Showing posts with label Kokoro Kara. Show all posts
Showing posts with label Kokoro Kara. Show all posts

Apr 12, 2020

Kontradiksi Mac


Meninggalkan dan ditinggalkan.
Pernah suatu hari diungkapkan pada seseorang yang padanya dibangunkan harapan dan kepercayaan, bahawa yang ditinggalkan itu terlebih perit, tapi menjadi yang meninggalkan itu tetap terasa sakit.

Iya, kisah ini kisah yang tidak dimulakannya dengan 'rasa', 
tetapi dengan seteguh yakin dan sekebun percaya, 
selebihnya murni tunas tawakkal bercambah dari-Nya 
bersayapkan gerun dan harap, 
moga rahmat-Nya memayungi di permulaan hingga ke akhirnya.

Rumit hendak menjaga hak manusia dengan hak Tuhan.
Bimbangkan ada garisan yang dilampaui,
malah rupa-rupanya terjerat dengan tali rasa sendiri.


14/1
Rentetan Oktoberant yang berterusan hingga ke penghujung semester.
Melawan ketidakpastian yang menghakis sedikit demi sedikit segunung kepercayaan yang didaki sejak beberapa lamanya, bersama-sama.
Malam itu; malam kenangan, mata bergenang.
Antara terus berjuang mempertahan atau melepaskan, 
entahkan yang mana nanti akan dimenangkan.
Pilihannya ialah membiarkan yang di sana memutuskan, fikirnya begitu lebih baik.
Yang pasti, yang mendoakannya bukan cuma dia.
PadaNya diserahkan seluruh ahwal
dengan segenap lapis jiwa.


7/3, dan seterusnya
Seusai itu Senja jadi sendu

Yang turut berasakan perubahan diri, datang bertanyakan;
apa sebenarnya yang terjadi?
Bagaimana dilewati semua ini?

Tak terjawab, masih.
Senyum; itu yang dipamer buat tatapan orang.
Senyum yang sama dulunya menahan debar teruja kegembiraan,
senyum yang sama kini menahan ketar perit sebuah kekecewaan.
Mungkin zahirnya dalam paksa atau rela, kita perlu senyum.
Harus terlihat kuat untuk menguatkan, kerana tanpa sedar, insan di sekeliling kita juga senyum walau ada perit dalam jiwa, untuk menggagahkan kita.

Yang membersamai dari awal kisah ini, yang mendoakan sejahtera kisah ini,
terkedu tak menjangkakan;
ceritakanlah bagaimana akhirnya jadi begini?

Tak tercerita. Sungguh.
Cuma ingin berterima kasih yang paling dalam, paling terang,
dan memohon setulus kemaafan teruntuk semua atas sebaris perkataan
dan diam yang panjang,
sekadar itu yang mampu diberikan 
sebagai imbalan jawapan.






kemudian lagi
Hakikat diri tidaklah gagah mana.
Sudah berhari-hari. Hari ini sudah menghampiri tempoh 'pantang', 
tetapi masih juga tak dapat melupakan,
belum benar-benar mampu membiasakannya.
Melepaskan. Mengikhlaskan. Bukanlah hal yang senang dilakukan semudah menuliskan.
Kebiasaan baru ini terasa betapa menyesakkan, apabila terpaksa mengusir kenangan-kenangan terbaik yang pernah ada, serta ingatan-ingatan yang dulunya sentiasa bergayutan di minda, dan kini sudah tidak seharusnya menari-nari lagi di tubir mata.

 
Luar tampak tegar sungguh,
yang di dalam bergelut sendu jiwa luluh
harapan ranap runtuh, hiba merusuh.
Ah, cengeng rupanya!
Kelemahan diri di titik ini barangkali lantaran dia seorang manusia yang mengenang setiap inci kenangan, yang menyimpan kemas setiap details kejadian, yang memeluk erat segala ingatan yang berjuntaian pada ranting fikiran.

Yang meninggalkan, dan akan meninggalkan kita itu sentiasa ada,
di fasa hidup manapun. Yang tetap tinggal pun pasti ada
It's disrespectful to complain about my situation to anyone other than Allah SWT.
 
 
'Move On'

"Bila kita dah mampu senyum pada kisah perit yang kita lalui,
itu tandanya kematangan," kata orang begitu.

