Google | Youtube | Al-Ahkam | IslamGRID | Islamic Research Foundation | Palestinkini | Dunia Muslim | Ilmu Sunnah |

Oct 21, 2018

Mengemis di Langit, Bermanis di Bumi

BismiLlah.


Oktober sudah menjengah angka 20. Bulan di langit semalam hampir separuh menginjak pertengahan Safar. Sepurnama-dua semenjak menyelak lembaran tahun baru hijrah ini terlalu banyak khabar kematian yang berlegar-legar - Anak kepada senior, baru 3 hari lahir ke dunia sudah dipanggil pulang bertemu Pencipta, anak syurga - Abang kepada classmate sekolah rendah - Kawan kepada kawan sebaya - 6 anggota bomba wira negara - Figura-figura tanah air yang masyhur sekali nama-nama mereka sejak zaman persekolahan - Juga, Tan Sri Hasan Azahari, tokoh yang terlalu banyak sumbangan dalam bidang Al-Quran pada negara - Paling mutakhir, korban keretapi ONCF yang tergelincir di road Rabat-Kenitra, memang tidak kenal, tapi jiwa terasa dekat pula mungkin kerana berpetualang menggunakan perkhidmatan ONCF sudah menjadi rutin diri sepanjang di Morocco dulu - Lagi insiden meragut nyawa apabila berlakunya kes langgar lari di Cyberjaya.
Lahum Al-Fatihah.
Semoga ditempatkan mereka bersama golongan orang-orang yang beriman.

"أَعْمَارُ أُمَّتِي مَا بَيْنَ السِّتِّينَ إِلَى السَّبْعِينَ..."
"Umur-umur umatku antara 60 - 70 (tahun).."

Nampak macam jauh lagi, tapi hakikatnya tidak.

إِنَّهُمْ يَرَوْنَهُ بَعِيدًا (6) وَنَرَاهُ قَرِيبًا (7)
Dari fasa belajar - bekerja - berkeluarga -bersara (?) 
Bukanlah semua dari kita akan mengikut kronologi kehidupan ini secara tepat. Ada yang berkeluarga sebelum bekerja, ada yang bekerja kemudian belajar semula. Rezeki masing-masing terlalu istimewa dan rahsia untuk dibanding bezakan.

Dan ajal di mana?
Boleh jadi di mana-mana fasa, di setiap sela satunya.
Entahkan berjodoh dengan tanah dahulu sebelum bertemu jodoh dengan manusia, siapa tahu penamat kita?

Berkasut atau berselipar, belajar dalam negeri atau luar negara, kerja kerajaan mahupun swasta, berstatus bujang atau berkahwin, betul lah, apa nak hairan, kita sama sahaja di sisi Tuhan, yang membezakan hanya amalan.



'Manis' sebelum pahitnya, [Granada - 15012017]


"خير الناس من طال عمره وحسُن أمله...." 
“Sebaik-baik manusia adalah yang panjang umurnya dan baik amalannya..." [HR Ahmad, Tirmidzi]
Orang yang banyak kebaikannya, setiap kali dipanjangkan umurnya maka akan banyak pahalanya dan dilipatgandakan darjatnya. Maka bertambahnya umur akan bertambah pula pahala dan amalannya
Semoga Allah berkati usia ini. 


Kesibukan meralitkan kita dari lompong-lompong fikiran yang menerawang. Cuma, apa yang dibimbangkan apabila dibelenggu kesibukan-kesibukan dunia, akan membuatkan kita semakin jauh dari memikirkan akhirat. Tidak terasa ajal mengintai, bahkan semakin hari semakin dekat pula.
Andai semakin lama dipinjamkan dunia dan kehidupan membuatkan semakin lemas dengan dosa, terasa takut benar untuk terus lama di sini melangkah ke fasa-fasa hidup seterusnya. Akan lebih baikkah diri nanti sebagai hamba-Nya?

" اللهم لا تجعل الدنيا أكبر همِّنا "

"... jadi, maksudmu ingin segera 'pulang'?"
Bagaimana mampu aku hajatkan untuk segera bertemu-Nya sedang amalan masih lompong, cacat cela merata berteraburan.
Kenalkah baginda Rasulullah saw padaku nanti sebagai umat baginda? 
Dikatakan ahlul quran itu mampu menarik 10 ahli keluarganya untuk ke syurga, sedang belum tentu aku benar-benar tergolong salah seorang dari ahlul quran itu.


" اللهم اجعل القران حجة لنا لا علينا "

Cerita tentang Abu Hurairah dan ArRajal mengetuk jiwa.

