Google | Youtube | Al-Ahkam | IslamGRID | Islamic Research Foundation | Palestinkini | Dunia Muslim | Ilmu Sunnah |

Jul 5, 2019

Surat Balas Ron Weasley untuk Harry Potter



Untuk Harry.



*Gambar tiada kaitan


Surat kau benar-benar telah membuatkan aku malu sendiri, Harry.
Aku tahu akulah yang salah dalam hal kita. Entah bagaimana juga, aku buntu hal ini tercetus antara kita, berlanjutan bahkan, sehingga terbawa-bawa ke hari ini. Ah, aku rasakan sudah begitu lamanya.

Er, aku keliru mahu bermula dari mana.
Betul, Harry. Semuanya bertitik tolak semenjak malam pemilihan wira-wira untuk Triwizard Tournament. Kau tahu, semua pelajar termasuklah professor, dan aku sendiri Harry sahabatmu sangat terkejut apabila Professor Dumbledore melaungkan nama kau, nama keempat yang dikeluarkan oleh Goblet of Fire yang ajaib itu! Perasaanku bercampur baur. 
Terkejut dan hairan; bagaimana ia boleh terjadi? Sedangkan kita sebaya, masih bawah umur. Kita juga sama-sama menyaksikan apa yang menimpa Fred dan George akibat melanggar syaratnya. Terus, bagaimana piala api itu kau tundukkan? 
Sedih dan marah sekali gus; sangkaku ketika itu kau merahsiakan hal ini daripadaku untuk kepentinganmu. Harry Potter yang sentiasa masyhur, sehinggakan untuk pertarungan ini pun dia mampu terpilih sebagai wira sekolah! Fikiranku berkecamuk dan dipengaruh orang. Aku berasa disisihkan, seolah-olah aku bukan orang penting untukmu.

Tapi, Harry. Aku telah berbuat silap. Aku menyedarinya.
Dan sebenarnya, Harry, aku tidak mengambil waktu yang lama untuk menyesalinya, bahkan sebelum cabaran pertama kau lagi. Benar, begitulah yang terjadi. Tapi, ego aku rupanya bertembok juga, susah diruntuhkan. Aku jadi malu untuk meminta maaf padamu. Tambahan pula kau juga tidak menyapaku seperti biasanya. Aku jadi janggal mahu memulakan. Padahal, itu bukan salahmu sama sekali. Kau berkelakuan begitu pun, disebabkan aku yang memulakannya dulu. Ya, akulah punca.

Lalu, aku fikir dengan cara membocorkan rahsia pada Hagrid tentang kedatangan Charlie dari Romania, ia akan membantumu menghadapi cabaran pertama, yang aku sangat yakin, kau langsung tidak pernah terbayangkan bahawa kau akan berhadapan dengan naga! Dan seperti yang sudahku jangka kan, Hagrid sangat teruja apabila akhu khabarkan padanya tentang naga-naga itu sebelum diingatkan tentang kau, Harry, yang akan bertarung menundukkan makhluk itu. Dan aku tahu benar, Hagrid akan turut sama membantumu. Dia tidak akan membiarkanmu sendirian dalam hal yang genting sebegini.

Awal Charlie menghubungiku, memberitakan kehadirannya bersama naga-naga itu, aku runsing. Bagaimana kau ingin menghadapinya nanti? 
Aku sedikit lega kerana Hermione sentiasa di sampingmu, tidak seperti aku ini. Rajuk yang langsung tidak mendatangkan keuntungan. Ralat juga rasa hati. 
Aku mahu perbaiki keadaan kita, tapi buntu dengan cara yang bagaimana. Kau pun tahu sendiri kan, bagaimana teruknya aku apabila menggunakan kata-kata?


Sepanjang tempoh itu, aku galau sebenarnya, Harry. Berperang dengan perasaan, tapi tidak tahu bagaimana hendak diluahkan kata maaf.
Awalnya aku fikir kau tidak apa-apa dengan kelakuanku.

Tentu sahaja aku silap. 
Bahkan memang sewajarnya aku yang mendatangi kau dahulu. Kau pula malah membuatku mengulang tayang satu persatu kenangan kita walau cuma tercoret dalam buku catatan di bawah bantalmu. Berganda-gandalah sesalku, sahabat.
(Maafkan aku kerana tidak sengaja terbacanya, tempoh hari buku catatanmu terjatuh dari katil, aku cuma berniat ingin meletakkan di tempatnya, namun lain pula jadinya apabila aku terpandangkan namaku yang tertulis pada helaiannya yang terbuka. Maafkan aku untuk perkara kedua ini.) *plottwist!*  XD


Harry, aku percayakan kau, dan akan sentiasa berada disampingmu, through thick and thin. Maafkan aku Harry, kerana telah membuatkan kau sesedih itu. 
Harry, kau masih sudi mengambilku kembali sebagai sahabat, iya kan?


--> Baca entri terdahulu: (Surat Harry Potter untuk Ron Weasley)




05072019
(tiga tahun sangat baru Ron balas surat Harry haih)
Pause sebentar daripada realiti, sesambil korek entri dalam draft.
Belambak rupanya. Adehh.
[TGG, MYS]

Jun 29, 2019

Hati-Hati


Hati-hati menyusun kata.
Mungkin di sana 
ada yang terluka hatinya,
lantaran kita.
Sama ada yang ditutur satu persatu di hadapan muka,
atau cuma lewat pesanan suara,
termasuklah yang ditulis di media,
semuanya, waspadalah.


Hati-hati.
Kekiotikan dalaman
kita sangka apabila diluah akan difahami
ironinya menemukan makna dari pintalan rasa itu tidak mudah,
wahai kita.
Jikalau tidak berada-ada,

masakan tempua bersarang rendah?
Ya sudahlah, jujur saja
tidak perlu berpura-pura.
Bersetuju biarlah dengan kefahaman
bukan sekadar untuk menyelesaikan,
tapi nun di sini sana dihambur propaganda,
kencang.
Kelak tersadung keputusan sendiri,
dengan alasan apa mahu bertongkat bangkit nanti?