Iya, semoga benar begitu.
Walau masih ada butiran air mata tersisa.
Jiwa.
Begitupun berantakan,
moga tidak akan henti diri dari melakukan pembersihan padanya.
Sulit sekali menyisihkan semua.
Rasa itu ada, sakit itu ada, tentulah.
Tetapi ‘moving on’ bukan soal menghilangkan perasaan.
 
Orang yang move on itu memang selayaknya sedih. Kerana akarnya kasih yang menggenggam jiwa itu sukar direntap sekali harung begitu sahaja,
mustahil dilalui dengan mudah.
Bersedih, tetapi tetap bergerak, itu move on.
Sederhanakan kesedihan, berdamailah dengannya.
Beri kemaafan pada diri sendiri, berikan masa.
 
Tetapi masa ialah makhluk Tuhan yang sangat berharga,
tepatnya masa amat berharga sekali untuk 'move on'.
Bukankah sepatutnya tidak menjadi terlalu sukar untuk melepaskan
apa yang bukan milik kita?
Yang cuma pinjaman, amanah sementara Dia hadirkan buat mengisi hidup.

Dan hidup ini pula hanya sekali untuk kita sabar sebaiknya.
Sabar kerana taat, sabar dengan taqwa.
Sabar dalam bersabar, kerana utamakan apa yang Nabi SAW suka,
yang mengharap redha Allah SWT semata.

Hanya satu harap dia, moga hari ini dan seterusnya dia masih gagah  untuk menggagah, masih kuat untuk menguatkan, masih bertahan walau apa pun yang datang
kerana dia punya Tuhan.
Allah SWT merancang dengan penuh cinta,
mana mungkin berbekas kecewa?
Allah SWT tidak pernah zalim terhadap hamba-Nya.



"Pada sekelumit sabar kita, ada hikmah yang sedang memekar merah.
Pada sujud kita, ada ketenangan yang berlumba masuk menuju jiwa yang pasrah.
Maka benarlah, pertolongan yang terbaik hanya dari Dia. Kenapa perlu putus asa?
Sedang Dia Pencipta Semesta, Pemilik tujuh lapis atas dan bawah dunia.

Dan dinda yang satu ini seorang wanita yang betah dalam hidupnya, 
yang anggun menghadapi apa-apa di hadapannya dan yang begitu jelita 
luar jua hati di hadapan Tuhannya. 
Ma shaa Allah. In shaa Allah.
Moga dinda terus diberi rasa menghargai segala tawa dan air mata.
Itulah resam dunia, dinda. Keep going, move forward.
Terus sentiasa ceria lagi membahagiakan, 
Persis sang rama-rama, in shaa Allah.
Allah sentiasa ada"
- Akak Rama-rama :')



Pada akhirnya benarlah,
setiap 'tawakkal' itu pasti akan teruji.
Asbabnya pelbagai, musabbabnya hanya Allah.
Allah jualah yang mentadbir, mengatur rezeki ke atas setiap ciptaannya. Sedang musim panas Dia turunkan salji dan menghantar angin dingin, apatah lagi dengan segala ahwal kecil kita ini. 

Dan pada akhirnya,
masih ada Allah Al-Wakeel yang menerima kekurangan 
dan kelemahan setiap hamba-Nya. Baik sangka pada Dia, dan semua akan baik-baik saja.
Walau pada zahir mata manusia, seburuk perkara.
NastaghfiruLlah. HasbunaLlah wa ni3mal wakeel. :')






So after all this time?
Always. Nothing.
Mac 2019 - Mac 2020;
lain yang diimpi dinanti,
 lain pula takdir yang mementasi.

Menyusun aksara ini untuk secebis lega
menjadikan catatan peristiwa fasa seorang dia
tiada terlintas membuka pekung di dada sesiapa.

Hari PKP yang ke duapuluhlima.
Wilayah isolasi, MYS.

Mar 1, 2020

Tulisan balas buat Hanan


Sahabatku yang baik, 
ini ialah sebuah memoir, kupahat kembali perca-perca kenangan lalu, juga catatan harapan hari-hari mendatang.





