Showing posts with label Qalbun Saleem. Show all posts
Showing posts with label Qalbun Saleem. Show all posts

Nov 2, 2018

Qasidah Rindu Madinah - Syamail Muhammadiyah


Rindunya daku kepada bumi Madinah
Takkan terubat walau sudah ziarah
Sekalipun menangis berair mata darah
Hatikan tetap rindukan Rasulullah

Terimalah hadiah imbalan ziarah

Insan yang lemah ingin berqasidah
Diilhamkan Allah Syamail Muhammadiyah
Berkat menangis di Raudhatul Jannah

Di suatu malam bulan yang penuh cerah

Baginda mengenakan pakaian serba merah
Lalu bersumpah Jabir bin Samurah
Jika dibezakan Nabi terlebih indah

Matanya yang terang sangat suka bercelak

Nampak di belakang dan depan serentak
Jinjang tengkuk Nabi sangat putih melepak
Tiada berdaki umpama pantulan perak

Dahinya yang luas, anak matanya hitam

Cahaya berhias, menatap kan tenteram
Tulang baginda kemas, saling kuat menggenggam
Rukanah tertewas lalu memeluk Islam

Rambutnya ikal mayang, tidak terlalu panjang

Tingginya yang sedang, dada luas berbidang
Ketika berjalan condongnya ke hadapan
Lajunya seperti turun tempat yang tinggi

Helaian bulunya tetapkan terus wujud

Hanya belasan uban, memikirkan surah Hud
Umpama pedang jaguh, hidung baginda mancung
Dipandang dari jauh, kening seakan bersambung

Nafas berbau wangi, semerbak kasturi

Sukakan bersugi, yang busuk dihindari
Tak pernah menguap berkat cucian hati
Takkan pernah dihinggap lalat walau sekali

Berjarak gigi hadapan, cahaya kelihatan

Segala pertuturan adalah wahyu Tuhan
Lebar bibirnya menandakan pemurah
Membaca Al-Quran dengan penuh fasohah

Baginda memilih hidup dalam berzuhud

Sekalipun maksum sangat banyak bersujud
Menipis isi tumit lamanya bertahajud
Banyak mendaki bukit, sangat sayangkan Uhud

Putih bercampur merah, kulitnya mukjizah

Jelas kelihatan ketika malu dan marah
Lembutnya seperti kelopak ros yang merah
Di seawal pagi embunan masih basah

Segala yang baik dimula dengan kanan

Tidak suka membazir minuman dan makanan
Capalnya yang berkah, pernah menjadi teman
Di saat baginda bertemu dengan Tuhan

Digeruni musuh jika bersemuka

Tidak sukakan angkuh berjiwa mulia
Tanda kenabian di belakang badan
Sedikit tawanya membanyakkan tangisan

Siapa menyakiti puteri kesayangan

Umpama sakiti Nabi akhir zaman
Suka bergurau senda, sayang Husin dan Hasan
Bagindalah Nabi yang disayangi Tuhan

Fuqara masakin diberikan  bantuan

Batu di perutnya menjadi ikatan
Takkan kekenyangan selain berjemaah
Jatuhan makanan dikutip kerana berkah



Sambutan maulid Nabi SAW berserta pengijazahan sanad Syamail Muhammadiyah
oleh Syeikh Mun'im Al-Ghumari


Alhamdulillah :)

Sebab masih belum mampu mengingat  matan dan syarah dalam bahasanya yang asal, bermesra dengan qasidah dalam bahasa ibunda ini sangatlah membantu memuhasabah dan tasyji3 diri untuk berusaha meneladani Nabi.


Moga ada manfaatnya.

Sollu 3layhi wa sallimu tasleema. 


P/S: Pertama kali mengqasidahkan bait-bait indah ini semasa maulid tahun lalu 1439H di Sale.
Terima kasih team qasidah yang mendendangkannya dengan begitu merdu dan menusuk kalbu, sesungguhnya detik itu juga termasuk dalam kategori kenangan yang dirindu.



May 13, 2018

Nilai Yang Teruji | Cintanya KhaliluLlah

BismiLlah.