Sembunyi hanya bila perlu,
bukan untuk berselindung dari kenyataan 
dan rasa puas nafsu.
Kalau tak jujur, nilai yang lain pun akan hancur.
Barangkali antara berlaku jujur dan menjaga hati,
ada garisan yang sering dilampaui.


Akal tak sekali datang, runding tak sekali tiba.
Andai kefahaman tiada titik temunya,
pengalaman orang di kiri kanan pun tiada berguna.
Air setitik hendak dilautkan, tanah segenggam hendak digunungkan.
Betapa sukarnya menjadi waras 
ketika persekitaran berubah iklim kewarasannya.
Berlaku adil lah, 
sekurang-kurangnya dengan perasaan sendiri.
Namun apalah jua imbalannya membicarakan bisa lebah 
kepada seseorang
yang selama hidupnya 
belum pernah merasakan sengatan?



Terlihat keras dan kuat, tapi hujungnya terlalu sensitif dan rapuh. Hendaklah ia disimpan rapi.
Cuma patah sedikit, sudah tidak mampu digunakan, harus diasah dulu, diasah dengan caranya yang tersendiri.
Apalah gunanya batang resam jika tidak mampu menumpahkan hasil kaligrafi?


Segala yang lepas sudah berada di sempadan hidup 
yang tidak mampu lagi dijajah. 
Walau bagaimanapun juga, kita tidak tahu entahkan apa pengorbanan dan perjuangan yang harus ditempuh seseorang itu untuk sampai ke detik ini, di fasa manapun.
Lalu penawar kita apa?
Teruslah bertahan dengan keyakinan, sangka baik lagi dan lagi.
Ujian Allah datang dalam pelbagai bentuk, 
semoga dikuatkan juga kita dari segenap arah.
Mudah-mudahan kesemuanya ujian yang mendekatkan, bukan hukuman yang melalaikan.


"Semoga dipermudahkan."
Acapkali diucapkan. 
Tapi, hati benar-benar mengharapkan keajaiban, setiap dari kita pastilah demikian; menga'aamiin'kan ucapan yang baik, doa-doa tulus daripada insan-insan sekeliling, agar urusan benar-benar dipermudahkan Tuhan.
Kita tidak pernah tahu, doa siapa yang lebih dahulu Tuhan kabulkan. 
Andai Allah takdirkan sesuatu berlaku sesuai yang kita hajatkan, apa benar asbabnya doa kita sendiri? Atau sebenarnya hajat yang tumbuh dalam doa orang lain yang Allah perkenan. 
Takdir Allah terlalu rahsia, hanya akan terungkai sampai waktunya yang tepat. 
Rahmat Allah, itulah yang dihajatkan sentiasa, selamanya, untuk ke syurga.
ولو لا فضل الله عليكم ورحمته

Kebesaran Allah. Kekerdilan kita.




Rapuh di situ, retak di sini.
Tercicir di hujung sana.

Moga Allah sentiasa kuatkan
 untuk mengutip bahagian-bahagian dari kehidupan ini
 dengan jalan ketaatan.

Pengakhiran Syawal 1440H,
TGG, MYS.

Mar 8, 2019

Cerita Perempuan-Perempuan Matang

بسم الله الرحمان الرحيم

Sering kita perihalkan kematangan. Dibicarakan ketika mendefinisi seseorang, atau menilai fikrah dan hujah dalam penulisan dan percakapan. Adapun demikian halnya, setiap dari kita memiliki piawaian yang berbeza dalam menilai kematangan.

Kematangan ialah aset penting dalam kehidupan.
Ia tidak diukur dengan umur, atau peringkat pengajian, pangkat mahupun fizikal. Harus kita fahami konsep matang ini dengan jelas, supaya kita tidak menzalimi mereka yang memang matang pada hakikatnya, dan supaya kita mampu membina lebih ramai manusia yang matang dalam erti kata yang sebenar.


"Matang adalah apabila seseorang itu mampu mengenali Allah, mengetahui matlamat kehidupannya, dan tanggungjawab keberadaannya di dunia ini. Seterusnya, dia bergerak bersungguh-sungguh ke arah memenuhi tuntutan kehidupannya sebagai hamba Allah, dan pentadbir muka bumi ini." (Hilal Asyraf)


Begitukah definisi matang? Apa keterikatannya?

Untuk mampu mencapai kematangan tersebut, seseorang itu harus memiliki disiplin yang tinggi, akhlak terpuji, punya ketegasan prinsip diri, ada pertimbangan pula antara banyak cabang dan sisi. Semua ini berteraskan definisi tadi.

'Development of thinking.'
Matang ialah abstrak dalaman yang berakar di fikiran, menjalar ke seluruh tindak tanduknya.

Begitulah secara teorinya. Matang atau kurang matang seseorang kebiasaannya lebih disedari oleh insan-insan yang berada di sekelilingnya, dalam lingkungannya menjalani hidup. Malah membahas seputar teori begini akan lebih mendorong kita untuk mengaitkan ia dengan peristiwa-peristiwa yang bersangkut paut dengan diri kita masing-masing, berlegar-legar di mandala kehidupan.





Cerita 1: Firasat Benar & 'Iffahnya Si Perempuan Madyan [Al-Qasas]
Kata guru kami, jika sudah diperihalkan Allah tentang seorang insan itu dalam Al-Quran, kesimpulannya hanya dua; sama ada individu itu seseorang yang hebat, yang beriman yang harus diberi perhatian, atau seseorang yang sangat zalim, buruk perilakunya, yang harus kita jadikan benteng, dibina sempadan.