Sahabatku yang tulus, 
tahun ini dan tahun lalu aku rasakan tahun yang begitu banyak kejanggalan. Antaranya termasuklah berjarak denganmu. Benar, jasad kita jauh,
sudah lama kita tidak bertemu, semakin jarang juga kita berbual mesra. Kita masing-masing sedang memperjuangkan hidup di titik temu yang tidak lagi selari, seperti dulu.

Sahabatku yang jujur,
Aku sering berasa janggal kerana engkau tidak pernah melihatku ganjil dengan perwatakanku yang tidak handal mengekspresi.

Sahabatku yang penyayang,
Sahabat yang aku rindukan lebih kerap dari kekerapanku menggunakan pendrive kembar kita, ketahuilah bahawasanya aku juga berasa janggal tatkala kau bertanyakan "kenapa?" saatku berada di hadapanmu dan mataku gagal menyembunyikan luka. Aku diam, tapi kau tidak pernah memaksa aku membuka bicara. Kau akan bersenandung ceria, melagukan kisah-kisah lucu dan 'bbolah' setiap kali aku terlupa untuk ketawa.

Sahabatku yang setia,
walau beberapa tempoh kebelakangan ini antara kita tiada khabar berita, bertukar cerita, tapi aku tahu kau sentiasa ada. Aku berasa janggal apabila mendiamkan kekhuatiranku, sedang kau sudah terlebih dahulu mampu membacanya. Kau damaikan sebuah rasaku, kata kau; "perdamaian dengan takdir hanya perlukan masa.."
Juga saat kau jujur menata kata hatimu; "aku akan doakan mg sungguh-sungguh mizah, sebab aku pun terkesan sama. Aku tahu mg boleh, mg meme jenis kuat tanpa mg sendiri sedar benda tu.."





Sahabatku yang lembut hatinya,
percayalah, aku akan merindui segala tentangmu. Tentang suatu hari kau sebagai Timbalan Exco Sukan menyampaikan hajat agar aku sanggup mejadi pic acara ping pong pada Sukan Sea 2015 ketika kau berada di tanah air. Tentang episod petualangan kita di Selayangku Sayang pada cuti musim panas 2016. Tentang hari aku menemanimu masuk ke qa3ah di fatrah muraqabah nihaeiah Kenitra. Tentang Februari 2017 yang menghadiahi kita kenangan ke Ma3ridh Kutub, juga kisah kau ke maktabah La Colline untuk mendapatkan 'pendrive' yang sama, yang akhirnya kau bawa ia sampai ke tanah Andalusia, kau kirimkan gambar, ku simpan ia sebaiknya.
Tentang tudung bawal glitter merahku yang kau pinjam pakai gaya shawl ke Diskusi Bersama Dr MDB pada malam selepas kita bergelap dan kau bertanyakanku soalan di luar duga. 

Sahabatku sayang,
aku berasa janggal bilamana tiada mampu diri ini berada di sampingmu, menadah telinga menumpangkan bahu meredakan rawanmu yang dahulu.
Janggal juga terasa andai di hari bahagiamu nanti aku tiada di sana menyaksikan senyum manis penuh syukur indah tersimpul di bibir menaikkan serimu di pelaminan.


Terlalu janggal untuk aku pinggirkanmu dari rutinku.
Aku juga begitu.

Aku akan sentiasa mendoakan yang indah-indah untukmu, selayaknya kamu.
Moga Allah rahmati ukhuwah kita, sampai nanti bertemu di 'menara cahaya'.
Kebahagiaanmu, kecintaanku.



Sahabatmu yang rindu.
KUL, MYS.
01032020, 22:45.

Aug 29, 2019

CANT-UM ?



Di celah perbukitan,
Ada cerita-cerita eceran
dikait, disulam untaian demi untaian
disimpan, tidak didendangkan.

Tiada yang istimewa seperti anggapanmu,
koleksi ceritaku hanya cerita kaku
cerita-cerita biasa 
setelah hujan reda.
Cerita sepulang dari pengajian 
bersama seorang teman
sambil menggeladah langit malam,
bersinar bebola matanya dek teruja,
 "bulan terang!", 
begitu teriaknya.

Cerita pada sebuah hari minggu, berteleku
bersama-sama komputer riba dan buku
Episod demi episod 'pandai-pandailah bawa diri',
dan rentetan 'tahaddu tahabbu'.






