Jun 25, 2018

What do you miss the most about Morocco?

A tribute to all people involved in my Jaulah Wida'

BismiLlah!

Aha, tajuk sahaja acah lebih tulis dalam Bahasa Inggeris. Hakikatnya entri ini masih ditukang menggunakan bahasa ibunda.

Dulu, sering juga saya nantikan soalan ini menyapa sambil berfikir saya mahu memberi jawab apa yang utama? Tidak tahu bagaimana mahu mengadili kesemua elemen-elemen yang hadir berserta nostalgianya.
Apatah lagi sekarang, jawapannya menjadi persis semuanya. Saya sendiri kabur untuk menilai mana yang lebih saya rindukan antara ringgo dan chebaikia di pasar Juthia atau millefieulle di hanut Khuya Khalid depan rumah. Antara tajine samak rumah Fatimah atau harira ummu Ibtissam? Berjalan kaki untuk mengulangkaji di maktabah jami3ah yang hingar atau mengambil teksi ke Dar Tsaqafah yang hening? Dan tahu-tahunya jasad sudah berada dalam bas 900 menuju ke Casa untuk ke Bibliotheque Saoud! Random decision lama kelamaan semakin sebati pula dengan diri.
Susah juga ya, bila masing-masing ada tempat di hati.

Rindu, iya rindu tentunya. Sengaja dipendam tak terluah. Bukan apa, bimbang semakin diusik, semakin menjadi-jadi pula yang dimuntah.
Saya baik-baik saja di sini. Biasalah, mengigau kesibukan yang cuma dari tanggungjawab diri, bukan komitmen baru yang berganti. Kalau cuma ini dikata mengah, usahlah bermimpi mahu komitmen bertambah. Nyatanya, tetplah kondisi saya baik-baik saja.

Tapi ada ketikanya menjengah ke pasaraya, masih diri tertinjau-tinjau Jouda dan Jibi (manalah tahu kot sampai ke sini. Milka pun dah ada kot), ke pasar Batu 6 masih juga bertanyakan "kein na3na3" dan "shhal..?"
Yang sudah ditinggal, ditinggal saja, kemaskan, lipat dan simpan.

Untuk manusia-manusia yang seperti saya tidak mudah melakukan hal ini.
Maka kata-kata ini saya tukangi sebagai sebuah ingatan rapi walhal saya tahu persis, dengannya tidak juga dapat melarikan saya dari realiti di hadapan mata.

Teringatkan kehidupan di daerah tenang. Terakhir mendapat khabar dari Makcik Najat, beliau sedang berpergian ke Eljadida, barangkali sunyi dia, tinggal sendiri lagi. Wanita lebih separuh abad yang cekal hati, hidup mandiri, justeru kadang jiwanya tidak mampu menepis sepi.
Sesekali teringatkan Loubna si gadis kecil bertocang dua yang gemarkan kek pisang, sudah beberapa kali juga menjadi penyelamat saya, 'agen' mencegah pembaziran.
Di sini sekarang, saya sudah senang mendapatkan biskut jagung Jacobs sampai-sampai langsung tidak endahkan biskut Merrie, seperti tidak perlu setiap minggu ke hanut Khuya Hassan Seferagic untuk membeli gullon yang stoknya hanya di situ. Marwa anak si penjual msamman sebelah Teratak 456 pasti sudah boleh berjalan sendiri ke sana ke mari tanpa menggunakan walker baby lagi. Dan teratak generasi demi generasi itu khabarnya akan ditutup di penghujung Julai nanti, moga lancar segala urusan yang bersangkut paut dengannya.
Apa khabar Sidi Rachid si tauke ayam, barangkali kaki-kaki ayam yang melonggok di belakang kaunternya itu kini diberi makan anjing sahajalah.

Pernah juga membayangkan, apalah agaknya reaksi jiran tetangga atau sedara mara yang berkunjung nanti andai Wisar dan Linda si anjing penjaga rumah Makcik Najat ditambat pada pagar hadapan rumah? Haha. Ah, sudahlah. 
Kontroversi yang bukan sahaja melawan norma masyarakat, bahkan mencetus dialog panjang perbandingan mazhab!