Teringat. Tentang perbualan dengan seorang adik, sedang kami pula berpergian menaiki keretapi ONCF dari Mohammedia ke Sale yang bergerak laju meredah zulmat pekat malam di musim dingin lalu.

Adik yang seorang ini memecah sunyi, bertanya;
"Akak, kita ni diuji dengan perkara yang kita lemah kan?"

Saya renung dia, lama. Dia tunduk pula mengalih pandang ke arah loyang besi bulat berisi kek keladi tanpa kelapa yang belum sempat dijamah kami di rumah. Adik yang seorang ini, bukan baru sehari-dua saya mengenalnya. Setiap butir bicara dan persoalan yang timbul tidak hanya sekadar mengajak sembang yang biasa-biasa. Ada sesuatu yang diharapkannya.

"Kalau akak, akak tambah lagi; bahkan kita juga teruji dengan hal-hal yang kita jadikan prinsip diri, yang kita sanjung tinggi."


Seketika, dia membalas pandang, mengangguk-anggukkan kepala.

"Betul, kak! ***i rasa ***i faham maksud akak..."


Bagaimana?
We'll make it short, but precisely in shaa Allah.


[Islamic Centre, Brussels - 13032018]


[Tentang NABI IBRAHIM AS]

Nabi Ibrahim menyanjung tinggi cinta.


.وَاتَّخَذَ اللَّهُ إِبْرَاهِيمَ خَلِيلًا 
"....Dan Allah mengambil Ibrahim menjadi kesayangan-Nya"[An-Nisa', 4:125]


Barangkali kita terlupa tentang Nabi Ibrahim AS. Digelar khaliluLlah, kekasih Allah.
Khalil. Kekasih. Gelaran yang bukan calang-calang, teruntuk yang kita kasih, yang dekat sekali dengan kita. Tentu, Allah amat sayangkan baginda AS. Banyak sekali doa-doa Nabi Ibrahim yang dicatatkan dalam Al-Quran, dan sirah telah membuktikan bahawa telah Allah kabulkan doa-doa baginda. Keturunan baginda juga banyak yang dipilih Allah menjadi rasul, menyebar risalah agama.
Nabi Ibrahim menyanjung tinggi cinta, bahkan terhadap kecintaannya itulah yang diuji Allah. Antara ujian besar Nabi Ibrahim di usia remaja baginda; baginda teruji dengan ayahanda baginda sendiri, semestinya yang paling disayangi. Ayah baginda, Azar kufur. 

Dewasa baginda teruji pula dengan cemburunya Siti Sarah si permaisuri hati, lalu diperintah untuk membawa pergi Siti Hajar dan anakandanya Ismail, ditinggalkan mereka di tengah-tengah tanah kering tidak berlembah. Ternyata Long-Distance-Relationship sudah wujud sejak lama dulu, teguh tak tergoyahkan yang harus dijadikan ikutan, hanyasanya tidak terperasankan oleh kita selama ini.


Tiada plot lain daripada kisah pengorbanan tulus ini kecuali menyaksikan teguhnya keyakinan Siti Hajar kepada Allah. Hatta pada ketika itu tiada jaminan bagaimana mungkin dia meneruskan hidup bersama bayi kecilnya sedang tiada seorang manusia pun yang terlihat di kawasan sekitar, sama sekali tidak mampu difikirkannya bagaimana mungkin si suami mampu mencarinya kembali suatu hari nanti?
Diteguhkan hati, berbekalkan taatnya pada suami kerana cinta yang lebih besar dari itu. Dan tentulah, cintanya khaliluLlah yang tiada pernah singgah resah dalam hati baginda terhadap sesuatu yang telah dijamin Allah untuknya, rezeki, jodoh dan ajal terutamanya, maka tenanglah hati baginda meninggalkan Hajar dan Ismail AS si bayi di tengah-tengah padang pasir yang 'ganas', hanya untuk memenuhi perintah Allah SWT jualah.



وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالاً وَعَلَى كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ
 
"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh."[Al-Hajj, 22:27]

Lalu kemudiannya, Mekkah menjadi negeri yang aman dan sejahtera, dikunjungi oleh jutaan manusia saban tahun, di sanalah tempat berhimpunnya manusia dari pelbagai bangsa, dari segenap pelosok dunia bermatlamatkan Allah! 
Rentetan perjalanan hidup baginda yang mulia, diindahkan dengan keteguhan Siti Hajar yang ditinggalkan suami, berlari-lari ke sana ke mari mencari air; telah disyariatkan sebagai manasik haji. Juga umat Islam di seluruh dunia hingga kini berselawat ke atas baginda dalam setiap solat yang didirikan di samping berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Ma shaa Allah!


Belum habis cintanya khaliluLlah teruji. Ujian seterusnya ini juga getir sekali untuk dijalani. Diperintahkan baginda untuk menyembelih Ismail AS si cahaya mata. Allah. Zuriat penyambung keturunan baginda yang saban tahun dinanti-nanti harus dikorbankan. Semestinya ini bukan hal yang biasa-biasa, bukan hal yang mampu dilakukan sekian banyak orang. 

Ya, sekali lagi baginda teruji dengan kecintaannya. Tapi Nabi kita Nabi Ibrahim, atas dasar keimanan yang tidak ada tolok bandingnya, terlalu luar biasa. Baginda mengangkat cinta Khaliq di tempat teratas, mengatasi cinta pada makhluk; yakni terhadap putera baginda, Ismail AS. Dengan cinta suci itulah baginda mampu mengutamakan perintah Allah sebelum perintah-perintah selain-Nya termasuklah perintah akal dan perasaan baginda.


Ketaatan kepada Allah, basirah yang jernih, ibadah yang sahih, dan selainnya; cinta qudus teruntuk Rabbul 'Izzati itu satu nilai yang besar sekali untuk dimiliki. Andai nilai ini yang teruji, lumpuh iman dalam diri, sedang iman hamba ini tidaklah cerlang berpanjangan, tentu ada turun naiknya pula. 

Iman tidak dapat diwarisi.
Yang disebut-sebut sebagai 'bapa' oleh Rasulullah SAW tidak lain dan tidak bukan, dialah Ibrahim KhaliluLlah. (Betapa panjangnya susur galur 'generasi soleh', sudah dari keturunan baginda SAW yang ke berapa? But this is real!) Selang beberapa ratus tahun ke belakang lamanya, Nabi Ibrahim AS pernah berdoa;
  
 رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَا أُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُرَبَّنَا وَابْعَثْ فِيهِمْ رَسُولًا مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُزَكِّيهِمْ إِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ  
"Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana". [Al-Baqarah, 2:128-129]


Nabi Ibrahim AS meminta kepada Allah agar diutuskan Rasul di Mekkah, dikabulkan Allah kurang lebih 4200 tahun setelahnya. Ajaibnya dihubungkan KhaliluLlah dan Rasulullah sebagai 'bapa-anak' dalam sesetengah riwayat. Ma shaa Allah, tetap bersambung.


Kita dahulu pun sudah terbiasa sekali menulis karangan tentang nilai-nilai murni, bukan? Rasanya, itulah yang lebih mudah berbanding menjawab soalan latar, tema dan yang selainnya. Setelah hampir lima tahun meninggalkan fasa itu, saya lebih faham sekarang, bahawa untuk membangunkan nilai-nilai ini dalam diri tidaklah semudah mengarangnya dulu, juga menyudahkan entri ini. Lalu setelah dibangunkan nilai itu, perihal menjaganya pula perlu lebih waspada dan hati-hati.


"Kita biasanya akan diuji dengan apa yang kita sampaikan pada orang..."

Dan sesungguhnya, yang menjadi kebimbangan diri adalah sampai waktunya teruji dengan kata-kata sendiri. Maka untuk itu, sayalah yang berhajatkan doa-doa indah dari kalian. :)
Kita pohonkan, semoga nikmat dan ujian yang datang membawa kita lebih dekat dengan Tuhan

"Keikhlasan doa. Keagungan kasih, mengubah takdir." (eceh, lirik lagu!)

Bila teruji dengan sesuatu yang kita lemah, kita masih ada sisi kuat untuk mempertahan. Tapi once kita teruji dengan prinsip diri, pergantungan dan kekuatan murni hanya dari Allah yang kita harapkan.