Dalam surah Al-Qasas, bermula ayat 15-22. Rentetan peristiwa Nabi Musa AS melarikan diri ke Madyan, terjadilah peristiwa yang sewajarnya menjadi rujukan dalam asas pergaulan lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

Nabi Musa AS membantu dua orang perempuan mengambil air untuk memberi minum ternakan mereka. Jika ditadabbur uslub yang digunakan berserta tafsir para mufassir, 

 "تمشي على استِحياء ---- القوي الأمين"[Al-Qasas, 25]

Frasa "berjalan dalam keadaan malu" ini apabila diperhalusi, menunjukkan nilai iman yang tinggi pada si perempuan Madyan. Malu adalah kosmetik yang tinggi harganya bagi perempuan yang beriman. Perasaan malu itulah perisai dalam perhubungan lelaki dan perempuan. Menariknya, kisah ini mengajar keseimbangan malu, dan dalam masa yang sama masih mampu berkomunikasi dan saling membantu antara berlainan jantina. Kata orang kita, "malu biar bertempat."

Bukan sekadar itu, bahkan cerita ini disusuli pula dengan analisis bijaksana perempuan ini terhadap peribadi Nabi Musa AS.

Kuat (mampu melaksanakan tugas/memikul tanggungjawab) dan amanah; dua kunci utama dalam pemilihan pemimpin, atau pekerja.
Padahal pertemuannya dengan Nabi Musa sangatlah singkat, malah tidak ada perkenalan mahupun perbualan panjang antara mereka.


Dalam tafsir  menjelaskan bahawa perempuan itu berkata,  
“beliau (seorang diri) mengangkat (batu penutup perigi Madyan) yang tak mampu diangkat melainkan dengan kekuatan 10 lelaki. Tambahan pula apabila aku berjalan di hadapannya (ketika menjemputnya ke rumah kita), beliau berkata: Saudari berjalanlah di belakangku. Apabila aku menyimpang dari jalan ke rumahmu, lontarkan batu kepadaku supaya aku tahu mana jalannya" (Tafsir Ibn Kathir).



Hebat sekali mata hati perempuan ini, pandangannya bukan pandangan kosong tetapi pandangan bijaksana menganalisis kewibawaan Musa. Benar sekali pujian Abdullah bin Mas’ud kepada beliau (Tafsir al-Tabari):

:أفرس الناس ثلاثة

العزيز حين تفرّس في يوسف فقال لامرأته:(أكرمي مثواه عسى أن ينفعنا أو نتخذه ولدًا)، وأبو بكر حين تفرَّس في عمر، والتي قالت:( يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الأَمين).ا
Ertinya: Manusia yang benar firasatnya ada tiga iaitu;
1. Al-Aziz (pemimpin Mesir); firasatnya tentang kualiti Yusuf dan meminta isterinya memuliakan keadaan Yusuf. [Surah Yusuf, 21]
2. Abu Bakar RA apabila beliau melihat Umar selayaknya menjadi khalifah selepasnya,
3. Perempuan dalam kisah Musa ketika menyatakan perihal peribadi Musa kepada bapanya. [Surah Al-Qasas, 26]


Firasat yang benar itu datang dari hati yang bersih. Hati, tempat jatuhnya pandangan Allah pada manusia.
Rupa-rupanya, peristiwa pembunuhan yang tidak disengajakan dan menjadi buruan Firaun itu menjadi asbab Nabi Musa AS ke Madyan, kemudiannya ditemukan jodoh dengan perempuan hebat ini. Asbabnya pelbagai, musabbabnya Allah jualah. Ma shaa Allah.


Cerita 2: Asiah & doanya yang bijaksana [At-Tahrim]

Asiah, si Ratu Syahadah. Perempuan  yang imannya teruji dengan suami yang zalim dan mengaku Tuhan, Firaun la'natullah. Tidak disebutkan nama Asiah dalam Al-Quran. Walau bagaimanapun, para ulama kebanyakkan mentafsirkan tentang ‘wanita Firaun’ yang dikisahkan itu ialah Asiah bintu Muzahim. Asiah ialah wanita mulia yang disebutkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadisnya. Biarpun perkahwinan ke atas Firaun atas dasar paksaan, tetapi demi membebaskan kedua-dua ibu bapanya, Asiah menerima pinangan Firaun.


Asiah hidup bersama Firaun di dalam sebuah istana yang dilimpah kemewahan. Sekalipun ketaatan kepada suami itu penting, tetapi hatinya jauh melonjak, mencari ketaatan yang jauh lebih utama, tempat tingginya di sisi Allah Rabbul Jalil. Berpaksikan keimanan dan ketaatannya pada Allah itulah Asiah merelakan dirinya diseksa oleh Firaun.
Kisah isteri Firaun ini dibicarakan Allah SWT di dalam al-Quran menerusi Surah At-Tahrim ayat 11. Allah berfirman yang bermaksud, 


“Dan Allah mengemukakan satu perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: “Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim” 


Guru kami menyatakan, bahawa doa ini doa yang sungguh bijaksana. Asiah memohon kepada Allah agar dibina sebuah rumah di sisi Allah di syurga. 
Mengapa Asiah memohon cuma sebuah rumah; sedangkan di syurga itu selayaknya diminta yang lebih indah. Seperti sebuah istana? Sedang dia pula mendiami istana Firaun selama di dunia.
Kontradiksinya, bahawa kehidupan yang bermewah-mewah di istana bersama-sama Firaun tidaklah mendatangkan kebahagiaan yang selayaknya, malah Asiah terlalu lemas hidup di dalam kekufuran. Justeru, permintaan sebuah rumah sudah memberi persepsi kepada Asiah bahawa istana dan kemewahan itu tidaklah memberi makna dalam hidupnya.
Sedar atau tidak, antara wanita-wanita utama yang diceritakan ialah mereka yang berkait rapat dengan kronologi hidup Nabi Musa AS (terutama dalam surah Al-Qasas). Bermula daripada ibu Nabi Musa, saudara perempuannya, isteri Firaun, dan kemudiannya tentang perempuan Madyan puterinya Syuaib dua bersaudara. Sungguhlah, AL-Quran itu sebaik-baik cerita. :)


Cerita 3: Menantu Umar Al-Khattab, Nenda Umar bin Abdul Aziz.

