Dec 10, 2019

Sebuah Tulisan; Di Sebalik Kedipan Mata & Perbualan Maya


'Pertemuan berlaku
di penjuru matamu
yang ungu
lalu membiru...


Boleh jadi mimpi itu cara bertemu.
Bebas di minda, terpenjara di natura.
Setelah sekian pekan berselang siang dan malam, akhirnya aku menggenapkan hati dan menukang tulisan ini tatkala manusia yang lainnya bersesak di kafeteria untuk makan tengah hari. Tentangku jangan kau risaukan, aku belum lapar memandangkan sudah makan berat pagi tadi.

Apa khabarmu, kawan? 
Lama sungguh kita tidak berpeluang bertemu mata, mencurah segala rasa dan menggeledah pengalaman masing-masing selari perjalanan hidup yang tiada jedanya.
Kalau dahulu kita dipisah jarak berbeza tempat pengajian, sekarang sudah tidak. Ah, membahaskan jarak lebih jelas rupanya, sehingga kita terlupa pasangannya; masa. Masa yang ajaib, menghadiahkan kita ceritera hidup yang pelbagai, ada antaranya yang hanya dibentuk lewat usia dan pengalaman.
Er, terasa janggal pula untuk memulakan.
Kawan, selain keluarga, kau kini milik masyarakat. Aku senang dengan pencapaianmu,  kesibukanmu dan kesibukanku tentu jauh bezanya sehingga agak sukar untuk aku meraih khabarmu, maaflah, aku hanya meneka-neka sahaja sementelah belum berada dalam fasa tersebut. 

Maaf juga, jika tulisan ini menggugat ketenteramanmu, aku tidak bermaksud membuatmu terganggu. Aku menyusun dan mendendangkannya di sini sekadar untuk melepaskan galau yang bergayut di tabir jiwa, tidak terlalu ketara sebenarnya, cuma sesekali diselak, kelihatan juga ia. Sejujurnya, tulisan ini tidaklah sepenting mana, aku sekadar ingin berkongsi, mahukah kau mendengar dendangannya?

Terima kasih, kawan. :)
Baiklah. Aku mula, ya?

Minggu lalu selesai sudah pembentangan terakhirku untuk semester ini, pembentangan terakhir untuk pengajian sarjanaku. Seperti kurang percaya bahawa ini sudah yang terakhir rupanya. Alhamdulillah. Allahu Akbar! 
Betapa lega dan lapangnya jiwa ini hanya Tuhan Yang Tahu. Pembentangannya lancar, dan aku berasakan aku sudah mengikhtiarkan sehabis daya, natijahnya aku serahkan padaNya, moga bermanfaat dan difahami segala yang disyarahkan. Terima kasih atas doronganmu selama ini, aku sangat menghargainya.
Berbalik kepada pembentangan, aku membentangkan fasl awwal (bahagian pertama) yang dihadam dan diringkaskan dari sebuah kitab falsafah yang tinggi perbendaharan katanya berjudul 'أزمة العقل المسلم' (Krisis Akal Muslim). Kitabnya dalam Bahasa Arab, boleh juga didapati versi terjemahannya dalam Bahasa Inggeris, dikarang oleh Prof Emiritus Dr Abdul Hamid Abu Sulayman, rektor kedua UIAM yang setelah beliau disusuli Prof Emiritus Dr Kamal Hassan. Iya kau benar, tentulah perbahasan ini dalam jajahan subjek Islamization of Knowledge (IOK), wajibat  yang dituntut Dr Adham yang sangat teliti dan tinggi himmahnya untuk subjek yang diajar beliau untuk kali pertama. Terlalu banyak yang ingin dikisahkan lagi tentang subjek ini, sebenarnya. Tidak mengapalah, aku pinggirkan dahulu kronologi yang selainnya, boleh ya?

Baiklah, kembali pada kisah pembentanganku tadi.
Seputar mauduk pembentanganku itu, ada beberapa hadis Nabi SAW yang perlu aku terangkan dan mencari keterikatannya dengan tajuk utama perbahasan - Krisis Akal Muslim. Dan hadis pertamanya ialah tentang niat, persis Imam An-Nawawi yang meletakkan hadis ini sebagai muqaddimah Al-Arba'in An-Nawawiyah, hadis yang tersangatlah biasa ditemukan di mana-mana, hatta kita sudahpun menghafal dan mempelajarinya semasa menekuni subjek PQS dahulu. (Ataukah subjek Pendidikan Islam semasa di lower form ya? Maaf, aku sudah lupa yang mana)


عَنْ أَمِيرِ الْمُؤْمِنِينَ أَبِي حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ:

" إنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى، فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إلَى مَا هَاجَرَ إلَيْهِ".