Dan yang terakhir di sini;
Terima kasih, adik!
Untuk setiap kebersamaan, dan perbualan-perbualan yang mengesankan.




Sudah saya simpan di draf sejak awal Februari.
Harini ini, saya memerlukannya,
boleh jadi, anda juga memerlukannya suatu hari nanti.
Maka, saya pamerkanlah ia di sini, kembali.

13052018
Negeri Sejahtera,
TGG, MYS

Jun 1, 2017

Kisah Si Tampan & Si Gagah


BismiLlah.

Dikisahkan tentang dua orang jejaka dalam sebaik-baik cerita yang diwariskan buat kita, umat akhir zaman.

"Surah Yusuf dibuka Allah dengan kalimat,
نحن نقص عليك أحسن القصص 
'Kami ceritakan padamu sebaik-baik kisah',
tutur Brother Nouman Ali Khan di hadapan Syaikh Fahd Salim Al Kandary. "Dan bukankah di dalam Al Quran ada Surah Al-Qasas? Maka apakah hubungan di antara keduanya?"
Ya.

foto dari facebook Akak Inspirasi QS :)
 
 
Surah Yusuf mengisahkan seorang anak lelaki yang dibuang ke dalam perigi. Surah Al-Qasas menceritakan seorang bayi lelaki yang dihanyutkan menongkah deras arus Sungai Nil.

Surah Yusuf menyebutkan sebab dibuangnya seorang budak lelaki adalah disebabkan  bisik-bisik syaitan kepada sekelompok saudara si budak lelaki yang diamuk dengki. Surah Al-Qasas mempersaksikan bahawa si mungil itu dibuang atas bimbingan wahyu Allah.

Surah Yusuf mengisahkan bahawa para saudara lelaki yang menjadi asbab perpisahan si budak lelaki dengan orangtua. Surah Al-Qasas menceritakan bahawa seorang saudara perempuannya menjadi perantara sebuah pertemuan semula si bayi dengan si ibu yang akan menyusui.

Surah Yusuf fokus menggambarkan sang Ayah; sedihnya, tangisnya, aduannya kepada Allah, bahkan sejak puteranya mengisahkan mimpi yang dia tahu akan menyebabkan masalah jika didengar anak-anaknya yang lain. Surah Al-Qasas konsentrasi melukiskan sang Ibu; dukanya, galaunya, doanya; sejak dia melahirkan dalam suasana adanya Raja yang membunuh bayi-bayi, juga kerana sebuah mimpi.
Dalam Surah Yusuf kita bertanya, "Di mana ibunya?", dan dalam Surah Al-Qasas kita bertanya, "Di mana ayahnya?" Seakan keduanya bergabung memberi pelajaran berpasangan pada para ayah dan para ibu.
Dalam Surah Yusuf, perpisahan dengan ayah berlangsung bertahun-tahun lamanya. Dalam Surah Al-Qasas perpisahan dengan sang ibu hanya terjadi beberapa fasa sahaja.
 
Dalam Surah Yusuf, yang menemukan si budak lelaki di pasar budak ialah seorang  bangsawan; Al 'Aziz. Dalam Surah Al-Qasas yang menemukan si bayi lelaki ialah Sang Permaisuri, Imra'atu Fir'aun.
Kedua-dua mereka yang menemukan, baik dalam Surah Yusuf mahupun Surah Al-Qasas sama-sama berkata,

عسى أن ينفعنا أو نتخذه ولدا
'Boleh jadi dia akan bermanfaat bagi kita, atau kita ambil saja dia sebagai anak.'
 Yusuf menjadi manfaat buat si penemu dengan dijadikan budak. Musa menjadi Pangeran dengan dijadikan anak.