Dikisahkah, pada zaman Umar Al-Khattab, pernah beliau meronda pada waktu malam dan apabila menghampiri sebuah rumah, beliau terdengar perbualan antara seorang ibu dan anak perempuannya tentang jualan susu kambing. Barangkali mereka ini berjualan susu kambing di wilayah ini, fikir Umar.



Ibu: "Wahai anakku, campurkanlah susu itu dengan sedikit air. Biar kita dapat menjualnya dalam kuantiti yang lebih banyak." 
Anak: "Wahai ibu, bukankah itu satu penipuan? Kita tidak boleh berbuat begitu. Amirul mukminin melarang kita menipu dalam berniaga." 
Ibu: "Tidak mengapa, anakku. Tiada sesiapa yang melihat dan tahu kita melakukannya, termasuklah Amirul Mukminin." 
Anak: "Benar ibu, Amirul Mukminin tidak melihat kita, akan tetapi Tuhan Amirul Mukminin Allah sentiasa bersama kita, Maha Melihat dan Maha Mendengar."



Sayydina Umar yang mendengar perbualan itu lantas menangis tersentuh. Rentetannya, beliau meminta anak lelakinya, Asim menikahi gadis penjual susu tersebut dan berdoa, "semoga lahir dari keturunan gadis ini pemimpin islam yang hebat yang dapat memimpin orang-orang arab dan 'ajam. "


Asim yang patuh menurut sahaja cadangan ayahandanya. Hasil dari pernikahan Asim dan gadis penjual susu tersebut, maka lahirlah seorang puteri yang diberi nama Laila. Laila kemudiannya berkahwin dengan Abdul Aziz, lalu dengan rahmat Allah, lahirlah dari mereka seorang anak yang sekarang kita kenali beliau dengan nama Umar bin Abdul Aziz, pemimpin agung yang didoakan oleh Umar al-Khattab. Ma shaa Allah.

Sudah kenal dengan perempuan ini?
Cuma seorang perempuan biasa yang membantu ibunya berjualan susu pada zaman itu, tetapi kerana taqwanya, Allah memuliakannya dengan menjadi menantu Sayyidina Umar, bahkan daripadanya lahirlah pula keturunan yang baik dan mulia, khalifah yang namanya tiada lekang meniti di bibir para ilmuwan.




"Fear Allah." 

Antara ayat Dr Nurul Jannah yang paling terkesan juga, selalu meniti di bibir beliau pada setiap kali pengajian syarah RiyadusSolihin. Dan benarlah, begitu hasilnya mukmin yang banar-benar meletakkan ketakutannya hanya pada Allah semata. Sejatinya seluruh hidupnya, tindak tanduknya, lintas rasanya, terkait dengan Allah.

Dalam Bahasa Arab, kalimah 'أمة' (ummah/umat) intinya dari kaliah 'أم' yang bermaksud 'ibu'. Tiadalah ummah apabila tiadanya ibu, justeru ibu itulah penentu arah ummahnya kelak yang menjadi madrasah pertama generasinya.
Jelas sekali, untuk mendidik, terlebih dahulu harus dididik. Setiap ibadah didahului dengan ilmu yang sohih, bukanlah sekadar taqlid membuta, semberono beramal tanpa sandaran yang jelas.


"Berburu di padang datar,dapat rusa belang di kaki.Berguru kepalang ajar,bagai bunga kembang tak jadi."


Maka, mendidik diri kita duhai sekalian perempuan, dalam Islam ia adalah investasi yang harus dijalankan. Bukan beban, tapi kemuliaan. Didikan apa lagi yang lebih indah daripada didikan Islam untuk diorientasikan menjadi bingkai pendidikan keluarga?


"الأسرة هي محراب لإقامة عبودية لله"


Kita tidak sempurna untuk tahu dan buat banyak perkara. Disebabkan itulah jua, hidup ini satu medan yang penuh hikmah untuk kita muhasabah dan ambil iktibar sesuatu pada setiap sela waktunya.

"Saya ingin sekali berkenalan dengan seorang 'gadis moden', yang berani, yang dapat berdiri sendiri, yang menarik hati saya sepenuhnya, yang menempuh jalan hidupnya dengan langkah cepat, tegap, riang dan gembira, penuh semangat dan keasyikan, gadis yang selalu bekerja tidak hany untuk kepentingan dan kebahagiaan dirinya sendiri saja, tetapi juga berjuang untuk masyarakat luas, bekerja demi kebahagiaan sesama manusia. Hati saya menyala-nyala karena semangat yang mengelora akan zaman baru..."[Surat-surat Kartini]

Kematangan itu ada pada ilmu dalam diri dan nilai dalam memandang kehidupan, wujud pada hati yang selalu membawa jiwa seorang hamba dalam dirinya untuk mengenal dan taqarrub dengan Tuhan. Kematangan tidak terbangun dengan sendirinya, ia perlu dibina. Semoga solehah dan kebijaksanaan menempati hati dan akal kesemua dari kita, duhai perempuan.

Sampai di sini dahulu. 
Masih ada lagi, bahkan ramai yang belum didendangkan. 





Hakikatnya sebuah tulisan;
meneruskan untuk meninggalkan.
Moga menjadi asbab hidayah,
penambah kebaikan, pemberat mizan.