Seperti apa ya cerita
yang didamba?
Aku sudah tidak punya cerita kembara 
seperti dahulu.
Jasadku sudah ribuan batu 
dari kota ilmuwan 
madrasah tertua dibuka sang serikandi
Fatimah Al-Fihri tenang bersemadi
meninggalkan legasi.

Namun demikian,

aku belum pernah jemu untuk kembali 
menapak ke kota Mu'tamid  bertemu ratunya
bersenandungkan hikayat si Loubna 
menjadi secerdas dia, ah, jauh panggang dari apinya
mengibrahi ketelitian seni bina kota megah,
dinding merah, di sanalah 
ku temukan muda tunas Granada,
ku senandungkan iramanya
deras mengalir sejarahnya 
bak Quadalquivir berkurun lama.


Atau,
cerita melankoli barangkali, ya?
Sementelah masih menggendong
rindu yang semakin menjauh itu,
pada saatnya perlu.
Tidak aku dibebankan ia, tidak pula ia
menghakis rasaku yang sekarang.
Ia baik-baik saja 
di tempat selayaknya berada.


"Adil itu melatakkan sesuatu sesuai tempatnya. Menjaga setiap langkah dan kata. Menjaga dengan rasa ikhlas dan tanggungjawab, tidak culas timbal balas diharap. Begitu mukmin yang kuat."

Seringku menata hati dengannya.
Mendewasa biarlah juga
dengan mulianya peribadi dan
penambah baikkan praktis agama.

Aku bukan Khansa'

yang begitu handal memintal rasa 
menjadi kata-kata
lantas kau baca, kau selam 
ke dasar suka dukanya.


Masih seorang aku 
yang hanya memanfaatkan ruang 
bertinta, mencorak kanvas sendiri.
Dengan carik-carik tulisan ini
seakan aku punya  tembok, bersembunyi.
Enggan disanjung mata-mata yang memandang,
apatah lagi minta ditangis jiwa-jiwa yang empati.
Kerana bahagia itu dirasai dari dalam,
tetapi 'kelihatan bahagia' itu yang ditagih dari luar,
ditopeng plastik dan kosmetik, sementara.
Palsu.

Cerita libur yang terisi

tapi belum lengkap dinukil,
untuk dipahat pada helaian kanvas ini.
Dan, soalan yang belum benar-benar luntur;
"bagaimana membuat pilihan?"

Jawabku hari ini,

pilihan itu hanya akan menjadi pilihan
apabila ia telah kita menangkan,
setelah tanpa sedar kita mulakan dengan perbandingan.

Membuat pilihan, itu seni dari hati.

Kerana hati ini juga tentera Allah. Saat ditetapkan segala sesuatu itu berlaku, maka Allah lah juga yang menggerakkan seluruh tentera-Nya ke arah ketetapan-Nya itu.
Pergantungan itu murni dengan keyakinan kita pada Allah, bukan sepenuhnya percaya pada harapan yang diberi manusia. Allah yang menentukan, lalu manusia sangkutkan harapan mereka dengan 'in shaa Allah'. Sekiranya sesuatu hal itu baik, dan tidak mendatangkan kemudharatan kepada kita sejatinya, maka begitulah harapan yang ditumbuhkan.

Jawabku selepas hari ini?

Belum tahu, belum pasti.
Mungkin berubah, mungkin juga masih begini.

Seperca cerita malam ini menegur seorang aku;

ada hal-hal dalam hidup ini yang aku anggap ia sebagai matlamat, padahal tidak. Bahkan ia cuma proses untuk mencapai matlamat yang belum terjelaskan. Hakikatnya akulah yang kabur, keliru membezakannya.
Begitu pula ada hal-hal yang dahulunya memberiku nikmat dan kepuasan ironinya kini datang sebagai ujian, menduga tahap sabar yang tinggi. 
Hati; akan lebih tenang setelah memahami konsekuensi.
Dan sewaspada manapun kita berusaha menjaga perasaan manusia-manusia di sekeliling, jangan dilupa bahawa Allah lah sebenar-benar penjaga. 
Allah beri kita ujian syaratnya tidak menunggu kita bersedia, Allah jualah yang memampukan kita menjalaninya.

Bagaimanalah mengaku diri seorang mukmin, jika tidak mampu bersabar apabila diuji dengan ujian perasaan? 