Akhirnya kedua-dua mereka tumbuh dewasa, dan diuji oleh Allah. Yusuf diuji di dalam istana tuannya, dengan ujian nafsu syahwat. Musa diuji di luar istana ayah angkatnya, dengan nafsu amarah.
Yusuf tidak bersalah dalam peristiwa yang menimpanya, sedang Musa dalam Surah Al-Qasas bersalah kerana telah membunuh dalam kejadian yang dialaminya. Kedua-duanya punya saksi. Saksinya Yusuf meringankannya dengan menunjuk baju yang sobek di belakang. Saksinya Musa justeru menariknya untuk khilaf nyaris kedua kalinya. Tetapi akhirnya Yusuf yang tidak bersalah masuk penjara, sementara Musa yang bersalah lolos melarikan diri ke Madyan.

Surah Yusuf memperlihatkan seorang wanita bertahta permata namun menjadi ‘budak’ oleh nafsu syahwatnya, manakala dalam Surah Al-Qasas diperlihatkan watak perempuan mulia mendukung ‘iffah nan bersifat malu kerana iman di dada

Kisah Yusuf bermula di luar Mesir, dan berakhir di Mesir. Kisah Musa bermula di Mesir, dan berakhir di luar Mesir.


"Ma shaa Allah. Saya tulis tadabbur menakjubkan ini dalam bahasa bebas dengan penambahan dengan pengurangan, seiring dengan kekaguman Syaikh Fahd Al Kandary yang telah menghafal Al Quran sejak usia 15 tahun.

Dari kaitan kisah Si Tampan Yusuf dan Si Gagah Musa, tiadakah kita tergerak untuk kian menyemak kisah dan perumpamaan dari Kitab yang menakjubkan?"


Disalin dan diolah semula dari : akaun instagram Ust Salim A.Fillah

- - - - - - - - - - - - - - - - -

Ramadan & Al-Quran berpisah tiada.
Al-Quran & ketenangan, bercerai tidak.

Semoga dengan ikhtiar kita membudayakan Al-Quran sehari-harian menjadi asbab peroleh berkah di dunia, dan syafaat di akhirat sana. Semoga.

Selamat mempersiap bekal, wahai kita!
Bekal apa?

Nak ke mana?



﴾وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى﴿  

[2:197]
"Berbekal lah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah taqwa..."

 

 ﴾ تِلْكَ الْجَنَّةُ الَّتِي نُورِثُ مِنْ عِبَادِنَا مَنْ كَانَ تَقِيًّا﴿ 
[19:63]
"Itulah syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang bertaqwa."
 
 

Apr 17, 2017

Because It's Spring!

بسم الله الرحمن الرحيم


'Because It's Spring!' ?
*sejenis mati akal dalam membuat pilihan
Well yes. News feed facebook sudah dipenuhi gambar bunga, aneka warna, bentuk dan rupa.

Mampirnya musim bunga, yang terlihat pada zahir mata hanyalah variasi warna flora, mekar kelopaknya, terhidu pula harum aromanya.
Melihat sang rama-rama menghirup sari madu debunga, lenyap sejenak keluh kesah yang bertapa.


Padanlah kita diajarkan dengan doa ini;

اللهم اجعل القرآن ربيع قلوبنا

Cantik sekali maksudnya.
Berharap semoga Allah jadikan Al-Quran itu seperti musim bunga dalam hati-hati kita. Bila Al-Quran mula menyinari jiwa, akan lumpuhlah segala rasa gelisah dan dukacita. Yang tinggal hanyalah gembira dan bahagia :) 


Dan, majlis ilmu itu diibaratkan taman syurga.
Mendengar kalam mutiara sahaja sudah cukup membuncah cinta.




Keluarga Sale berpenat-penatan,
sepetang bersama mereka tidak lekang senyuman.
Bahagia benar mereka, menerima kunjungan tetamu mulia dari Tanah ibunda.

Petang itu juga, alunan qasidah bergema, menyemarak cinta dalam jiwa-jiwa yang merindui Baginda.


Minit-minit berharga pada petang itu,
Ustaz Syed Abdul Kadir berpesan;
Layaklah bagi seseorang itu digelar 'penuntut ilmu' bilamana mereka benar-benar menuntut ilmu secara fulltime.
Ke mana-mana mereka, harus dibawa bersama pen dan kertas, haus yang amat akan ilmu, yang punya tujuan yang benar dalam menuntut ilmu; ini antara ciri-ciri seorang penuntut ilmu.