Bersempena Women International Day.
08032019 - penghhujung Mac.
Gombak, MYS.

Feb 15, 2019

Bicara Judul Buku


"Kenapa ya, apabila digambarkan syurga, seringkali sinonim dengan bidadari-bidadari?"

Hm, kenapa?

"Sebab kurangnya wanita di dalam syurga..."

Hening.
Cuaca semakin panas sekarang. Rama-rama yang berterbangan pun sudah kurang kelihatan, yang di dalam ini pula semakin rancak berkeliaran. Logik.

Al-Quran mengangkat martabat kaum wanita dalam surah An-Nisa'. Keadilan ditegakkan.
Allah memuliakan kaum wanita dengan meletakkan Surah Maryam. Maryam ialah satu-satunya nama wanita yang disebut jelas di dalam Al-Quran, tiada nama lain.

Wanita-wanita yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik. Begitupun sebaliknya.
Tapi jangan kita lupa, kisah Ratu Syahadah; Asiyah bintu Muzahim. Bukankah serikandi ini diuji dengan suami yang maha zalim, manusia yang mengaku dirinya Tuhan, Firaun.
Bagaimana pula dengan isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Luth? Masing-masing jelas derhaka dan ingkar dengan seruan dakwah sang suami.
At-Tahrim merumuskan kedua-dua kisah ini.



Demikian perempuan.
Hal-hal yang remeh pada perkiraan lelaki boleh jadi hal yang berlegar-legar di fikiran mereka sehari-hari.
Demikian perempuan.
Kaya dengan emosi, hatinya rapuh sekali walau ada antara mereka yang tidak jaguh mempamer ekspresi.
Demikian perempuan.
Luarannya terlihat garang, padahal di sela-sela waktu ada esak tangis berlanjutan megemis kekuatan yang tidak kau dengarkan.

Dan perempuan sekarang mujahadah hatinya lebih besar tuntutan.
Menjaga pandangan tidak hanya pada dunia realiti, bahkan dunia sosial lebih menekan, tambah lagi di saat menyendiri, tiada yang tahu, tiada yang mengingatkan.

Perempuan, auratmu itu perhiasan, tinggi harganya tiada ternilaikan.
Hatimu jangan mudah luluh dengan manis tutur kata yang singgah dengan pandangan yang teduh, yang tidak lain hanya akan membawamu kepada hal-hal yang sia-sia, yang lalai lagi melalaikan semata! Jiwa kelam, hati hitam, dan iman pun terbungkam.
Kerana yang belum bersungguh, mana mungkin berani berlabuh untuk mengambil sebuah perjanjian teguh?

Biarkan si solehah terus solehah. Bantu si solehah jadi muslehah.
Semoga Allah memberkati mujahadah mereka yang sedang bertempur dengan nafsu dan diri sendiri demi mempertahankan 'iffah.


"Siapakah kamu perempuan?
Perempuan, jika jadi anak, dia ialah bidadari kecil ayah bonda, permata yang siang malam dijaga oleh kedua-duanya.Perempuan, jika jadi pasangan, dia ialah kenangan terindah, syurga untuk pasangannya di dunia.Jika dia menjadi bonda, wah, syurga telah berpindah di telapak kakinya! Dia bawa syurga itu ke mana-mana.Nabi bersabda; perbaikilah tiang, tatkala kehidupan adalah bangunan.Wahai perempuan, di rumahmu, kamu jantung keluarga. Gembiramu adalah gembira keluargamu. Maka sebagai tiang, wahai perempuan, kamu harus kuat tak tergoyahkan. Sebagai sandaran, tegarmu adalah ibarat karang di lautan."-Nukilan Ustazah Norhafizah Musa


Dan perempuan itu siapa? 
Perempuan itu adalah kita.

Eh, kencangnya!
Moga lebih kencang kejar cinta Tuhan. <3 font="">


"Lapis-Lapis Keberkahan? Atau, Dalam Dekapan Ukhuwah..?"

Ya, boleh kedua-duanya. Bahkan ada satu lagi tambahan,


"Biar Bidadari Mencemburui Dirimu."

Sama-sama senyum.
Demikian kesudahan sebuah bicara judul buku. (Tapi, bukan 'review')




A memory; end of spring, somewhere in 2016.
Belum cukup 'segar' buah fikiran untuk tulisan-tulisan baru.
Semakin masa berganti, semakin banyak yang teruji.
Hal-hal yang baik tidak akan terlepas dari ujian, begitu katanya.

Jan 14, 2019

Selepas Dua Dekad Lebih Satu

Selepas Dua Dekad Lebih Satu - Kisah Dua Puluh Dua


BismiLlah.


Satu angka sudah terlewatkan hari ini. Usia dua puluh dua yang bermakna, meninggalkan ibrah dan hikmah untuk dijadikan bekal episod-episod kehidupan selepasnya.
Perjalanan hidup manusia itu panjang dan berliku, apa mungkin disingkat menjadi cerita pendek?
Sedangkan pada kebanyakan cerita yang ditulis, kita sering diperlihatkan bahagian-bahagian yang terbaiknya sahaja, kerana manusia itu berjuang dalam hidupnya untuk menyembunyikan kelemahan diri. Sembunyi untuk diperbaiki.

Dari Januari tahun lalu hingga ke Januari ini, telah saya rasakan banyak kejutan dalam kronologi hidup. Salah satunya, lebih banyak air mata dari gelak tawa. Anehkah, atau biasa?
Bukan itu persoalan utama. 
Cukuplah dengannya, saya menjadi lebih faham bahawa signifikasi air mata tidak mutlak menggambarkan derita semata. Bahkan ia lebih dari sempadan jajahan nestapa. Pada tangisan itu terselit kekuatan, sebenarnya. Biar tangisnya bertempat. Menangis, mengemis, agar kemudiannya kita lebih tegar bermanis.
Ma shaa Allah, begini rupanya menjadi dewasa, sentiasa menemukan falsafah di sebalik kejadian manis, sadis, mahupun tragis!