Yang masih belum mampu sabar itu akulah.
'Sabar itu tiada batasnya, 
tapi ada pilihan-pilihannya.'


فمن كان هجرته إلى الله ورسوله، فهجرته إلى الله ورسوله




Barangkali kau akan berkata padaku di suatu hari;
"Dan kau sudah tidak menulis lagi.
Padahal dengan cara itulah
aku mengenalmu, membacamu
melalui sekumpulan tulisan
yang kau tukangi dengan perasaan."


Dan hari ini (pertengahan November) aku kira sudahku temukan jawapannya lewat sebuah tulisan separa usang tergeletak di anjung seorang sifu sastera;
"Kita bukan sudah tidak punya masa, atau tiada cerita, 
kita cuma tidak mahu dilabel atau dibaca."

Iya. Begitulah.
"Tuhan ku bimbangi nikmat zikirku tiada lagi Rasa asyik ini, ku sangka Kau redhai Hampa sang nurani, kerna ku ingin bebas rasa hilang Tuhan dekatiku pada yang Kau cintai..." -Rabithah, Hilang.





Tulisan ini sebahagian daripada cerita-cerita biasa
malah lebih miskin aku daripadanya,
terlalu biasa untuk mengharap
 yang luar biasa.

Meninggalkan jejak-jejak perjalanan jasad dan hati

Kerana pada setiap hujung kembara
 lelah dan rindu kan tersisa.


 KUL, MYS | 2019. Selepas Mac.

TGG, MYS | 2019. Masih Ogos.
KUL, MYS | 2019, Novemberant. 
Setelah Oktober dan kejutan-kejutannya hadir.



Mar 21, 2018

#SebiruJaulahKita - Sebuah coretan untuk teman





Coretan ini untuk teman-teman yang pernah bersama, 
berkelana.




Mata kita sama membuntang
tatkala melihat luasnya langit terbentang

Julung-julung kali,
justeru mimpi yang sama membuat kita serasi 
seolah bertahun lamanya berkelana





Kita tertaya-tanya,
beginikah rasanya cinta?
Seperti gerunnya kita saat melihat ke bawah
takut-takut kita menikmati pemandangan indah
kerana gusar dibuai keasyikan 
lalu tergelincir ke lembah



Teman,
tentang percaya,
apa rasanya seperti merendam kaki ke gigi air terjun?
Dinginnya menyegarkan sekali
mengalir terus ke hilir tiada henti
jerih perih mendaki seakan lenyap pergi,
nyaman berganti

Pada hari-hari kita di jalanan
tatkala mentari tegak meninggi 
kita beralih ke sana ke mari mencari teduhan
dari pepohonan rendang jua bayang-bayang
Cahayanya mesra menumpang riba
pakaian basah pun kering sekelip mata
dek terik mentari bekerja


Terkadang kita gusarkan juga

tentang percaya yang bisa terlenyap
kering dihangat panah prasangka
Ah, sekali-kali janganlah.


Teman, 
bagaimana pula dengan setia?

Apa benar;

'Setia itu hanya ada tika derita'?

Ajaib, ya?
Kadang kita terlupa nilai-nilai kecil ini
dek fikiran dan fizikal yang
mengharung liku sepanjang berkelana

Untuk setiap adunan perasaan
dan pengalaman,teman,
setia itutidak seperti salji di Atlas Tinggi,
bahagia kita dalam genggaman tangan
hanyasanya semusim ini bertahan
seketika lalu cair, hilang


Lalu perkaitannya?



Cinta itu datang 
setelah percaya.
Setia mampir setelah cinta,
dan beriringanlah ketiga-tiganya.




#SebiruJaulahKita tempuh dengan percaya
Dan teman, kau tahu apa yang lebih besar dari itu?

Namanya keyakinan pada Tuhan.
Murni darinya itulah bertunas kepercayaan
buat kita misalnya;
yang sudah,
yang sedang,
dan yang akan 
menjalani perjalanan 
jauh nan panjang


Menyantuni alam; 
tengok sunset, panjat gunung, desir pasir, aliran air,
alam tidak pernah menyakiti kita, bukan?
Terima kasih teman, untuk sebuah kembara
yang mengeratkan,juga mendekatkan kita denganNya.
Harapku demikianlah.