"Yang paling penting bagi seorang penuntut ilmu itu ialah niat yang baik, niat yang betul."
Tajdid niat kita. Kita di sini untuk apa?
Segala gerak laku kita niatkanlah sebagai ibadah, in shaa Allah penat lelahnya itu berkah!

Lalu diingatkan lagi dengan kalam Allah yang ini, yang saban tahun Ayahanda mudir mengulang baca pada awal ucapan beliau selepas tamat kelas mengaji

[At-Taubah; 122]



Ada waktunya, sering juga kita diusik rasa cemburu.
Melihat senyuman riang mereka yang merangkul kemenangan, ada yang sudah menamatkan pengajian, ada yang terlebih dahulu menempa kejayaan. Yang sekali diajar sudah serta merta faham tanpa perlu diulang-ulang.
Cemburu, kita juga ingin begitu
 
Eh, tunggu dulu.
Rupanya kita lupa untuk berpaling ke belakang. Rupanya ada lagi yang kita tinggalkan.
Ada yang sedang jatuh, yang lelah, yang keliru dan ragu-ragu, ada yang masih terselam dalam kekecewaan semalam, ada yang baru bangkit dan harus bermula semula.
Dan lihatlah kita; di saat ini kita sedang berjalan, masih bertahan.

Zon masa kita semua tidak sama. Jadi, tidak perlulah kita berasa 'tertinggal' bilamana kita nampak orang lain lebih berjaya. Mungkin masa kita belum sampai.
Obama retired at 55, tapi Trump 'bermula' pada usia 70. Dua-dua pun jadi presiden, hanya zon masa mereka sahaja yang berlainan. *contoh keluar majal

Kita semua bergerak dalam laluan berbeza pada zon masa yang berbeza, sebab Allah ada perancangan berbeza untuk kita semua.
Kita ada zon masa kita sendiri, ini juga termasuk kategori rezeki.
Not too early. Not too late.
We're just on time!


Untung kita. Untung kita ini berada di jalan yang baik, dikelillingi orang-orang yang baik. Berapa ramai lagi manusia di luar sana yang menginginkan berada di posisi kita, tetapi kita dengan segala keberuntungan ini nyata masih belum terasa cukup?
Ya, kenapa ya?



Momen-momen berharga seterusnya,
giliran Dr Khalid Zahri, Pakar Manuskrip Perpustakaan Diraja Maghribi;
beliau menegaskan;
"Penuntut ilmu itu haruslah mencapai 4 tahap utama
Hifz, Fahm, Mubahathah, Mutorohah.."


Soal rezeki.

Peluang yang datang. Kadang kita lupa ia juga rezeki dari Tuhan.
Yang sudah kita genggam pun boleh jadi terlepas dari genggaman.
Peluang tidak selalu terhidang dua kali. Juga, masa tidak pernah berkompromi.

Padanlah, hidup manusia diumpamakan cuma sesingkat sela masa antara azan dan iqamah untuk mendirikan solat sahaja. Lahir kita dilaungkan azan ke telinga, dan kita disolatkan signifikasi pengakhiran kita di dunia.


Si pendengar tegar ini sekadar menyimpulkan
bahawa jalan menuntut ilmu itu sendiri merupakan jalan cinta, salah satu jalan-jalan ke syurga.


Sekalian makhluk di seluruh pelosok bumi ini bertasbih kepadaMu, beristighfar buat para penuntut ilmu.
Wahai Tuhan, aku malu.
Ke mana sahaja selama ini ku sandarkan hatiku?
 


Keluh kesah. Demikian fitrah manusia.
Bertimbun tugasan, bersimpang siur urusan, bercampur baur perasaan; sampai ada waktunya tidak tahu yang mana harus didahulukan.


Al-Isra'; 80
 
 
 
Satu lagi doa yang cantik sekali untuk kita amalkan.
Selaklah lembaran Al-Quran, berbicaralah dengan Tuhan dengan cara paling indah.
Semoga mencairlah kerak-kerak mazmumah di hati persis cairnya salju,
diganti zikir dan istighfar yang memekar bersenandung dalam tawa mahupun sendu.