(أخرجه المسلم)


Masih terngiang-ngiang celahan Dr Adham tepat semasa aku memberi sedikit penjelasan tentang niat yang berkait rapat dengan konsep ikhlas; salah satu syarat diterima amalan. Beliau mengangguk-angguk, memberi perhatian. Kemudian dilontarkan soalan mudah sambil mengukir segaris senyum kebapaan, tidak lebih dari sekadar satu selingan pendek.

"Hal anti ta9dimiina lyaom lil ustaaz fa9at au Lillah?"

Entah kenapa, aku terkesima.
Mujur masih mampu mengawal riak wajah tenang, walau yang di dalam sudah dilanda air bah! Kelat rasanya. Mampukah kau bayangkan?
Aku tahu, beliau tidak cuma tujukan soalan itu kepadaku, bahkan termasuklah kesemua yang berada dalam kelas ketika itu. Dalam hatiku bisikkan istighfar.
Iya, 'bendanya simple' orang kata, yang kadang tidak terlintas pun di fikiran. Sebabnya?
Sudah terlalu biasa, sudah sebati menjadi rutin asasi. Perkara yang makruf harus dilaksanakan untuk mendapat sekian perkara. Sebagai seorang pelajar, haruslah ada tuntutan yang harus disempurnakan untuk dinilai dan dievaluasi, begitulah juga kita.
Betul lah mukmin itu harus itqan dalam setiap apa yang dikerjakannya, to please Allah, not othersUrusan sekecil ini pun selayaknya dipersembahkan dengan terbaik kerana Allah, apatah lagi untuk urusan-urusan yang besar. AstaghfiruLlah, aku khilaf, akulah yang lupa.
Seakan ia persoalan yang tidak hilang, mengetuk satu persatu jendela di benak fikiran.
Sepenting soalan, sedetik dilontarkan, sebesar pengajaran.
Sampai ke saat ini aku masih memikirkan.
Akal dan minda seakan tiada penat membahaskan isu yang sama sepekan ini. 
Ilmu. Amal. Konsep hamba - khalifah. Menjadi baik dan memberi kebaikan. Pengajian Sarjana yang sudah hampir ke penghujungnya. AllahuRabbi.

Sudah sering aku ditanya, "bila habisnya?"
Dan setiap kali itu juga ada rasa sebak mengintai dari dalam, perlahan menyusup masuk menghuni jiwa yang berselerak rasa, entah apa agaknya yang mendominasi sekeping hati?

Sejujurnya aku belum mahu habiskan tempoh pengajian ini. Kalau selama ini aku menyangka 3 semester seharusnya memadai, sekarang tidak. Jika diluah pada orang, mereka juga hairan denganku, mahu apa lagi berlama-lama dengan tempoh pengajian? 
Hakikatnya, aku sayangkan pengajian ilmu dan majlis-majlis talaqqi, aku kasihkan orang-orang baik yang aku temukan dalam pendakian plot ini, namun aku juga tidak betah dengan tuntutan assignments yang tak berkesudahan, juga sara hidup dan hal ehwal ekonomi diri. Aku kira, yang sebenarnya aku takutkan adalah fasa-fasa mendepan setelah berakhirnya fasa pengajian. Akan tetapi, hidup akan terus berjalan, usia sekarang akan terlewatkan juga, aku perlu berani menghadapi apa pun fasa selepas ini, bukan? 
Sudah masanya aku 'memberi' pada masyarakat dan mengutamakan yang lain, sepertimu, kawan. Atau setidaknya menebar manfaat buat keluarga dan diri sendiri yang terutama.