P/S : Tribute buat teman-teman kembara Musafir Dunia #SebiruJaulahKita ;
Kak Huda. Afiqah. Zainab. Izwa. Ain.
Terima kasih untuk kenangannya :)

P/S 2 : Coretan ini sudah lama saya simpan.
Kerana ada yang mengatakan aksara saya sudah agak lama kering gersang,
maka puisi ini saya kongsikan,
juga sempena Hari Puisi Sedunia, tapi ya, mungkin belum selayaknya ia saya panggil 'puisi'. 

Oct 22, 2017

Hilang (Part 2); The Remix


Secomplicated mathematical equation pun
takkan pernah mampu mengsimplify takdir kita dipertemukan
dengan seseorang,
keberadaan di sesuatu lokasi
mengerjakan itu, ini.
Tidak sesekali, melainkan dengan perkenan Rabbi.

All smiles before crashing into an emotional meltdown.



[ichi]

Ku atur soalan terang;
'Duhai teman, apa sudah jadi?'

Dijawab dia perlahan;

'Tiada apa, cuma rama-rama yang sudah terbang pergi'
Sedang bersedih rupanya dia.


Teman, kemari lah.

Ada sesuatu ku persiapkan untukmu.






Lihat, teman.
Ia hanya kerumunan rama-rama kaku.
Biarpun begitu, makhluk kecil ini sentiasa mengingatkanku tentang banyak hal, tentang manusia itu sendiri, juga tentang kehidupan pastinya.
Yang baik untuk kita, persis sang rama-rama, kita lepaskan pun nantinya akan kembali lagi. Yang sebaliknya pula, semakin kuat kita genggam, semakin tangan kan pedih tertusuk kuku sendiri.
Yakinlah! Rezeki kita, Dia jaga.
Kita jaga hak-hak Dia, kita usaha sehabis daya, apa adanya.



Tenang,

tidak ada yang semberono memutuskan,
kerana pilihan-pilihan ini telah disukat dengan neraca Tuhan.
Jalan hidup kita Dia yang tentukan.
Dan kita?

Melawan ketidakpastian, itu kita, teman!

Dan, kita akan menjadi seperca kenangan
yang tidak akan lelah mendoakan.

Lalu kau tegar persoalkan kegusaran,

'Apa kita mampu?'

Pandangan ku tundukkan, sembunyi perasaan.

Asal saja kau tahu, duhai teman.
Ketakutan kita ialah ketakutan yang sama.

Kerana yang menjadi kebimbangan Saiyidina Umar itu bukanlah pada tidak istijabahnya doa, tapi pada kekeringan jiwa dan lisan melantun bicara pada Tuhan.
'Semua ke syurga, kecuali dia. Ku bimbangi dialah diriku...'

Berat jiwa. Sesak dada. 

Naik turun suara, runduk lagi sang hamba.


ربنا ولا تُحَمِّلنا ما لا طاقة لنا به واعفُ عنّا واغْفرلنا وارْحمنا أنتَ مولانا فانصرْنا على القومِ الكافرين


Tuhan, jagakan setiap langkah dan resah hati.

Moga perpisahan ini bakal mempersiapkan pertemuan di tempat abadi.



"Tuhan 
segalanya telah Engkau tentukan
Terangi saja hatiku
maafku selalu terlupa
mensyukuri semuanya..."
-FT feat CB-




[nii]

Koleksi yang terperap dalam galeri.


Yang pertama di sini. Tak lelah menanti.
[Hassan II Mosque, Casablanca - 30 September 2014]


Yang hilang.
[Ponte Vecchio, Florence - 7 September 2015]
Matahari sedang terbenam di arah berlawanan. Eiffel Tower mula 'berlampu'.Gigih tunggu.
[Paris - 13 September 2015]



Matahari. Akan pergi.
[Plage Manesmanne, Mohammedia - Februari 2016]
Sikit lagi.
[Plage Manesmanne, Mohammedia - Februari 2016]




Matahari. Hampir terbenam.
[Cordoba - 16 Januari 2017]
Sudah selamat terbenam.
[Cordoba - 16 Januari 2017]


Versi lain.
[Plage Mehdia, Kenitra - 30 Julai 2017]

Travelog?
Sedang bertempur dengan hal-hal yang lebih utama. 
Nanti-nantilah, ya. BiizniLlah.