Padanlah, majlis ilmu itu diibaratkan taman syurga.
Serta merta terkenangkan memori-memori di Alhambra.
Ingin benar ke sana lagi, kembali membaca dan menghayati setiap bait qasidah yang diukir penuh seni pada dinding merah sarat sejarah.

Jeda di The Generalife yang dulunya menjadi tempat istirahat Sultan, menyantuni bunga-bunga indah tumbuh memenuhi perkarangan, yang tasbihnya tiada henti.  Bunyi aliran air pancuran yang mengalir hingga ke kawasan istana, segar.
Indah. Tenang. Damai.

Di taman yang kesemua makhluk memuji Tuhannya, setiap detik mengingati Dzat Yang Maha Mulia; sebegitu diumpamakan majlis ilmu. *bahkahlebihlagi
Padanlah.
 
Keindahan di dunia ini pun sudah tidak mampu diterjemah dengan kata,
apatah lagi syurga Dia,
sungguhlah tidak mampu digambar keindahannya dek akal dangkal hamba.


Sekali lagi; majlis ilmu itu diibaratkan taman syurga.
Dan di dalamnya ada bidadari-bidadari dunia.


Bidadari?
Ah, masih jauh lagi.
Bahkan jauh sekali.
But the efforts toward it will  always be worthy, right?


Alhamdulillah.
AstaghfiruLlah.


Semoga setiap niat yang baik menemukan jalannya untuk menjadi amalan yang diterima Tuhan.




Seperjalanan pulang dihambat ketergesaan;
Train to Busan Mohammedia
16042017




Chat

Feb 25, 2015

Hilang

In the name of Allah, the Most Gracious the Most Merciful.


Ku sangka kan panas hingga ke petang,
rupanya hujan di tengah hari.







Seakan,
baru semalam pelangi indah menjadi halwa mata,
hati berbunga-bunga sebelum musimnya,


Sedang hari ini menghapus pergi segalanya tanpa sisa
Seri senyuman diganti kelam durja,
hati walang tiada kata


Memang.
Kehilangan itu dikhuatiri, ditakuti bahkan digeruni semua.
Kerana kita hanya hamba, 
manusia biasa,
yang punya hati jua rasa,
peminjam tegar segala kepunyaan Yang Esa,
bahkan tak pernah berhenti meminta-minta,
sedang tiada satu pun milik kita.

Segala apa pun yang hilang,
kehilangan tetap satu ujian.

Hidup penuh cabaran, 
bukan sekadar membina jambatan angan-angan.








Duhai,
apa kau kira pelangi itu bisa kau tatap setiap hari ?

Seindah mana pelangi itu, pasti jua akan tetap pergi
Namun, keindahannya kemas terakam di hati ini.


' Tak semua yang kita sayang akan kita pegang.'

Moga yang patah tumbuh,
yang hilang berganti,
sekalipun takkan berganti walau diganti,
dan tak selamanya mampu berada di sisi.


Moga lebih kuat,
moga lebih thabat,
moga tak lumpuh semangat.

Hidup ini anugerah,
pahit manisnya pasti berhikmah.

Pasti.





La Colline, Mohammedia
25022015
21:35

Feb 8, 2015

Paksi Ukhuwah Kita

In the name of Allah, the Most Gracious the Most Merciful.


Ada orang tu whatsapp semalam.
Katanya, tetiba pulak teringat nak tanya.


" Masa aku cakap aku nak pindah dulu, apa yang kau rasa ? "


Alamak.
Tak ingat dah la cik kak.

Erm.
Jap eh, nak flashback balik.


- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -


Gagang telefon diletak kembali ke tempat asal.
Lagi kurang seminggu nak daftar form4 balik.
Si bagasi masih relax tersadai di sudut bilik. Kosong.

Dia dah confirm nak pindah.
Dah confirm tak masuk form4 terus dah.

'Kenapa dia nak pindah ?'

Terkejut.
Sebab selama ni dia tak pernah nak mention pasal pindah sekolah ni.
Tup-tup malam ni dia call aku cakap nak pindah. 
Dah ambik sijil berhenti pun.
Boleh pulak aku tak sedar yang aku tunggu dia pergi pejabat lepas ambik result PMR tu 
sebab nak settlekan hal tu.