En route to Ifrane


Fasa I
Dua puluh dua mengajak saya berdamai dengan banyak situasi, bermula dengan plot yang menemukan seorang saya melunaskan perjuangan di daerah tenang. Ah, rupanya ia sudahpun menjadi sesuatu untuk dikenang. Begitu pantasnya!
Betapa Makcik Najat ialah sosok yang terlalu saya terhutang budi. Dia, pada tarikh yang sama tahun lalu telah menghadiahkan sepasang anting-anting sebaik menerima khabar gembira saya lulus semester 5, juga bersempena hari jadi. Oh, hari itu juga ada Kak Hu yang menemani. Singgah semalaman pulang dari bermesyuarat sebelum meneruskan perjalanan ke Eljadida. 

Kak Hu bawakan sekotak pizza, satu kilo pisang tanda meraikan. Riangnya saya bukan kepalang. Ditunggunya kek keladi yang saya bersungguh-sungguh siapkan malamnya. 
Sebiji kek terlalu banyak untuk saya yang tinggal sendiri, memandangkan Makcik Najat tersangatlah menjaga pola pemakanannya dengan tidak mengambil manisan dalam menu makanan seharian, jadi awal-awal lagi sudah saya niatkan mahu bekalkan Kak Hu, biar disantap bersama Kak Hu yang lagi satu. Itu baru satu per empat bahagian, selebihnya lagi, dengan senang saya bahagikan kepada anak-anak jiran yang riang bermain bola di padang pasir berdebu, juga menitipkan sebahagiannya kepada Khuya Khalid pemilik hanut(kedai runcit) yang budiman. Dan, tentulah saya tidak lupa mengetuk pintu teratak 456, jiran susah senang.



Fasa II


Kalau ada rezeki jejak Maroc lagi (semoga ada! Aamiin!), antara yang saya hajatkan ialah saya masih ingat selok belok Mdinah 9adimah dari awal masuk Babl Hadd sampailah keluar ke Bab Rsif :)

Februari menjadi penanda aras terakhir saya tinggal sendiri. 
Selepas berhijrah dari Mohammedia, saya hidup nomad, tumpang menghuni di Villa Mahabbah, wilayah Sale. Di sana komunitinya ramai, meriah. Kembali belajar menyantuni banyak orang, banyak ragam dan pandangan yang harus dirai, skill memasak juga harus ditingkatkan prestasi dan kualiti untuk menjamu banyak orang dan tidak lagi hanya untuk diri sendiri. Ironinya diwartakan sahaja begitu, hakikatnya setiap Khamis saya tetap kembali ke daerah tenang, menghadiri kelas Al-Quran di Masjid Redouane. Gigih, bukan? 
Ulang-alik perjalanan kan ada renyahnya, biarlah jasad penat sekejap, tapi jiwa saya lebih tenang begitu. 


Unicorn Crown for Kakak Miza; made by Dana Sufiya, with love.
I miss you my sweety pumpkin yummy yumm :)

Mac mampir dengan pakej nikmat dan ujiannya tersendiri. Marathon - Kembara #LEuroTrip menghadiahkan banyak ibrah, juga menemukan saya dengan insan-insan yang tulus hatinya, kenangan yang terlalu berharga walau seketika cuma. Setelahnya, Majlis Graduasi MMG yang mengharukan memasuki plot. Walau sejak tahun-tahun sudah, saya tidak pernah lagi mengharapkan sebarang sambutan graduasi. Maha Suci Tuhan yang menggerakkan hati-hati sekalian orang yang gigih menjayakan. Sungguh, begitu istimewanya Jumaat, tanggal dua puluh tiga, semoga ada barakahnya juga.


Because everyone made sooo many efforts for my day, i made this simple memento for all of you as a token of appreciation from me, ordinary me. Nothing much.



Fasa 3



Favourite pic - April, Spring Break Camp :)

Bila April.
Menyertai AGM terakhir, itu satu kemestian. Penghujung April juga diisi dengan jaulah wida' yang sudah saya muatkan dalam entri khusus. Terlalu banyak yang ingin diperinci tentangnya, (untuk yang masih menantikan sambungannya, mohon maaf belum mampu tulis lengkap, mohon didoakan berkah waktu dan urusannya).
Lalu ia pun berlabuh, dan Mei tidak mampu menunggu lagi. Saya akur apabila waktu untuk saya tinggalkan Bumi Senja tiba jua akhirnya, antara hal yang terperit di usia dua puluh dua. Berdikit-dikit menjentik, menyedarkan bahawa rupa-rupanya yang meninggalkan itu sama peritnya dengan yang ditinggal. Saya tahu, sejak hari itu ada bahagian dalam diri saya yang hilang. Patutlah banyak orang tidak berani memanggil-manggil kenangan. Meninggalkan, kemudian merindukan. 

Thank you Allah for sending them to me.

Menyesal? 
Tidak.
Berharap? 
Ya.
Dan, masih.

Saya lalikan dengan PBAKL. Menjadi, tetapi tidak berpanjangan rupanya.
Keterbatasan saya adalah menjadi seorang yang meninggalkan kenangan serta merta.
Betapa saya masih saya yang sama dalam hal menangani kenangan dan sangkar perasaan. Kerumunilah berapa banyak orang sekalipun, jika diri sendiri masih menggendong sekarung memori silam, waktu yang sekarang yang terlihat hanya bayang-bayang, tidak akan berjaya dimaknakan secara maksimum. Tahu berat, masih lagi mahu diangkat, teragak-agak bertindak. Saya ralat sendirian, jeda yang agak lama; kaku diamuk kenangan dan pilihan, juga terlalu resahkan masa hadapan. Sedangkan saya tahu benar, bukti dan beraksi, itu kata lain untuk sebuah janji. Berbaki lagi urusan diri dengan Tuhan. Lepaskan, dan simpan. Benarlah, penawarnya hanyalah doa-doa yang nyaman. Begitulah diharap tulisan-tulisan ini menjadi khazanah buat diri.