[san]


"Manusia-manusia yang ditemui dan situasi-situasi yang dialami hanyalah asbab. Kerana rezeki kita sudah tertulis. Maka, kekal percayalah padaNya."



Teman, mendekatlah.
Mahukah kau aku khabarkan sesuatu?

Sebuah refleksi indah
tentang sang matahari 
yang sinarnya tempoh hari
kita hadap dengan sepasang kaca mata gelap
Seperti biasanya ia,
bakal terbenam menjelang senja,
lalu bergantilah hitam pekat malam menjadi latar kita,
manakala di hujung benua sana terang berderang di sinar sang suria.
Begitu, teman, putaran hidup manusia.

Untuk yang pergi,
mereka seperti matahari
Pergi untuk terus berjuang, melukiskan keindahan alam.
Hilangnya untuk berbakti,
kerana pabila gelap nanti
akan tampaklah pula sang purnama terang
bias cahayanya dari sang matahari yang menyeimbang
walau ia tidak lagi kelihatan.

Sungguh,
bulan itu sentiasa penuh
walau ada waktunya yang terlihat cuma separuh
juga tatkala diselimut gerhana menyeluruh.

Teman, demikianlah kita.
seringkali sobek dengan kehilangan.
Padahal tidaklah hilang,
cuma tidak kelihatan,
justeru hanya yang mencari akan menemukan.
Bukan soal kewujudan,
tapi soal kepercayaan, kesungguhan dan kesanggupan.
Di medan perang tiada yang tidur, teman!
Pejuang sejati tidak sesekali menanti musuh datang
tanpa strategi dan persiapan, bukan?


Mengertikah kau sekarang?

Tentang perjuangan sang matahari yang tadinya terbenam.
Sinarnya tidak tergapai, tapi sampai.
Ah, sinar matahari, terang bulan, desir pasir, deruan ombak, teguhnya gunung.
Alam tidak pernah menyakiti kita, bahkan sentiasa sudi mengajarkan;
harapan, kehidupan, perumpamaan
dan lambang kuasa Tuhan.


Harapan terbesar kita, semoga matahari dan bulan itu mampu bersaksi,
atas segala jasa bakti, jerih perih sehari-hari, suka duka yang sudi kita berbagi, dan rabitah ukhuwah ini mudah-mudahan imanlah paksi, yang kelak kan membawa kita berteduh di 'sana' nanti, mudah-mudahan Dia redhai.

Teman,
pesan yang ditinggalkan ini kau kenanglah
bisikkan kembali tika aku lupa, ya?
"Jasa baktimu harus kau teruskan! Tidak akan ada yang sia-sia,
kerana ia cinta, tanggungjawab dan harapan." -ANZ

Dan teman, ke manapun kau pergi,
memadailah perjalananmu itu, kau bawa iman sekali.


- - - - - - - - - - - - - -

'Merindukan orang-orang baik, kenangan-kenangan yang baik.' Demikian luahmu.
Iya, aku juga terselam dalam kerinduan yang sama.
Merindukan biah solehah. Rindu ada yang mengingatkan untuk jaga Quran.
Ada yang menegur, mengingatkan untuk jaga hati, jaga pergaulan, jaga pemakaian. Sungguh. Rindu sungguh-sungguh.

'If you can't find one, then BE one!'
You reminded me with someone that I used to be, thank you for that.
Tetaplah teman, kita berpesan-pesan, dengan kebenaran dan kesabaran.




"Kita takkan mampu mengulangi masa

Hujan takkan balik ke langit semula

Jemputlah kenangan yang terindah saja..."

-REUNIC-

'The mind replay what heart can't delete.' -Unknown
Akal dan Hati; 
moga selamanya bertemankan iman sampai yang terakhir denyutan nadi.
Yang datang dan yang pergi; moga ada yang sudi mencari di 'sana' nanti.


أريد أن أمسك يدك في الجنة وأقول: نحن أخيرًا هنا



Na Na... Nakanaide!
[Hassan II Mosque, Casablanca - 22 Oktober 2017]


Inspired from :
Nouman Ali Khan; Battles of 'Heart' and 'Mind' (illustrated)




'
Kerana tenang itu bukan sekadar di daerah ini,
tenang itu teman, pabila Allah sentiasa dalam hati.
Februari --- 'when September ends' 2017

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Transparent Teal Star