May 9, 2020

Setengah Ramadan

BismiLlah.

Kelmarin bulan penuh, awan meminggir tak kelihatan, memberi ruang buat sang bulan memperlihatkan seri cahayanya, terang. 
Semalam bulan pula tak kelihatan, diganti awan memenuhi langit malam luas terbentang. Ketersalingan yang seimbang.

Pagi ini, seusai subuh lagi aku sudah membuka sayap jendela seluasnya, nyaman udara menjenguk ke dalam, menyegarkan sekali. Burung-burung riuh bercicip saling bersahutan dari pepohonan di belakang rumah, merdu sungguh zikirnya menyapa pendengaran. Langit beransur-ansur cerah, matahari bakal mengintai dari timur sedikit masa lagi. 



Bulan; isyak 14 Ramadan 1441H


Bulan; sebelum subuh 15 Ramadan 1441H

Dalam dimensi kembali mencari diri ini, aku temukan banyak hal baru juga hal-hal yang tidak pernah benar-benar aku beri tumpuan sebelumnya.

Tempoh hari aku menggunakan meja belajar si adinda bongsu untuk bekerja, di situ aku temukan sekeping kertas yang dikoyak, dan ditulisnya dengan pensel, dijadikan memo barangkali. Doa apa? 
Cuma doa untuk hal sepele yang teramat kecil dan biasa bagi orang-orang yang sekilas terbaca. Mungkin tak terlintas di fikiran dek kita si dewasa untuk mendoakan perkara sekecil itu pada waktu mustajab doa. Mungkin.
Tapi bagiku, doanya tulus. 
Nantilah aku ceritakan lagi jika kuat kemahuan.

Kemudian disapa seorang kakanda yang sudah agak lama tidak berjumpa, datang bertanya khabar dalam usaha mentafsir keadaan diri. Aku sambut baik, membenarkan segala telahan. Dia terkedu, lantas menenangkan dan mendoakan. Dikirimnya sebuah cerpen dan kata-kata 'tawar' (begitu katanya) yang sudah cukup memenuhi kebutuhanku kala itu. 
Terima kasih, kanda. Malam itu, aku nyaman.

Kemudian lagi, aku dihubungi seorang sahabat yang runsingkan ahwalku bagaimana (maafkan aku yang tidak memanjangkan perkara dan mendiamkan diri beberapa ketika tanpa khabar berita). Aku semakin baik, biizniLlah, sedang belajar melepas pergi semua dengan seratus peratus penerimaan, total. Allah pastikan bantu hamba-Nya yang berusaha dan melabuhkan harap pada-Nya. Mudah-mudahan dibimbing diri untuk membina harapan yang baru, semula. Iya, jangan khuatir lagi. Aku tidak akan mensia-siakan Ramadan ini yang tidak ternilai harganya, entahkan ini yang terakhir buatku, tak siapa tahu, hanya Allah Penentu.

Pada hujung fasa isolasi ini juga, aku berasa dekat dengan seorang kenalan. Sudah agak lama kenal namanya, sering mengintai melalui posting dan status media sosial, tapi sejujurnya belum pernah bertemu mata, hanya menyapa di media. Dia yang manis dan baik budi, tak lokek memberi khabar, saling berpesan. Hati mana yang tak jatuh sayang?
Memadai rupanya begitu, asalkan didasari kerana-Nya segala.
Semoga Dia rezekikan sebuah pertemuan pada waktu terbaik.

Isnin lepas pula, telah selamat seorang kakanda kami yang dikasihi diijabkabulkan dengan kunci pintu syurganya, alhamduliLlah, barakaLlahu lahouma :)
Kakanda yang ini, sungguh cekal dalam penantian dan pencariannya, juga seorang yang berani dan siap menghadapi risiko untuk setiap pilihan yang ditegaskan. Ada sekilas persamaan pada karakter kami, ah ha baru perasan rupanya baru-baru ini. Patutlah ada antara konflik hidupku yang dia lebih memahami apa sebenarnya yang dibimbangkan hati, menjadikan nasihatnya lebih berbekas berbanding yang lain tatkala itu.
Sudah dua kali Ramadan sejak penantian dan pencariannya (seperti yang dikongsikannya padaku). Dan Ramadan kali ini kisahnya berakhir indah, walau sebulan ditangguhkan dari tarikh perancangan nikah mereka yang sebenar, alhamduliLlah Dia izinkan. Benar-benar pesan yang dititip buatku tempoh hari menjadi kenyataan untuk dirinya sendiri. Selamat berbahagia, Ciqqi!


Ramadan bulan penuh kemuliaan, bulan al-Quran, bulan perjuangan dan pelbagai keutamaan yang sering disebut dan diingatkan kepada kita menjelang ketibaannya.
Ramadan juga, bagi seorang hamba yang hati dan mindanya sentiasa dipenuhi persoalan dan pilihan silih berganti yang berselirat ini..;
 ... ialah bulan membuat keputusan-keputusan besar dalam kehidupan.
Demikianlah yang menjadi peganganku beberapa tahun ke belakang ini.
Namun, untuk Ramadan yang ini selepas beberapa kejadian dan pertimbangan, aku memperincikannya semula;
Ramadan ialah bulan membuat keputusan-keputusan besar dalam kehidupan, kerana al-Quran.


Masih memperjuangkannya.



Setengah Ramadan ini segalanya menenangkan, ma shaa Allah, alhamduLillah, biizniLlah.
Langit, burung, bulan, pepohon dan dedaunan, pembacaan dan tulisan, kelas-kelas online, kebersamaan dan kesendirian, jua hati kalian.
Terima kasih. :)

Ini cerita setengah Ramadan aku.
Kamu, bagaimana?

Semoga dilimpah kurnia-Nya yang sama, 
bahkan lebih lagi hendaknya.




Yang berhajatkan selamat
sejahtera zahir jua batinnya
dengan keberadaan tetamu mulia.

Tengah hari yang redup
16 Ramadan 1441H

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Transparent Teal Star