Antara yang menjadi 'ubat pelali', kenangan indah lagi; menang cabutan bertuah tempat kedua Jejak Tarbiah.
Satu permulaan yang menjemput saya ke plot-plot seterusnya dalam dunia buku dan penerbitan.

Kadang-kadang, saya silap dalam memahami konsep sesuatu perkara.
Banyak pilihan yang harus dibuat setiap hari. Ada yang sudah menunggu lama. Ada yang datang menuntut secara tiba-tiba. Fasa keliru, bukan mudah untuk saya tempuh laju. Tidak seperti menggantikan santan dengan susu ke dalam masakan. Walau harus meniti dengan perlahan dan ragu-ragu, hingga ke saat ini, berpaling dan berundur ke belakang tiada disenarai sebagai pilihan. Justeru berkali-kali saya pasakkan bahawa setiap jerih perih, itu ujian. Sedangkan yang indah begitu mudahnya kita terima. Belajarlah. Redalah. Dari situ kita akan raih kekuatan.


Ramadan di Aceh.

I'm back with my Qatrunnada, joined a Raya trip.
 Blessed. Bliss. :)

Berdamai dengan suasana dan beradaptasi dengannya benar memerlukan ruang dan masa. (Ruang, bukan peluang. Apa bezanya? Hah, cari sendiri) 
Kerana menukar arah itu tidak mudah. Barangkali itu yang akan membuatkan kita lebih lelah, walhal belum tentu juga ia jalan penyudah. 
Jujur sahaja, kita memulakan sebuah pilihan dengan pembandingan, benar kan?

Kalaulah kita tidak berani mengambil keputusan untuk diri sendiri,maka bersiaplah untuk menjalani keputusan-keputusan yang dipilih orang untuk diri. Takdir harus kita jalani dengan terbaik, jangan dibiar sampai kita hilang kendali. Maka, setelah berteraburannya pilihan-pilihan yang ada, akhirnya saya didiamkan dengan keputusan sendiri.
Dan benarlah, hikmah sentiasa 'on time', terkesan dengan salah satu dialog Tabrizi dalam The Forty Rules of Love; 

"Afraid not where the road will take you. Instead concentrate on the first step. That's the hardest part and that's what you are responsible for. Once you take that step let everything do what it naturally does and the rest will follow. Do not go with the flow. Be the flow."

Malu bertanya, sesat jalan.
Malu bertanya juga, tiada kepastian.
Malu pada diri sendiri, ke mana hilangnya wawasan dan prinsip yang menjadi paksi?


Fasa 4
Antara plot yang sarat ibrah; memori menjadi seorang pendidik secara rasmi buat kali pertama, walau hanya berstatus sementara, tercorak pada kanvas dua puluh dua. Sekejap yang bermakna. 
Cabaran modenisasi dan teknologi dunia kita berhajatkan pendidik yang tulus, mendidik dengan hikmah, menanam benih akhlak mahmudah, membangun minda bersih dari zulmat kenistaan. Hal yang ingin diwujudkan ini bukan sekadar mengambil masa sehari-dua. Kalau tidak sabar, tewas. Kalau tidak ikhlas, tumpas. Belajar dan mengajar itu tidak semborono caranya, ada tertib dan etikanya. Apatah lagi Islam sudah berkurun lamanya diwartakan sebagai jalan hidup satu-satunya. Akan terlihat indahlah dari segenap arah jika setiap satunya saling terkait.
Pondasinya, keyakinan. Seorang mukmin harus punya kepercayaan.
Alhamdulillah untuk pengalamiannya.


"Cikgu Mira Filzah.." Pun boleh ya anak-anak XD



Fasa 5
Zulhijjah melabuhi tirai 1439H. 
Selayaknya Aidiladha dirai pada nilai sebuah pengorbanan agung tercatat dalam lembar sirah. Begitu pula saya renungkan, sudah banyak saya terima dan saksikan pengorbanan orang. Tapi saya? Apa yang selama ini telah saya korbankan?
Terasa berat hati memutuskan. The first step. The very first step, because the beginning is always the hardest part.

Never I imagined of being here.

Fasa mengajar diteruskan, tapi untuk yang ini; mengajar diri sendiri.

Hijrah lagi ke pinggir ibu kota, mendiami kampus balik bukit, menemukan kembali kesayangan-kesayangan yang berpetualang ke sini. Bangkit, dan beradaptasi.


Berpeluang menghadiri wacana dan berdiskusi dengan begitu dekat, bahkan secara langsung dengan figura-figura yang dikagumi dari jauh. Juga melebarkan sayap ukhuwah fiLlah dengan insan-insan hebat yang baru sahaja berpapasan di titik temu tertentu.

Alhamdulillah tsummal hamduLillah.
Barangkali kerana doa mama abah yang terus menerus menjadi ufuk pada setiap persimpangan takdir, juga doa-doa sepi yang entahkan siapa setulusnya, melantun ke arah diri ini. Mudah-mudahan segala yang baik berbalik kepada kalian kembali.


Mungkin dek banyaknya perpidahan fasa dan hijrah makaniy, dua puluh dua terasa panjang perjalanannya, banyak pengalamiannya yang bermakna.
Hari ini dua puluh dua sudah ditinggalkan, bertambah satu angka,
dua dekad lebih tiga.
Begitu dihitung usia. 
Manusia tiada kuasa menghentikannya.