Ada suatu ketika, Abu Hurairah duduk bersama Nabi SAW, turut serta ArRajal dan sekelompok orang dalam satu majlis, ketika itu Nabi SAW bersabda di antara mereka ada yang gigi gerahamnya di neraka, yang saiznya lebih besar jika dibanding dengan Bukit Uhud.
Kemudian, seorang demi seorang yang pernah berada dalam majlis itu dikhabarkan telah meninggal, tinggal lah Abu Hurairah dan ArRajal. Terlalu khuatir Abu Hurairah memikirkan sabda Nabi tersebut, bimbang andai dialah orang yang dimaksudkan Nabi SAW.
Hingga akhirnya, ArRajal munafiq menyertai Musailamah Al-Kazzab, bahkan fitnah ArRajal itu lebih besar dari Musailamah sendiri.
Betapa lega Abu Hurairah, tahulah dia bahawasanya yang dimaksudkan baginda SAW ialah ArRajal.

Bagaimana pula perasaan kita apabila dikhabarkan tentang potongan hadis yang ini?


 إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَيَدْخُلُهَا

".....Sesungguhnya ada salah seorang dari kalian beramal dengan amalan ahli surga sehingga jarak antara dirinya dengan surga hanya tinggal satu hasta, tapi catatan (takdir) mendahuluinya lalu ia beramal dengan amalan ahli neraka lantas ia memasukinya,
Dan sesungguhnya ada salah seorang dari kalian beramal dengan amalan ahli neraka sehingga jarak antara diri-nya dengan neraka hanya tinggal satu hasta, tapi catatan (takdir) mendahuluinya lalu ia beramal dengan amalan ahli surga lantas ia memasukinya." --HR Bukhari & Muslim: Muttafaq 3layh



Kalau perlu menangis, menangislah.
Antara menangis kerana kesedihan, kekecewaan, kegelisahan memikirkan dunia semata itu ada bezanya dengan menangis kerena kegelisahan memikirkan alam sana. Lebih tepat lagi, fikiran yang menghubungkan tindak tanduk di dunia dengan kehidupan yang abadi selepasnya. Yang kedua itu akan lebih melapangkan, bukan menyesakkan dada, bahkan tidak akan bengkak mata.
Usainya indah dirasa. Cubalah, ia nikmat yang tak semua orang mampu rasakan. Hanya orang yang benar-benar 'mencari' akan menemukan.
Mendekat dan mengemis pada Allah dengan istighfar. Apa sahaja yang terbuku di hati, luahkan dalam rintih doa, Allah Maha Mendengar. Jadikan Allah tempat luahan utama. Bukan cuma di saat sendu, bahkan tatkala bahagia juga harus begitu.


"...tapi bahkan kau menulis? Kau meluahkannya dengan tulisan!"

Benar, aku menulis.
Antara sekian banyak hal, ada yang aku senang menuliskannya. Menulisnya membuat aku lega, justeru aku menulis sesuatu tidak lain hanya buatku sendiri, untuk aku yang silam, aku yang sekarang, juga aku pada masa hadapan. Kadang, aku menulis hal-hal yang tidak mampu aku ceritakan, menulis perasaan orang juga iya, ada kalanya cuba berlindung di sebalik watak-watak yang dicipta. Dan ada tulisan-tulisan yang aku tukangi bertitik tolak dari sekecil-kecil kejadian; seperti menulis entri 'Tetamu' rentetan aku telah lulus semester akhir dengan baik, terutama tesis yang bagiku ia satu keajaiban. Atau menukang entri 'Dingin' disebabkan seseorang yang aku ditugaskan satu unit dengannya untuk sebuah program  berdiam diri tidak mengendahkan skop kerja. Atau menulis 'Hilang' selepas kali ketiga kehilangan barang dalam tempoh sebulan. Atau, ah cukuplah sekadar itu.
Tentulah interpretasinya mungkin berbeza dari sudut si pembaca. Tapi untuk menghukumi yang membaca, itu bukan tugas aku selayaknya. Barangkali ia berpunca dari khilafku juga dalam menyusun aksara.


"...tulis biasa-biasa saja, tulis macam robot, tanpa unsur perasaan, mudah kan begitu? Biar tiada yang tersalah sangka, dan terluka.."

Ah ha, untuk artikel dan berita, ya begitu yang seharusnya. Tapi untuk puisi dan penceritaan, khabarkanlah padaku bagaimana bisa? 
Dan kebanyakan waktu, blogger cenderung menulis dengan perasaan. Mungkin di situlah lemahnya yang menulis ini.