Sayu.
Well yes. Tipulah kalau tak rasa sedih, sayu bila kena tinggal dengan orang yang rapat dengan kita, kan ?
Memang lah duduk daerah sama lagi kalau diikutkan nanti, tapi banyak benda yang akan berubah.

Berbekalkan beberapa asbab yang dikemukakakn,
aku cuba untuk faham.
Secara mutlaknya dia berhak tentukan apa yang dia nak, 
apa yang dirasakan terbaik untuknya.
Sebab aku tau, dia punya alasan yang valid lagi relevan.

Makanya sebagai seorang sahabat,
hak aku hanyalah mendoakan yang terbaik untuknya.


- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -

Ha,
begitu lah secara khulasohnya.
Nak secara details tak larat eden nak perincikan.
Cukuplah sediri rasa sendiri simpan ye.


Tapi kan,
jarak tak menjadi halangan untuk terus bersahabat.

Nak bukti ?
Banyak.

1. (sambung kisah tadi)
... Aku stay di Besut untuk 2 tahun berbaki (form4 n form5)
dan dia di IQT Padang Midin, Kuala Terengganu.
Hujung minggu balik rumah, call je, sembang macam tak nak tidur, berjam-jam bertukar kisah masing-masing.

Pernah je dia balik rumah aku time sama-sama minggu balik,
walau tak sama sekolah dah.
Siap ajak pergi Sabasun lagi :D

Lepas habis SPM tu dia still di IQT sambung STAM.
Sempat beberapa kali aku jenguk dia di IQT sebelum dia balik Selangor masuk dauroh.
Pergi appoinment hari tu pun aku yang ambik hantar dia.
Ke airport pun aku jugak.
Siap iftor kat airport lagi tu.

Chill.

Alhamdulillah,
bumi Syams menjadi pilihannya berkelana.
Moga sentiasa diberi kekuatan dan kesihatan untuk terus bermujahadah di sana .


2. (kisah 'dia' yang lain)
Dia bestfriend sejak sekolah rendah.
Terpisah sepanjang sekolah menengah.
Walau aliran tak sama tapi setiap kali ada problem dia jugak yang aku call dulu.

Kalau time cuti sekolah tu, tak pernah tak jumpa.
Paling tak pun gayut lamalama sampai pernah tertidur sambil dengar dia punya cerita.
Kalau orang lain, setiap kali cuti akhir tahun beli barang n kelengkapan sekolah dengan mak ayah mama abah ummi abi kakak abang makcik pakcik etcetc, aku pulak dengan dia je. 
Ni memang habit sejak form2 sampai sekarang.

Dan dah 2 kali buat jaulah sendiri ke KL naik bus, nak pergi Big Bad Wolf punya pasal.

Time ulang alik YT untuk urusan tajaan further study pun dialah peneman.


Awesome tak ?  XD

Mohon didoakan.
Moga mekarnya tak akan layu.






So,
sebernarnya ukhuwah ni tak reput dek jarak pun.
Asalkan hati masing-masing sama-sama berkongsi rasa.


Bila sayang itu ada, 
bila manisnya ukhuwah itu menyerap rasa di jiwa,
sejauh mana keberadaan jasad pun tak mampu menghalang jiwa yang 'hidup' dalam picisan-picisan kenangan yang bersemadi sentiasa.

Dengan asbab itu,
kita akan sentiasa mencari jalan, merencanakan sesuatu untuk terus berhubungan.
Keep in touch gitu kan kan.

Tambah-tambah sekarang dah pelbagai macam cara boleh apply.
Facebook. Skype. Whatsapp. Wechat. 
Nak apa lagi ?

Ha, ni nak bagi formula skit ;







Jika jarak itu melemahkan,
yakinlah doa itu mendekatkan .
Luaskan empayar ukhuwah fiLlah.


Moga doa rabithah utuh di jiwa,
menjadi perantara,
antara kita dan dia.
Paksi ukhuwah antara benua.





La Colline, Mohammedia.
08022015
17:56


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Transparent Teal Star