Cerita Jaulah Wida'

Menyelak halaman planner April 2018, sebaik sahaja selesai AGM, maka bermulalah Jaulah Wida' seorang ahli marhaen PMMM ini. Saya yang memilih untuk tetap menyudahkannya walau waktu berbaki sudah agak sempit. Biarlah letih sekejap, asal nanti jiwa bebas, lepas. Itu fikir saya. Konsekuensinya tanpa saya duga termateri di tempat terakhir; Kenitra. Satu pengajaran buat saya yang degil terlampau tidak hiraukan penat, badan tidak cukup rehat walaupun sudah berbekalkan Yoko-yoko'fresh care' dan 'aiguebelle choc noir', masih ada ralatnya saya.

[un]  Eljadida. Wilayah pertama saya berpetualang mengucapkan selamat tinggal. Tiada dalam perancangan saya untuk menjadikannya sebagai wilayah pertama. Insan-insan penting saya berada di sana, bersalaman keluar rumah pun belum ada 'zouq' perpisahan. (Ah, dan rupa-rupanya Allah sudah mengatur cantik takdir ini. Kekanda-kekanda saya ini sanggup berkorban masa menghantar pulang pada hari keberangkatan, tanpa saya tahu, tanpa dirancang. Hasya Lillah!)
5 hari di Eljadida. Sempat ikut membayar bil, ber'char kuey tiow', ke jami3ah, ke pantai...

Entah belajar dari mana pula snap dari angle ni. Biarlah. Janji bermakna dan ada nostalgianya.
Syati3 - Rabu, 18042018.

Dah nak balik baru 'addicted' dengan makhluk ini. Hm, macam mana ni?
Mat3am qurba syati3 - Rabu, 18042018.


Anehnya saya ini, semakin bermakna seseorang itu pada saya, semakin berat pula lisan mengatur ucapkata selari rasa saat bersemuka. Kenapa? Entah, saya sendiri masih cuba memahaminya. Tiada yang amat saya harapkan saat ini melainkan kekanda-kekanda saya ini dinaungi rahmat Allah bagi menyelesaikan amanah mereka di sana dengan tenang, cemerlang. Aamiin!
Menjelang pagi Jumaat yang berkat saya menggagahkan diri meninggalkan Eljadida, mudik ke Selatan menuju wilayah kedua.


[deux]  Kali terakhir ke Marrakech sempat berbual panjang dengan Kak Hijjah. Niatnya sedari awal begitu. Nah, Alhamdulillah rezeki, memang hampir seharian mendampingi senior dari Sabah yang belum pernah kembali ke Malaysia sejak tahun pertama menjejak kaki ke Maghribi. Kira-kira 6 tahun yang lalu. Idola, sungguhlah. 

Kami banyak berkongsi tentang kehidupan di sini, selepas pulang nanti apa yang akan dikerjakan?


Qasrl Badi3, Marrakech - Jumaat, 20042018


"Kat sini tempat kita jadi dewasa, belajar jadi matang..."
Luahnya senada. Buat saya yang sudah berada di fasa 'wada2an' ini kedengarannya sungguh haru.
Setengah hari menemani Kak Hijjah di rumah, ba3da zuhur diajak bersama-sama Kak Wawa dan Mba Tika ke Gon's Chicken, restoran yang terkenal dengan hidangan ala-ala Korea di Marrakech.
Pulangnya kami, belum sempat separuh perjalanan berjalan ke rumah yang lagi satu, di'culik' pula oleh Aimy dan Rufaidah ke restoran snack kegemaran mereka. Makan lagi saya!
Terima kasih Rufaidah, gigih memenuhi keperluan kekanda ke Istana Bahia, Istana Badi3 dan Jami3l Fnna. Setengah hari yang mengenalkan saya dengan sifat setiakawan dan kebesaran jiwanya seorang Rufaidah. Terima kasih Ain, Aimy, tujuan yang sama kalian ikut ke Agadir banyak sekali memudahkan urusan diri ini. Aimy dan Ain teman musafir yang matang memberi pandangan. Untuk Ain, ya ini kali kedua kita ke sana setelah episod pertama #SebiruJaulahKita :)
Terima kasih AJ yang sentiasa riuh tapi cakna, dan Su atas sebuah kemesraan walau hanya atas talian sejak tahun-tahun sudah. Terima kasih kalian, kerana meraikan nilai sentimental kekanda kalian ini dengan tinta penuh makna pada 5 keping poskad! Sungguh saya terlalu menghargainya.

