Jan 14, 2019

Selepas Dua Dekad Lebih Satu

Selepas Dua Dekad Lebih Satu - Kisah Dua Puluh Dua


BismiLlah.


Satu angka sudah terlewatkan hari ini. Usia dua puluh dua yang bermakna, meninggalkan ibrah dan hikmah untuk dijadikan bekal episod-episod kehidupan selepasnya.
Perjalanan hidup manusia itu panjang dan berliku, apa mungkin disingkat menjadi cerita pendek?
Sedangkan pada kebanyakan cerita yang ditulis, kita sering diperlihatkan bahagian-bahagian yang terbaiknya sahaja, kerana manusia itu berjuang dalam hidupnya untuk menyembunyikan kelemahan diri. Sembunyi untuk diperbaiki.

Dari Januari tahun lalu hingga ke Januari ini, telah saya rasakan banyak kejutan dalam kronologi hidup. Salah satunya, lebih banyak air mata dari gelak tawa. Anehkah, atau biasa?
Bukan itu persoalan utama. 
Cukuplah dengannya, saya menjadi lebih faham bahawa signifikasi air mata tidak mutlak menggambarkan derita semata. Bahkan ia lebih dari sempadan jajahan nestapa. Pada tangisan itu terselit kekuatan, sebenarnya. Biar tangisnya bertempat. Menangis, mengemis, agar kemudiannya kita lebih tegar bermanis.
Ma shaa Allah, begini rupanya menjadi dewasa, sentiasa menemukan falsafah di sebalik kejadian manis, sadis, mahupun tragis!


En route to Ifrane


Fasa I
Dua puluh dua mengajak saya berdamai dengan banyak situasi, bermula dengan plot yang menemukan seorang saya melunaskan perjuangan di daerah tenang. Ah, rupanya ia sudahpun menjadi sesuatu untuk dikenang. Begitu pantasnya!
Betapa Makcik Najat ialah sosok yang terlalu saya terhutang budi. Dia, pada tarikh yang sama tahun lalu telah menghadiahkan sepasang anting-anting sebaik menerima khabar gembira saya lulus semester 5, juga bersempena hari jadi. Oh, hari itu juga ada Kak Hu yang menemani. Singgah semalaman pulang dari bermesyuarat sebelum meneruskan perjalanan ke Eljadida. 

Kak Hu bawakan sekotak pizza, satu kilo pisang tanda meraikan. Riangnya saya bukan kepalang. Ditunggunya kek keladi yang saya bersungguh-sungguh siapkan malamnya. 
Sebiji kek terlalu banyak untuk saya yang tinggal sendiri, memandangkan Makcik Najat tersangatlah menjaga pola pemakanannya dengan tidak mengambil manisan dalam menu makanan seharian, jadi awal-awal lagi sudah saya niatkan mahu bekalkan Kak Hu, biar disantap bersama Kak Hu yang lagi satu. Itu baru satu per empat bahagian, selebihnya lagi, dengan senang saya bahagikan kepada anak-anak jiran yang riang bermain bola di padang pasir berdebu, juga menitipkan sebahagiannya kepada Khuya Khalid pemilik hanut(kedai runcit) yang budiman. Dan, tentulah saya tidak lupa mengetuk pintu teratak 456, jiran susah senang.



Fasa II


Kalau ada rezeki jejak Maroc lagi (semoga ada! Aamiin!), antara yang saya hajatkan ialah saya masih ingat selok belok Mdinah 9adimah dari awal masuk Babl Hadd sampailah keluar ke Bab Rsif :)

Februari menjadi penanda aras terakhir saya tinggal sendiri. 
Selepas berhijrah dari Mohammedia, saya hidup nomad, tumpang menghuni di Villa Mahabbah, wilayah Sale. Di sana komunitinya ramai, meriah. Kembali belajar menyantuni banyak orang, banyak ragam dan pandangan yang harus dirai, skill memasak juga harus ditingkatkan prestasi dan kualiti untuk menjamu banyak orang dan tidak lagi hanya untuk diri sendiri. Ironinya diwartakan sahaja begitu, hakikatnya setiap Khamis saya tetap kembali ke daerah tenang, menghadiri kelas Al-Quran di Masjid Redouane. Gigih, bukan? 
Ulang-alik perjalanan kan ada renyahnya, biarlah jasad penat sekejap, tapi jiwa saya lebih tenang begitu. 


Unicorn Crown for Kakak Miza; made by Dana Sufiya, with love.
I miss you my sweety pumpkin yummy yumm :)

Mac mampir dengan pakej nikmat dan ujiannya tersendiri. Marathon - Kembara #LEuroTrip menghadiahkan banyak ibrah, juga menemukan saya dengan insan-insan yang tulus hatinya, kenangan yang terlalu berharga walau seketika cuma. Setelahnya, Majlis Graduasi MMG yang mengharukan memasuki plot. Walau sejak tahun-tahun sudah, saya tidak pernah lagi mengharapkan sebarang sambutan graduasi. Maha Suci Tuhan yang menggerakkan hati-hati sekalian orang yang gigih menjayakan. Sungguh, begitu istimewanya Jumaat, tanggal dua puluh tiga, semoga ada barakahnya juga.


