Hamba ini tertanya-tanya,
apakah selamat tiba perutusan khabar berita
atau terjeda di simpang siur jalanan cuma ?
Jauh sekali tuan hamba bertapa
hingga kan tak kesampaian dikejar dek hamba yang tiada daya
Ada apa dengan sebuah gua ?
Kelam, gelap, suram,
bias cahayanya berbalam-balam
dinding basah nan berlumut lantainya
bebatuan stalagtit di atas bergantungan
stalagmit di lantai turut sama bernyayian
Sementara
yang merangkak penuh kepayahan dek licinnya lantai itu, hamba lah.
Yang cuba bertatih sambil tangan berpaut tunggul itu, hamba lah.
Yang berikhtiar mengemis upaya itu jua hamba lah,
menyeru nama tuan hamba yang sungguh mulia
melantun ke segenap penjuru gemanya
Walhal
tuan hamba masih terus-terusan bersembunyi
kononnya punya terowong sakti
tiada bersahut walau sekali
Keluarlah.
Keluar lah dari gua yang sendirian tuan hamba cipta ia.
Tiadalah diseru tuan hamba ke tengah hiruk pikuk kota,
sebaliknya, ke daerah tenang di pinggiran pantai itu
mampirlah
Di pantai itu punya
deruan ombak menghempas pantai yang hentinya tiada,
angin semilir berhembus nyaman lagikan mendamai jiwa
Telah tiba saat gua itu tuan hamba tinggalkan
walau sementara cuma,
kelak kesaktian tuan hamba memahat lagenda
hanya sahaja sekiranya tuan hamba bisa,
sekadar itu pinta hamba
Lelah hamba menanti
Kudrat mereput sendiri
Diri hamba yang serba kekurangan ini dibanding beza,
janganlah
Jaguh kan terbentang di hadapan tuan hamba,
terang sudah
Rasulullah sendiri pernah di gua, bersembunyian
Abu Bakar tegar berteman
namun tiadalah baginda terus terusan bertahan
saat Quraisy berundur
keluarlah baginda dari Gua Tsur
ke Madinah langkah baginda diatur
Tuhan, kuatkanlah.
Tuhan, permudahkanlah.
Tuhan, jangan biar zulmat dosa terus membelangi hati hamba.
Tuhan, pinta hamba dikurniakan hati yang sejahtera.
Daerah tenang
12042015
00:53
12042015
00:53
No comments:
Post a Comment