Pilihan ini tidak pernah aku sesalkan, sama sekali tidak pernah. Walau ada kalanya keluhan itu terpacul jua dari lisan ini, aku kira ia manifestasi jasad, fikiran dan emosiku yang lelah, barangkali disebabkan jauhnya realiti dari ekspektasi yang aku laburkan. 
Itulah. Sudah diingatkan berkali-kali agar lebih berwaspada dengan ekspektasi, tentang apa pun! Seronok kah meneka-neka dengan rasa?
Ah, maafkan aku yang tiba-tiba beremosi. Menjadi dewasa kian mengajar kita menyelam ke dasar emosi yang pelbagai, untuk itu aku perlu lebih gigih belajar untuk berdamai dan beradaptasi. Andai tersalah pilihan ini, aku belajar banyak hal rentetannya. Andai ia tepat, aku juga belajar. Terima kasih buat yang mempercayai pilihan ini, kaulah salah seorangnya, hatta hakikatnya kita tidak akan pernah tahu perihal tepat atau tidak, justeru harus tetap kita percaya bahawa setiap yang terjadi itulah yang terbaik. Aku sedang cuba memahaminya.

اللهم اجعلنا من الذين إذا علموا عملوا وإذا عملوا أخلصوا وإذا أخلصوا قبلوا عندك يا رب العالمين ونجوا من عذاب أليم




Kawan, jika kelopak matamu sudah berat, berehatlah dahulu, tidak perlu terburu-buru menghabiskan. Ceritaku masih ada lanjutannya.

Entahkan ini turning point ke berapa dalam hidup.
Izinkan aku kisahkan ini juga padamu; perihal peristiwa yang menempati plot pada suatu pagi Jumaat bulan Oktober sebelum diberitakan kejutan-kejutannya, aku menghadiri kuliah bulanan Ayyuhal Walad yang disampaikan oleh syaikhuna Alfadhil Ust Dr Ayman Al-Akiti, dianjurkan oleh Kulliyyah Economics and Management Sciences nun jauh di 'hujung dunia' (jika dihisab dari Mahallah Aminah). TabarakaLlah feek.

Ayyuhal Walad; karangan Imam Al-Ghazali, kitabnya kecil, nipis sahaja, jauh lebih sedikit helaian muka suratnya jika dibanding Matan Aljurumiyah, atau Hadis Al-Arba3in An-Nawawiyah. Dan sudah ku khatam baca ia.

Ajaibnya, setiap yang disyarahkan Alfadhil Ust, aku berasa takjub, sayu dan haru. Entahkan tepat atau tidak pemilihan perkataanku kali ini. Ah, sukar sekali menterjemahkan rasa ini menjadi kata-kata agar kau fahami tanpa perlu berfikir lama. Aku tahu, kau punya banyak prioriti.
Almuhim, jelaslah bahawa selama ini aku hanya sekadar 'membaca'nya sahaja. Sekarang aku faham kenapa Dr MDB membezakan antara perkataan 'read' dan 'recite'. 'Recite' lebih tepat untuk menterjemahkan kalimah 'iqra''. Menurutmu bagaimana?

Rentetannya lagi, dalam sebuah diskusi Prof Emiritus Dr Kamal Hassan berkisarkan Imam Al-Ghazali seputar muqaddimah kitab Ihya' Ulumuddin (sesi ini diadakan secara bulanan di M. Kamal Hassan Library, betapa aku terlalu ingin kau menyertainya semenjak aku sertainya kali pertama! Tapi malangnya sesi ini dijadualkan pada waktu kau bekerja), ada diterangkan tentang seorang yang berilmu yang sibuk dengan personaliti luarannya tetapi tidak 'menjaga' peribadi dalamannya; "بيت مظلم باطنه"
Umpama memiliki sebuah rumah yang hanya diletakkan lampu di luar, tetapi di dalamnya gelap gelita. Menyedihkan. Lantaran itu, Al-Ghazali sangat menekankan peranan hati; hati yang punya nafsu, yang dibahagikan pula dengan pembahagiannya yang tertentu.

Sedikit aku kongsikan di sini apabila seorang kekanda menata kalamnya;
".. bahawa kita ini manusia, takkan pernah kenal potensi sebenar nafsu ammarah dalam diri kita. Lantaran itu, Allah menegaskan untuk manusia menjauhi segala punca kerosakan diri dan kerosakan yang mampu kita sebabkan kepada orang lain. Adapun kita, tidak akan sunyi dari diuji untuk mendekati pintu kerosakan itu, kerana musuh yang bersembunyi takkan pernah berputus asa sehingga kita mati, binasa. Bentuk tipu daya sang musuh bahkan tidak kita ketahui dari arah mana datangnya. Jalan menjaga diri cuma satu, taqwa. Kalau didekati, jauhkanlah diri. Kalau kita pula yang mendekati, muhasabahlah nafsu itu ke mana tujuannya. Allah SWT pasti bantu hambanya yang berusaha menjaga dan memelihara kehormatan diri."