Because everyone made sooo many efforts for my day, i made this simple memento for all of you as a token of appreciation from me, ordinary me. Nothing much.



Fasa 3



Favourite pic - April, Spring Break Camp :)

Bila April.
Menyertai AGM terakhir, itu satu kemestian. Penghujung April juga diisi dengan jaulah wida' yang sudah saya muatkan dalam entri khusus. Terlalu banyak yang ingin diperinci tentangnya, (untuk yang masih menantikan sambungannya, mohon maaf belum mampu tulis lengkap, mohon didoakan berkah waktu dan urusannya).
Lalu ia pun berlabuh, dan Mei tidak mampu menunggu lagi. Saya akur apabila waktu untuk saya tinggalkan Bumi Senja tiba jua akhirnya, antara hal yang terperit di usia dua puluh dua. Berdikit-dikit menjentik, menyedarkan bahawa rupa-rupanya yang meninggalkan itu sama peritnya dengan yang ditinggal. Saya tahu, sejak hari itu ada bahagian dalam diri saya yang hilang. Patutlah banyak orang tidak berani memanggil-manggil kenangan. Meninggalkan, kemudian merindukan. 

Thank you Allah for sending them to me.

Menyesal? 
Tidak.
Berharap? 
Ya.
Dan, masih.

Saya lalikan dengan PBAKL. Menjadi, tetapi tidak berpanjangan rupanya.
Keterbatasan saya adalah menjadi seorang yang meninggalkan kenangan serta merta.
Betapa saya masih saya yang sama dalam hal menangani kenangan dan sangkar perasaan. Kerumunilah berapa banyak orang sekalipun, jika diri sendiri masih menggendong sekarung memori silam, waktu yang sekarang yang terlihat hanya bayang-bayang, tidak akan berjaya dimaknakan secara maksimum. Tahu berat, masih lagi mahu diangkat, teragak-agak bertindak. Saya ralat sendirian, jeda yang agak lama; kaku diamuk kenangan dan pilihan, juga terlalu resahkan masa hadapan. Sedangkan saya tahu benar, bukti dan beraksi, itu kata lain untuk sebuah janji. Berbaki lagi urusan diri dengan Tuhan. Lepaskan, dan simpan. Benarlah, penawarnya hanyalah doa-doa yang nyaman. Begitulah diharap tulisan-tulisan ini menjadi khazanah buat diri.


Antara yang menjadi 'ubat pelali', kenangan indah lagi; menang cabutan bertuah tempat kedua Jejak Tarbiah.
Satu permulaan yang menjemput saya ke plot-plot seterusnya dalam dunia buku dan penerbitan.

Kadang-kadang, saya silap dalam memahami konsep sesuatu perkara.
Banyak pilihan yang harus dibuat setiap hari. Ada yang sudah menunggu lama. Ada yang datang menuntut secara tiba-tiba. Fasa keliru, bukan mudah untuk saya tempuh laju. Tidak seperti menggantikan santan dengan susu ke dalam masakan. Walau harus meniti dengan perlahan dan ragu-ragu, hingga ke saat ini, berpaling dan berundur ke belakang tiada disenarai sebagai pilihan. Justeru berkali-kali saya pasakkan bahawa setiap jerih perih, itu ujian. Sedangkan yang indah begitu mudahnya kita terima. Belajarlah. Redalah. Dari situ kita akan raih kekuatan.


Ramadan di Aceh.

I'm back with my Qatrunnada, joined a Raya trip.
 Blessed. Bliss. :)

Berdamai dengan suasana dan beradaptasi dengannya benar memerlukan ruang dan masa. (Ruang, bukan peluang. Apa bezanya? Hah, cari sendiri) 
Kerana menukar arah itu tidak mudah. Barangkali itu yang akan membuatkan kita lebih lelah, walhal belum tentu juga ia jalan penyudah. 
Jujur sahaja, kita memulakan sebuah pilihan dengan pembandingan, benar kan?

Kalaulah kita tidak berani mengambil keputusan untuk diri sendiri,maka bersiaplah untuk menjalani keputusan-keputusan yang dipilih orang untuk diri. Takdir harus kita jalani dengan terbaik, jangan dibiar sampai kita hilang kendali. Maka, setelah berteraburannya pilihan-pilihan yang ada, akhirnya saya didiamkan dengan keputusan sendiri.
Dan benarlah, hikmah sentiasa 'on time', terkesan dengan salah satu dialog Tabrizi dalam The Forty Rules of Love; 

"Afraid not where the road will take you. Instead concentrate on the first step. That's the hardest part and that's what you are responsible for. Once you take that step let everything do what it naturally does and the rest will follow. Do not go with the flow. Be the flow."

