Jul 5, 2019

Surat Balas Ron Weasley untuk Harry Potter



Untuk Harry.



*Gambar tiada kaitan


Surat kau benar-benar telah membuatkan aku malu sendiri, Harry.
Aku tahu akulah yang salah dalam hal kita. Sungguh aku juga buntu, entah bagaimana juga hal ini tercetus antara kita, berlanjutan bahkan, sehingga terbawa-bawa ke hari ini. Ah, aku rasakan sudah begitu lamanya.

Er, aku keliru mahu bermula dari mana.
Betul, Harry. Semuanya bertitik tolak semenjak malam pemilihan wira-wira untuk Triwizard Tournament. Kau tahu, semua pelajar termasuklah professor, dan aku sendiri Harry sahabatmu sangat terkejut apabila Professor Dumbledore melaungkan nama kau, nama keempat yang dikeluarkan oleh Goblet of Fire yang ajaib itu! Perasaanku bercampur baur. 
Terkejut dan hairan; bagaimana ia boleh terjadi? Sedangkan kita sebaya, masih bawah umur. Kita juga sama-sama menyaksikan apa yang menimpa Fred dan George akibat melanggar syaratnya. Terus, bagaimana piala api itu kau tundukkan? 
Sedih dan marah sekali gus; sangkaku ketika itu kau merahsiakan hal ini daripadaku untuk kepentinganmu. Harry Potter yang sentiasa masyhur, sehinggakan untuk pertarungan ini pun dia mampu terpilih sebagai wira sekolah! Fikiranku berkecamuk dan dipengaruh orang. Aku berasa disisihkan, seolah-olah aku bukan orang penting untukmu.

Tapi, Harry. Aku telah berbuat silap. Aku menyedarinya.
Dan sebenarnya, Harry, aku tidak mengambil waktu yang lama untuk menyesalinya, bahkan sebelum cabaran pertama kau lagi. Benar, begitulah yang terjadi. Tapi, ego aku rupanya bertembok juga, susah diruntuhkan. Aku jadi malu untuk meminta maaf padamu. Tambahan pula kau juga tidak menyapaku seperti biasanya. Aku jadi janggal mahu memulakan. Padahal, itu bukan salahmu sama sekali. Kau berkelakuan begitu pun, disebabkan aku yang memulakannya dulu. Ya, akulah punca.

Lalu, aku fikir dengan cara membocorkan rahsia pada Hagrid tentang kedatangan Charlie dari Romania, ia akan membantumu menghadapi cabaran pertama, yang aku sangat yakin, kau langsung tidak pernah terbayangkan bahawa kau akan berhadapan dengan naga! Dan seperti yang sudahku jangka kan, Hagrid sangat teruja apabila akhu khabarkan padanya tentang naga-naga itu sebelum diingatkan tentang kau, Harry, yang akan bertarung menundukkan makhluk itu. Dan aku tahu benar, Hagrid akan turut sama membantumu. Dia tidak akan membiarkanmu sendirian dalam hal yang genting sebegini.

Awal Charlie menghubungiku, memberitakan kehadirannya bersama naga-naga itu, aku runsing. Bagaimana kau ingin menghadapinya nanti? 
Aku sedikit lega kerana Hermione sentiasa di sampingmu, tidak seperti aku ini. Rajuk yang langsung tidak mendatangkan keuntungan. Ralat juga rasa hati. 
Aku mahu perbaiki keadaan kita, tapi buntu dengan cara yang bagaimana. Kau pun tahu sendiri kan, bagaimana teruknya aku apabila menggunakan kata-kata?


Sepanjang tempoh itu, aku galau sebenarnya, Harry. Berperang dengan perasaan, tapi tidak tahu bagaimana hendak diluahkan kata maaf.
Awalnya aku fikir kau tidak apa-apa dengan kelakuanku.

Tentu sahaja aku silap. 
Bahkan memang sewajarnya aku yang mendatangi kau dahulu. Kau pula malah membuatku mengulang tayang satu persatu kenangan kita walau cuma tercoret dalam buku catatan di bawah bantalmu. Berganda-gandalah sesalku, sahabat.
(Maafkan aku kerana tidak sengaja terbacanya, tempoh hari buku catatanmu terjatuh dari katil, aku cuma berniat ingin meletakkan di tempatnya, namun lain pula jadinya apabila aku terpandangkan namaku yang tertulis pada helaiannya yang terbuka. Maafkan aku untuk perkara kedua ini.) *plottwist!*  XD


Harry, aku percayakan kau, dan akan sentiasa berada disampingmu, through thick and thin. Maafkan aku Harry, kerana telah membuatkan kau sesedih itu. 
Harry, kau masih sudi mengambilku kembali sebagai sahabat, iya kan?


--> Baca entri terdahulu: (Surat Harry Potter untuk Ron Weasley)




05072019
(tiga tahun sangat baru Ron balas surat Harry haih)
Pause sebentar daripada realiti, sesambil korek entri dalam draft.
Belambak rupanya. Adehh.
[TGG, MYS]

2 comments:

ainulzaidi97 said...

Baru jha maraton siri Harry Potter hari tu. Hehehe..

Anyway teteh, silalah publish segala tinta yang masih terperuk di almari draft. ^,-

M I Z A H L E E said...

Eheheh, perlu ditapis lagi dengan neraca akal dan iman, disadur dengan emosi dan hati yang tenang, tidak semudah menekan butang 'publish' semata, bimbang jika ada yang tersalah observasi, terluka tak sengaja ;)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Transparent Teal Star