Au kama qaalat.
Cuma seperca persepsi, walhal masih panjang benar yang harus difahami dengan baik. Nanti kita bahaskan lagi tentangnya, biizniLlah.


"Get the knowledge, know how to worship Allah, and give benefit to ummah."
Ilmu itu sifatnya memanfaatkan. Ilmu yang bermanfaat akan menjadikan seseorang itu lebih baik dari keadaannya yang sebelumnya. Bukan tidak pernah tahu apalagi diberitahu tentang ini. Boleh jadi kurang cakna tentang implikasi ilmu itu terhadap diri sendiri. Setinggi manapun peringkat pengajian, andai ilmu itu tidak bermanfaat, jadilah si penuntutnya itu sama sahaja,tiada qiimah, tiada miizah padanya. Inilah antara hal yang merusuh jiwaku pada minggu-minggu terkebelakang ini, aku khuatir andai tergolong aku dalam 'golongan yang sama sahaja, tiada beza', harapanku murni kepadaNya aku pohonkan agar Dia bantu aku menjadi seorang aku yang lebih baik dari segenap segi, dengan ilmu yang bermanfaat, sentiasa, selamanya, selagi hayat dikandung badan. Kerana ilmu yang bermanfaat itu salah satu pelaburan agung selain sadaqah dan doa anak yang soleh, andai nanti jasad ini luput ditelan bumi.
Sudikah kau bersama-samaku menyibukkan diri dengan ilmu dan hal-hal kebaikan untuk hari-hari selepas hari ini?

Kau tahu, kawan. Rasa-rasa asing tentang kekecewaan itu semakin disembunyikan, semakin menjadi nyata ia, lambat laun kan terlihat di mata juga, sesuatu yang tidak kita inginkan sama sekali.

Tidak adil begini, bukan? Seharusnya aku juga mendengarkanmu.

Apa sahaja yang kau dambakan, apa sahaja yang kau harapkan daripadaku, itu ialah hak-hak yang wajar aku dengarkan dan berikhtiar untuk penuhi, sekarang atau nanti. Luahkanlah impianmu yang kau timbun sekian lama. Ceritakan padaku, kawan. Kesibukan akan mengambil jedanya memberi ruang untuk kau bersuara, mendominasi. Aku mungkin tidak pandai 'mencari', namun aku kan tetap di sini, menunggu setiap patah katamu untuk aku perhalusi.

Kawan,

aku sering mendengar dan membaca kata orang, bahawa penantian itu satu penyeksaan. Iya, mungkin ada benarnya, namun aku punya perkiraan lain. Bahawa penantian itu satu perjuangan. Kau tahu tidak, apa yang diperjuangkan? 

Tujuan.

Harus kita jelaskan dahulu tujuannya. Setelah itu baharulah kita tempa senjatanya; iaitu sabar dan yakin pada Tuhan. Dengan sabar dan yakin, penantian bukanlah satu penyeksaan, bahkan ia bertukar menjadi satu didikan, agar hati bersangka baik pada Tuhan. Juga, selagimana kita fahami tujuannya, maka penantian akan menjadi satu proses yang sangat berharga. Asal sahaja kita masih mahu memperjuangkan.


Rumit juga menjadi seorang aku, 

pada kenyataannya ingin sahaja aku mengganggu di setiap pagi hari minggumu dengan soalan; "jadi harus bagaimana kita memandang hidup ini? Bagaimana untuk saling menguatkan sesama sendiri dalam mendepani ujian-ujian hidup yang tak terjangkakan? Kita ingin mengatur masa hadapan yang seperti apa?", atau "senandungkan padaku tentang tokoh-tokoh yang kau segani itu, bagaimana karakternya begitu ampuh sehingga berjaya menempah tempat di hatimu?" atau mungkin juga meminta pandanganmu tentang Elif Shafak dan perbahasan cintanya, tentang Rumi dan Tabrizi yang dikaryakan dalam 'The Forty Rules of Love' sambil menikmati sepinggan keropok lekor dan menghirup secawan teh pudina hangat, atau kopi kegemaranmu.

