair ini ke mana sahaja mereka pergi dan meminta mereka melagukan syair-syair mereka yang berunsurkan pujian terhadap golongan pemerintah dan ketua-ketua qabilah mereka.
Kuasa perkataan.
Sekali pun peribahasa Barat yang berbunyi 'action speak louder than words' begitu signifikasi dengan pola hidup masyarakat dan diangkat tinggi, tetaplah perkataan itu punya kuasanya yang tersendiri.
Sama ada yang dituturkan, atau yang tersusun di helaian-helaian dengan tinta hitam, sama ada lisan mahupun tulisan. Dengannya ada emosi dan perasaan yang diekspresikan. Dengannya juga mampu menjadikan manusia 'muflis' di sana dek setinggi gunung yang disangka amalan, rupa-rupanya hanya debu yang berterbangan. Na3uzubiLlahi min zaalik.

Dari Abu Hurairah ra berkata, bahwasanya Rasulullah SAW bersabda,
'Tahukah kalian siapakah orang yang muflis (bangkrup) itu?
Para sahabat menjawab, 'Orang yang muflis (bangkrup) di antara kami adalah orang yang tidak punya dirham dan tidak punya harta.'Rasulullah SAW bersabda,

'Orang yang muflis (bankrup) dari umatku adalah orang yang datang pada hari kiamat dengan (pahala) melaksanakan shalat dan menunaikan zakat, namun ia juga datang (membawa dosa) dengan mencela si fulan, menuduh si fulan, memakan harta ini dan menumpahkan darah si ini serta memukul si ini. Maka akan diberinya orang-orang tersebut dari kebaikan-kebaikannya. Dan jika kebaikannya telah habis sebelum ia menunaikan kewajibannya, diambillah keburukan dosa-dosa mereka, lalu dicampakkan padanya dan ia dilemparkan ke dalam neraka.'
[HR Muslim]

Menelusuri riwayat hidup junjungan mulia, Rasulullah saw memperlihatkan kepada kita tentang banyak hal dalam perjalanan mencapai matlamat seorang hamba Tuhan di muka bumi ini, dari sekecil-kecil perkara hatta sebesar-besar urusan. Tidak ketinggalan, akhlak dan keperibadian baginda dalam pertuturan. Antara kepentingan-kepentingan menjaga tutur kata.

Credit photo : a senior

Perkataan Yang Baik Pengganti Sedekah
 Dari Abu Hurairah RA berkata,'telah bersabda Rasulullah SAW, (mafhumnya); 
"Setiap anggota badan manusia diwajibkan bersadaqah setiap hari selama matahari masih terbit. Kamu mendamaikan antara dua orang (yang berselisih) adalah sadaqah, kamu menolong seseorang naik ke atas kenderaannya atau mengangkat barang-barangnya ke atas kenderaannya adalah sadaqah, berkata yang baik itu adalah sadaqah, setiap langkah berjalan untuk solat adalah sadaqah, dan menyingkirkan suatu rintangan dari jalan adalah sadaqah ”.
[HR Bukhari wa Muslim]
Sedekah dengan harta dapat menyenangkan orang yang diberi sedekah. Sedangkan tutur kata yang baik juga akan menyenangkan insan yang mendengar sekali gus menyenangkan hatinya. Kedua-duanya menghasilkan natijah yang sama; menyenangkan orang lain.
Berkata Baik Atau Diam

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ اْلآخِرِ فَلاَ يُؤْذِ جَارَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ اْلآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ اْلآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ - متفق عليه
Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda,
Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah ia tidak menyakiti tetangganya. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah ia memuliakan tamunya. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah ia berkata-kata yang baik atau hendaklah ia diam. 

[HR Bukhari wa Muslim]

Bukankah orang-orang yang beriman itu diingatkan berkali-kali dalam Al-Quran supaya bersabar? Sabar tatkala ditimpa musibah, sabar di saat ada yang membuat marah. Menahan diri daripada menuturkan perkataan-perkataan yang buruk juga perlu ada sabar. Menahan diri daripada menuturkan perkataan yang buruk dan keji juga mampu menghindari kita dari terjerumus ke dalam pertelingkahan dan pergaduhan sesama sendiri.
Berkata Benar Walaupun Pahit
"Kebenaran itu datang dari Rabbmu,maka janganlah kamu sekali-kali termasuk orang-orang yang ragu."
[QS Al-Baqarah:147]
Memanifestasikan kejujuran dalam berkata-kata tidaklah semudah yang disangka. Berkata benar sekalipun pahit, sama ada kepada orang yang zalim, orang yang kita tidak suka, juga berkata benar dalam menegur orang yang kita sayangi. Sepertimana yang dikisahkan dalam Al-Quran, antaranya ialah kisah Nabi Musa AS dan Fir'aun, dan kisah Nabi Ibrahim AS berdialog dengan ayahandanya.

"Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya (Fir'aun), dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut kepada-Ku. Mereka berdua (Musa dan Harun) berkata: Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami takut bahawa ia akan segera menyeksa kami atau dia akan melampau batas. Allah berfirman; Janganlah kamu takut, sesungguhnya Aku ada bersama-sama kamu; Aku mendengar dan melihat segala-galanya."

[QS Toha: 44-46]



Dan ceritakanlah (Muhammad) kisah Ibrahim di dalam Kitab (Al-Qur’an), sesungguhnya dia adalah seorang yang sangat membenarkan, seorang nabi. (Ingatlah) ketika dia (Ibrahim) berkata kepada ayahnya, ‘Wahai ayahku! Mengapa engkau menyembah sesuatu yag tidak mendengar, tidak melihat dan tidak dapat menolongmu sedikit pun? Wahai ayahku! Sungguh, telah sampai kepadaku sebagian ilmu yang tidak diberikan kepadamu, maka ikutilah aku, niscaya aku akan menunjukkan kepadamu jalan yang lurus. Wahai ayahku!  Janganlah engkau menyembah setan. Sungguh, setan itu durhaka kepada Rabb Yang Maha Pengasih. Wahai ayahku! Aku sungguh khawatir engkau akan ditimpa azab dari Rabb Yang Maha Pengasih, sehingga engkau menjadi teman bagi setan.’

Dia (ayahnya) berkata, ‘Bencikah engkau kepada tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Jika engkau tidak berhenti, pasti engkau akan kurajam, maka tinggalkanlah aku untuk waktu yang lama.’ Dia (Ibrahim) berkata, ‘Semoga keselamatan dilimpahkan kepadamu, aku akan memohonkan ampunan bagimu kepada Tuhanku. Sesungguhnya, Dia sangat baik kepadaku. Dan aku akan menjauhkan diri darimu dan dari apa yang engkau sembah selain Allah, dan aku akan berdoa kepada Tuhanku, mudah-mudahan aku tidak akan kecewa dengan berdoa kepada Tuhanku’.


[QS Maryam :41-44]


  Kebenaran yang ditegakkan atas dasar kasih sayang dengan metodologi penyampaian yang berhikmah. Tidak terburu-buru melarang, tetapi dimulakan dengan bertahap, memujuk agar ego seorang bapa melebur dan menunduk kepada hujah yang dibawa Baginda, kepada sebenar-benar petunjuk. Dan di akhirnya nasihat dan peringatan yang dicantum dengan harapan dan tawakkal pada Tuhan.

Baik Tutur Kata Menjemput Tawadhu' di Jiwa
Dalam satu peristiwa,ketika seorang lelaki datang berjumpa baginda dalam keadaan gementar kerana dia menyangka bahawa Rasullullah SAW sama seperti raja-raja lain, baginda SAW lalu bersabda kepadanya;

"هوّن عليك فإني لست بملك، إنما أنا ابن امرأة من قريش كانت تأكل القديدد"
Maksudnya: 'Tenanglah,sesungguhnya aku bukanlah seorang raja .Aku hanyalah seorang anak dari seorang perempuan suku Quraisy yang memakan daging dendeng.'
Begitulah Rasulullah SAW.
Tutur kata baginda tenang lagi menenangkan sekalian manusia. Tutur kata yang baik lahir dari sifat rendah hati baginda. Dan sifat rendah hati ini menjemput tawadhu' untuk bermukim di jiwa.
Memetik kalam Ibnu Hajar dalam kitab Fathul Bari, katanya, “Tawadhu’ adalah menampakkan diri lebih rendah pada orang yang ingin mengagungkannya. Ada pula yang mengatakan bahwa tawadhu’ adalah memuliakan orang yang lebih mulia darinya.”
Perkataan Melambangkan Peribadi
Seperti falsafah 'teko', atau mungkin beberapa analogi lain yang turut berkait.
Teko akan menuangkan apa yang ada di dalamnya. Jika di dalamnya air teh hangat yang dibancuh bersama daun pudina seperti tradisi rakyat Maghribi, maka yang dituang ke cawan juga air teh berperisa pudina jualah. Tidak akan keluar air kopi susu atau selain darinya. Demikianlah manusia.
Biarpun demikian, harus diingatkan bahawa menjaga pertuturan bukanlah untuk mendapatkan pujian atau tumpuan orang, melainkan didasari dengan niat meraih keredhaan Tuhan semesta alam.
 وما كل هاو للجميل بفا          ولا كل فعال له بمتمم
'Bukan semua orang yang ingin melakukan kebaikan itu dapat melakukannya, dan tidak pula setiap orang yang melaksanakan sesuatu dapat menyempurnakannya.'
Permulaan kepada sesuatu selalunya terhasil dari sekecil-kecil perkara. Persis garis lurus yang bermula dengan satu titik kecil. Namun besar sekali impaknya.
Manusia itu bisa menyusun abjad menggunakan hatinya, justeru sesuatu yang datangnya dari hati itu mampu sampai ke hati-hati yang lainnya, atau paling kurang, mampu mengetuk jendelanya buat beberapa ketika.
Tetaplah, setiap individu itu harus melaksanakan dan meneruskan ikhtiar untuk melakukan kebaikan dan setiap dari kita akan dimudahkan oleh Allah sesuai dengan kemampuan dan usaha masing-masing.
Ayuh, kita hiasi hari-hari kita dengan perkataan-perkataan yang baik, perkataan yang baik-baik. Mudah-mudahan Allah permudahkan.
 “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”
[QS Al Ahzab: 21]
 Sebaik-baik qudwah. Selamanya qudwah. Rasulullah SAW.
اللهم صل على محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
محمد حبك يجمعنا
- - - - - - - - - - -
Refrensi & Apresiasi :
1. Syarah Sahih Muslim li Imam AnNawawi
2. Fiqh Al-Lughah; Dr Subhi Shalih
3. Nilai Peribadi dan Rasa Seni; Hafizul Faiz
4. Nilai Masa Di Sisi Ulama'; terjemahan Qimah Az-Zaman 3indal Ulama'; Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah

- - - - - - - - - - - - -  
Artikel yang tertangguh.

9 Rabi'ul Awwal 1438H
Alhamdulillah, langsai.

May 6, 2016

Aleppo, maafkan aku



Aleppo, maafkan aku.

Aleppo,
telah aku saksikan keindahan kotamu sebelum ini
di sebalik skrin yang mempertontonkanmu siri demi siri
khabarnya kota indahmu itu kini musnah,
hanya serpihan reruntuhan berbaki
yang indah hanya tersulam di lipatan memori.

Telah aku saksikan seluruh wargamu
yang ku ikrarkan sebagai saudara sendiri,
Aku saksikan jasad jundi kekanda-kekandaku 
syahid berlatarkan tangis deras mengemis belas
dan wajah kecil adinda adindaku yang berlumuran titis titis merah
ditinggal lemas, cemas.






Adindaku,
Bukankah kau seharusnya bermain riang ?
berpimpin tangan, berlari lari di jalanan
meghujani si dewasa dengan soalan dan celoteh panjang
persis adindaku si bongsu di Malaysia.

Sayangnya tidak,
perbezaannya ketara sekali.
Engkau malah merasakan dentuman bom bertubi-tubi 
dikepung kanan dan kiri
dari gerombolan jahanam 
yang tak kenal belas kasih.


Andai saja kau tahu,
aku di rantau orang ini malah penuh beralasan
tahunya hanya bersenang-senang,
ditimpa ujian sekecil kuman sahaja sudah beruntai keluhan.
Dinda,
apa jiwa seperti ini menurutmu 
layak digelar jiwa pejuang ?


Mampukah kau untuk lena ?
Atau hanya melepas lelah membiarkan mata terpejam seketika
sedang telinga dan minda masih giat berwaspada,
entah lagu apa yang mendodoimu saban malam 
bermelodikan tangisan,
namun liriknya syahdu penuh kehambaan.
Sungguh malu aku padamu, dinda.
Bagai langit dan bumi situasi kita,
tidur sudah beralas tilam empuk,
namun ibadah duapertiga malamku masih banyak cacat cela,
lompang sini sana.


Dinda,
Gusar aku dengan dunia kita
mata dunia tertutup dengan kebiadaban mereka,
khabar angin tumbuh melata, 
mencambah dosa sirna,
kabur dengan kabus sandiwara sang durjana,
keadilan akhirnya tercantas dek jiwa yang buta mencari makna.
Mana kaca mata iman yang seharusnya mekar 
dalam diri setiap mukmin yang berjiwa hamba ?


Aleppo,
sedang aku dalam penantian untuk pulang ke pangkuan yang tersayang,
dan kau juga menanti,
menantikan ajal menjemput bertemankan keimanan 
dan ketaqwaan.

Maafkan aku, 
insan yang kencang mengaku bersaudara,
yang hanya mampu memanjat doa,
yang terus terusan menjadi saksi bisu yang kecut hatinya.

Aleppo, maafkan aku.


--------------------


Sekuat apa pun jeritan mereka,
apa pernah sampai ke batin kita ?

Seorang ibu yang melahirkan, membesarkan si anak
sudah tentu mampu menjaga, mendoakan si anak dengan penuh tawajjuh kepada Tuhan
kerana adanya ikatan, dan kasih sayang.
Lalu kita dan mereka ini bagaimana sebenarnya ?
Tidak kasihkah kita pada mereka ?




للهم أعز الإسلام والمسلمين، وأذل الشرك والمشركين، ودمر أعداءك أعداء الدين،
 واجعل هذا البلد آمناً مطمئنًا وسائر بلاد المسلمين، برحمتك يا أرحم الراحمين.





Saksi bisu yang kecut hatinya,
moga tidak selamanya menjadi pengintai dari bawah tempurung kelapa.

Daerah tenang, Bumi senja.
06052016


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Transparent Teal Star