Penghujung dua puluh dua. A meaningful trip with favourite people
KT - Cameron Highland - Batu Gajah

Hari ini, 
suku abad kurang dua.
Untuk setiap keberadaan dan semua rasa;
الحمدلله الذي بنعمته تتمّ الصالحات

Dimensi keyakinan harus kuat dibangunkan.
Dalam segala apa kejadian dalam hidup, asbabnya pelbagai, tapi musabbabnya hanya satu; Allah.
Begitu. Dan selamanya akan kekal begitu.

Dewasakan hati. 
Mizah masih perlu latih diri untuk sabar, dan sabar. 
Tidak semua perkara harus diperjuangkan hingga ke akhirnya. Ada yang cukup sebahagiannya sahaja, sementara sebahagian lagi barangkali menjadi perjuangan orang lain. Murnikan niat, moga lebih bijaksanalah dalam menilai.

Satu-satunya insan yang panggil adik. Thankyou Kakak :)

Gigih nak siapkan. Kalau kat kedai ada sampai RM6/piece.
Tapi tak kisahlah, janji lepas harap nak buat rainbow cake untuk birthday sendiri.

Kadang-kadang, kita rasa kita begitu perlukan sesuatu keperluan/kelebihan itu, sedangkan Allah yang lebih tahu apa benar kita perlukannya at that moment, atau lebih kita perlukannya setahun lagi? Sepuluh tahun lagi? We never know. 
Semoga apa yang Allah lebihkan dalam kehidupan kita ini sentiasa terjaga dan terpelihara, juga dibentengi dari hasad dan dengki manusia dan makhluk selainnya.
Semoga kewujudan seorang saya mendatangkan manfaat untuk insan-insan di sekeliling dan yang mengenali. Aamiin!




Di celah jemari, terhimpun kemudi.
Sesuatu yang saya teruskan
untuk akhirnya, saya tinggalkan.
TGG, MYS.

Nov 2, 2018

Qasidah Rindu Madinah - Syamail Muhammadiyah


Rindunya daku kepada bumi Madinah
Takkan terubat walau sudah ziarah
Sekalipun menangis berair mata darah
Hatikan tetap rindukan Rasulullah

Terimalah hadiah imbalan ziarah

Insan yang lemah ingin berqasidah
Diilhamkan Allah Syamail Muhammadiyah
Berkat menangis di Raudhatul Jannah

Di suatu malam bulan yang penuh cerah

Baginda mengenakan pakaian serba merah
Lalu bersumpah Jabir bin Samurah
Jika dibezakan Nabi terlebih indah

Matanya yang terang sangat suka bercelak

Nampak di belakang dan depan serentak
Jinjang tengkuk Nabi sangat putih melepak
Tiada berdaki umpama pantulan perak

Dahinya yang luas, anak matanya hitam

Cahaya berhias, menatap kan tenteram
Tulang baginda kemas, saling kuat menggenggam
Rukanah tertewas lalu memeluk Islam

Rambutnya ikal mayang, tidak terlalu panjang

Tingginya yang sedang, dada luas berbidang
Ketika berjalan condongnya ke hadapan
Lajunya seperti turun tempat yang tinggi

Helaian bulunya tetapkan terus wujud

Hanya belasan uban, memikirkan surah Hud
Umpama pedang jaguh, hidung baginda mancung
Dipandang dari jauh, kening seakan bersambung

Nafas berbau wangi, semerbak kasturi

Sukakan bersugi, yang busuk dihindari
Tak pernah menguap berkat cucian hati
Takkan pernah dihinggap lalat walau sekali

Berjarak gigi hadapan, cahaya kelihatan

Segala pertuturan adalah wahyu Tuhan
Lebar bibirnya menandakan pemurah
Membaca Al-Quran dengan penuh fasohah

Baginda memilih hidup dalam berzuhud

Sekalipun maksum sangat banyak bersujud
Menipis isi tumit lamanya bertahajud
Banyak mendaki bukit, sangat sayangkan Uhud

Putih bercampur merah, kulitnya mukjizah

Jelas kelihatan ketika malu dan marah
Lembutnya seperti kelopak ros yang merah
Di seawal pagi embunan masih basah

Segala yang baik dimula dengan kanan

Tidak suka membazir minuman dan makanan
Capalnya yang berkah, pernah menjadi teman
Di saat baginda bertemu dengan Tuhan

Digeruni musuh jika bersemuka

Tidak sukakan anggur berjiwa mulia
Tanda kenabian di belakang badan
Sedikit tawanya membanyakkan tangisan

Siapa menyakiti puteri kesayangan

Umpama sakiti Nabi akhir zaman
Suka bergurau senda, sayang Husin dan Hasan
Bagindalah Nabi yang disayangi Tuhan

Fuqara masakin diberikan  bantuan

Batu di perutnya menjadi ikatan
Takkan kekenyangan selain berjemaah
Jatuhan makanan dikutip kerana berkah



Sambutan maulid Nabi SAW berserta pengijazahan sanad Syamail Muhammadiyah
oleh Syeikh Mun'im Al-Ghumari


Alhamdulillah :)

Sebab masih belum mampu mengingat  matan dan syarah dalam bahasanya yang asal, bermesra dengan qasidah dalam bahasa ibunda ini sangatlah membantu memuhasabah dan tasyji3 diri untuk berusaha meneladani Nabi.


Moga ada manfaatnya.

Sollu 3layhi wa sallimu tasleema. 


P/S: Pertama kali mengqasidahkan bait-bait indah ini semasa maulid tahun lalu 1439H di Sale.
Terima kasih team qasidah yang mendendangkannya dengan begitu merdu dan menusuk kalbu, sesungguhnya detik itu juga termasuk dalam kategori kenangan yang dirindu.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Transparent Teal Star