Realitinya tiada apa yang berlaku. Fikiran itu berlalu, dan segalanya seakan kaku. Seperti katamu, aku masih aku yang sama. Sayu rasa hati, tetapi aku sedar, aku tidak punya apa-apa untuk menepisnya selain diam dan muhasabah diri, mengharapkan keajaiban.


Ah, usah kau berasa bersalah.

Aku percaya, dan masih percaya bahawa kau orang yang baik, cuma sedang (mungkin) tewas dengan situasi. Tidak pernah terlintas di hati ini meletakkan kau sebagai puncanya, malah aku juga tidak menyalahkan sesiapa. Aku kira ia kronologi penting untuk ku tempuh, supaya aku belajar  lebih mengenal dan berdamai dengan perasaan sendiri.
Barangkali jiwamu juga sedang bergolak dengan perubahan demi perubahan ini. Itulah hidup, kawan. "Ia umpama guli yang melantun; sentiasa mencari tempat sesuai untuk berdiam. Tiba masa, berhentilah ia usai ketemu apa yang dicarinya." Begitu tafsiran seorang kenalanku.



Untuk kau yang hadir dan hilang pada kedipan mata yang sama, semoga kita akan saling membantu dan mengingatkan tentang luasnya rahmat dan kasih sayang Tuhan. 
Untuk kita yang sedang dan akan saling memperbaiki, mengasah peribadi dengan batu pengalaman yang berbeza, seganas apa pun lautan berombak membadai pantai rasa, semoga kita akan mampu tenang dan lapang menerimanya.
Semoga dengannya menjadikan kita seorang hamba yang sentiasa menghisab diri dan melakukan tazkiyah. Kalau dengan cara meluahkan padamu aku menjadi lega, maka akan lebih melegakan lagi menenangkan apabila kita lebih banyak berbual dengan Tuhan, seperti tausiyah Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid. Kepada Allah kita kisahkan semua perinciannya, meluahkan segala yang terbuku di jiwa, mengadukan setiap suka dan duka, menumbuhkan tunas-tunas doa yang telah kita tanamkan benihnya bersama-sama. Sama ada dengan hal yang kita hajatkan atau sebaliknya, Allah Maha Mendengar lagi Maha Tahu wasilahnya, ketepatan waktunya, maka dari situ kita belajar tentang keyakinan. Yakinlah. 

Dan tentang satu hal lagi yang barangkali terpinggir dari perhatian kita; tawakkal dan penyerahan. Menyerahkan setiap hal ehwal kehidupan, perasaan, kesejahteraan jasadiah dan rohaniah bahkan seluruhnya kepada Allah. 

Terima kasih sudi meneleku tulisan yang tidak seberapa ini hingga ke akhirnya. :)
Mohon dimaafkan atas segala khilaf yang berlaku, yang dalam sedar atau sebaliknya. Aku keliru bagaimana harus beraksi di posisiku sekarang. Walau bagaimanapun jua, aku akan sentiasa menyokongmu, mendoakanmu semoga setiap langhkahmu dipeliharaNya.
Hujan, ribut membadai, gersang, hangat melepuh, semoga kita akan tetap setia menjaga doa dan tujuan dengan tulus penyerahan padaNya Yang Maha Merencanakan. Seperti kata-katamu tempoh hari, " kita sama-sama doakan yang tebaik."
Dan untuk setiap yang kita hajatkan, semoga terkabul dengan cara yang paling indah. Aamiin.

And the du'a for all occassions is seeking for Allah's forgiveness.
".... إنّي كلما دعوتهم لتغفرَلهم"



... Pertemuan berlalu
di penjuru dadaku
yang sayu
lalu terharu.'
-Pertemuan, T. Alias Taib






DIsebabkan terlalu ingin mengarang setelah sekian lama menyepi
tapi di Mahallah dah seminggu tak dapat sambungan wifi,
maka aku ke sini, seharian, dari pagi,
untuk menggerakkan wajibat, dan menukang ini.

Hari ini aku mengarangnya sebagai seorang 'aku',
yang tidak lain adalah untuk menasihati diri sendiri,
boleh jadi akanku ulang baca sebagai 'kau' pula,
suatu hari nanti.

Dar Al-Hikmah, Taman Ilmu dan Budi.
10122019
16:10

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Transparent Teal Star