'Hi-Tea di kedai borong Argan Tarik, Souql Ahad, Agadir. Menikmati khubz, amlo wa zayt. Dan semestinya ataii! Majanan :)



[trois]  "Wilayah mana yang paling kau suka?"
selalu sangat disoal oleh warga tempatan. Sudah ke utara Maghribi, ke selatan bahkan, jawapan saya tetap,

"Fes."

Fall for you. Miniso memang berjaya memukau. Burj Fes - Selasa, 24042018
Jnan Sbil, Fes - Rabu, 2504208

Sebab bahagia? Ahah. 

Sejak kali pertama ke sana sudah terasa nyamannya, tidak perlu sebab konkrit selain itu, saya kira.
Adat keberadaan di Fes tak mampu duduk sekejap, namun tidak demikian untuk kali ini. Apakan daya hamba, yang sedang berpacu denga masa. Ada beberapa hajat yang ingin disempurnakan di kota ilmuwan ini. Alhamdulillah, dipermudahkan, diizinkanNya walau tidak semua terlaksana. Masuk kelas adik-adik arabiyah di Dhar Al-Mehraz (Kuliah Adab Sais dah pernah join Husna XD), setelahnya menyantuni the one and only sister Ibest bersantap di Burj Fes. Mewah sekali sekala. Di wilayah sendiri memang tak adanya nak berjimba.

Esoknya berpagian dengan Husna yang manis bermediasi ke Le Jardin Jnan Sbil. Tenang. Nyaman. Kena pada masanya, musim bunga (biasa datang Fes musim panas, Januari tempoh hari  musim sejuk pula). Lolos meredah Bab Joloud mendapatkan kiriman orang dan hajat diri; dari baghrir-fridge magnet-jellabah-tali pinggang-za3faran-beg kulit-clay argan-keychain. Hari yang plotnya tidak terjangka oleh saya. Cerahnya hanya di waktu pagi, hujan turun mencurah-curah di tengah hari hinggalah senja. Indah dalam gundah. Membiarkan hari itu berlalu dengan perca-perca harap yang bertangkup. Menyaksikan adinda-adinda BaiJa menguih untuk keesokan harinya. Membiarkan mereka; Nasuha, geng sembang Chomsky yang sangat kuat usaha dan tinggi iltizamnya. Mun yang ceria juga cermat orangnya. Aisyah yang kuat keinginan dan sangat meraikan orang. Syu yang terlalu peka, sanggup datang dari Fes untuk meraikan MMG. Mannal si penglipur lara, 'stoking solat' itu sangat banyak manfaatnya. Husna, yang paling tepat untuk bermetafora, sangat mendalam pengamatannya, yang mendengar dan didengar, dialah.. (miskin rasanya kosa kata untuk memperihal kalian), seorang demi seorang meminta diri untuk beradu di kamar. Selamat malam adinda-adinda BaiJa :')

Seawal 3.45 pagi meredah kesejukan keluar rumah, melilau mendapatkan teksi di sekitar simpang hadapan Masjid Saad Abi Waqas untuk ke la gare. Fatini dan Nasuha setia di sisi dengan wajah sembap menahan kantuk kepenatan. Moga Allah merahmati kalian.


Terakhir. La gare Fes. Khamis, 26042018


Sebelum 'pulang' ke Mohammedia, singgah dulu di Kedutaan Besar Malaysia di Rabat atas urusan syahadah ijazah, sekali gus membuat kunjungan hormat ala-ala farewell version (sukahati je letak nama!) buat staf-staf di sana terutamanya Soumaia, Pn Afiza dan En. Shahril. Sayang sekali Ambassador tiada. 


Kedutaan Besar Malaysia di Rabat, Maghribi.

Menapak pergi dari kedutaan pun ada sayunya yang tersendiri. Boleh jadi diri terkesan dengan orang-orang di sekeliling yang bersungguh-sungguh membantu memudahkan urusan.


Bersambung ke [Part 2]


2 comments:

Anonymous said...

:)

cikola said...

bila mau sambung kakkk

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Transparent Teal Star