Malu bertanya, sesat jalan.
Malu bertanya juga, tiada kepastian.
Malu pada diri sendiri, ke mana hilangnya wawasan dan prinsip yang menjadi paksi?


Fasa 4
Antara plot yang sarat ibrah; memori menjadi seorang pendidik secara rasmi buat kali pertama, walau hanya berstatus sementara, tercorak pada kanvas dua puluh dua. Sekejap yang bermakna. 
Cabaran modenisasi dan teknologi dunia kita berhajatkan pendidik yang tulus, mendidik dengan hikmah, menanam benih akhlak mahmudah, membangun minda bersih dari zulmat kenistaan. Hal yang ingin diwujudkan ini bukan sekadar mengambil masa sehari-dua. Kalau tidak sabar, tewas. Kalau tidak ikhlas, tumpas. Belajar dan mengajar itu tidak semborono caranya, ada tertib dan etikanya. Apatah lagi Islam sudah berkurun lamanya diwartakan sebagai jalan hidup satu-satunya. Akan terlihat indahlah dari segenap arah jika setiap satunya saling terkait.
Pondasinya, keyakinan. Seorang mukmin harus punya kepercayaan.
Alhamdulillah untuk pengalamiannya.


"Cikgu Mira Filzah.." Pun boleh ya anak-anak XD



Fasa 5
Zulhijjah melabuhi tirai 1439H. 
Selayaknya Aidiladha dirai pada nilai sebuah pengorbanan agung tercatat dalam lembar sirah. Begitu pula saya renungkan, sudah banyak saya terima dan saksikan pengorbanan orang. Tapi saya? Apa yang selama ini telah saya korbankan?
Terasa berat hati memutuskan. The first step. The very first step, because the beginning is always the hardest part.

Never I imagined of being here.

Fasa mengajar diteruskan, tapi untuk yang ini; mengajar diri sendiri.

Hijrah lagi ke pinggir ibu kota, mendiami kampus balik bukit, menemukan kembali kesayangan-kesayangan yang berpetualang ke sini. Bangkit, dan beradaptasi.


Berpeluang menghadiri wacana dan berdiskusi dengan begitu dekat, bahkan secara langsung dengan figura-figura yang dikagumi dari jauh. Juga melebarkan sayap ukhuwah fiLlah dengan insan-insan hebat yang baru sahaja berpapasan di titik temu tertentu.

Alhamdulillah tsummal hamduLillah.
Barangkali kerana doa mama abah yang terus menerus menjadi ufuk pada setiap persimpangan takdir, juga doa-doa sepi yang entahkan siapa setulusnya, melantun ke arah diri ini. Mudah-mudahan segala yang baik berbalik kepada kalian kembali.


Mungkin dek banyaknya perpidahan fasa dan hijrah makaniy, dua puluh dua terasa panjang perjalanannya, banyak pengalamiannya yang bermakna.
Hari ini dua puluh dua sudah ditinggalkan, bertambah satu angka,
dua dekad lebih tiga.
Begitu dihitung usia. 
Manusia tiada kuasa menghentikannya.


Penghujung dua puluh dua. A meaningful trip with favourite people
KT - Cameron Highland - Batu Gajah

Hari ini, 
suku abad kurang dua.
Untuk setiap keberadaan dan semua rasa;
الحمدلله الذي بنعمته تتمّ الصالحات

Dimensi keyakinan harus kuat dibangunkan.
Dalam segala apa kejadian dalam hidup, asbabnya pelbagai, tapi musabbabnya hanya satu; Allah.
Begitu. Dan selamanya akan kekal begitu.

Dewasakan hati. 
Mizah masih perlu latih diri untuk sabar, dan sabar. 
Tidak semua perkara harus diperjuangkan hingga ke akhirnya. Ada yang cukup sebahagiannya sahaja, sementara sebahagian lagi barangkali menjadi perjuangan orang lain. Murnikan niat, moga lebih bijaksanalah dalam menilai.

Satu-satunya insan yang panggil adik. Thankyou Kakak :)

Gigih nak siapkan. Kalau kat kedai ada sampai RM6/piece.
Tapi tak kisahlah, janji lepas harap nak buat rainbow cake untuk birthday sendiri.

Kadang-kadang, kita rasa kita begitu perlukan sesuatu keperluan/kelebihan itu, sedangkan Allah yang lebih tahu apa benar kita perlukannya at that moment, atau lebih kita perlukannya setahun lagi? Sepuluh tahun lagi? We never know. 
Semoga apa yang Allah lebihkan dalam kehidupan kita ini sentiasa terjaga dan terpelihara, juga dibentengi dari hasad dan dengki manusia dan makhluk selainnya.
Semoga kewujudan seorang saya mendatangkan manfaat untuk insan-insan di sekeliling dan yang mengenali. Aamiin!




Di celah jemari, terhimpun kemudi.
Sesuatu yang saya teruskan
untuk akhirnya, saya tinggalkan.
TGG, MYS.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Transparent Teal Star