Ku kuburkan pahitnya di pertembungan dua benua.
Manis ini yang lebih ingin ku kenang selamanya. [Martil - 18012017]


'Mata pasak ke bumi, hati biar ke langit'.
Menukil yang ini sebagai rumusan kalam seseorang.
Antara cita-cita terbesar seorang mukmin itu adalah untuk menggapai redha Allah, dipeluk dalam rahmatnya, dinaungi maghfirah-Nya.
Semoga dikenal oleh habeebuna Rasulullah sebagai umat yang mengikuti baginda, dikasih penduduk langit, disayang penduduk bumi.


"Mengemis di langit, bermanis di bumi".
Demikianlah yang dinukil Ustaz Salim A. Fillah dalam salah satu rakaman video beliau dengan sangat tertib penuh seninya. Bahagian pertama dalam frasa; 'mengemis di langit' sudah ku punggah, dan untuk yang keduanya, tidak terjangkau di minda sampai begitu sekali yang dimaksudkan. Bermanislah di bumi kerana kesemua masalah dan keluh kesah sudah kita luahkan pada-Nya. Bermanislah, memberi dengan tatacara paling indah.

Hidup bercurahkan kasih manusia ini indah sekali rasanya, kerana fitrah manusia itu sendiri ingin dikasih, disayang. Bukti kasih Allah yang melimpah buat hamba-hamba-Nya.
Tidak mampu kita bandingkan kasih manusia dan kasihnya Allah Tuhan Yang Maha Mencipta. Menagih kasih manusia, tapi akhirnya nanti kita kan sendirian juga di sana.
Cuma persoalannya, sendirian yang bagaimana?
Barangkali dengan berkasih sesama manusia ini menjadikan lebih kuat hubungan kita dengan-Nya. Mudah-mudahan begitulah.



لو كان حبَّك صادقا لأطَعتَهُ         إن المحِبَّ لمن يحبُّ مطيع
Jika kecintaanmu benar/tulus, kau akan taat padanya(yang dicinta).
Sesungguhnya sang pencinta itu menjadi seorang yang taat pada yang dicinta.

حب الله = فقد أطاع الله
حبّ المخلوق < حبّ الله = أطاع الله > إطاعة المخلوق
  

Baru semalam cuba menghadam ulasan tadabbur Ustaz Syaari yang ini, berdasarkan ayat 25 surah Al-Waqi'ah;




"Manusia yang suka bercakap atau melakukan perbuatan yang tiada faedah, sebenarnya mereka sedang membunuh nikmat masa yang dianugerahkan Allah. Di Syurga, setiap saat sangat berharga. Setiap detik ada sahaja yang mengejutkan dan menyeronokkan. Untuk menikmati setiap minit di Syurga, “lagha” dimatikan semati-matinya. Maka belajarlah meninggalkan lagha di dunia agar kita sampai ke dunia yang lagha dimatikan sepenuhnya."

Kadang rasa tersangat memerlukan seseorang untuk menampar diri berkali-kali, biar lekas sedar dari khayal dan mimpi. Mujahadah sendirian ini getir juga. Hisab sahaja diri sendiri, tewas dalam hal ini sudah tidak terhitung, berkali-kali, lagi dan lagi. Bukankah seharusnya mukmin itu tidak jatuh ke lubang yang sama untuk kedua kali?

Kadang-kadang yang lain, aku minta pada Allah supaya dibukakan jalan agar aku juga tergolong dalam golongan manusia yang sentiasa 'bermanis di bumi', didekatkan aku dengan insan-insan yang berkecenderungan menjadi lubuk saham pahala agar dengan itu aku mampu menjadi sosok 'yadul 'ulya' lebih dari 'yadus sufla'. Memberi bukan sekadar dari aspek material dan fizikal, bahkan merangkumi keperluan insaniah; lahiriah dan batiniahnya selari, sepertimana yang aku perlukan dari insan-insan di sekeliling.

Kadang-kadang yang lain pula, aku juga minta pada Allah agar jauhkan aku dari berkomunikasi, berurusan dengan insan-insan yang (mungkin) tidak mampu aku santuni dengan luhur, tambah lagi ketikamana aku buntu untuk bertoleransi dengan makhluk-Nya yang licik; waktu. Biarlah menghindar, kerana aku bukanlah seorang manusia yang handal merawat. Padaku lebih baik begitu, gusar aku akan konsekuensinya, bimbang tadbir insani tidak mampu aku kawal selia.

Kadang-kadang demi kadang-kadang, terlalu banyak lagi yang diminta, diulang-ulang. Sudah fitrahnya manusia, hanya mampu meminta apa yang baik menurut diri semata, tiada pernah tahu hikmah yang terselindung di sebaliknya.


"التدريج مهم في الحياة..." - الدكتور عدلي (18102018)
Usahakan sesuatu, ada peringkat-peringkatnya yang tertentu. Dalam semua perkara ada 'ansur-ansur'nya. Tidak harus mendadak meningkat, nikmati turun-naiknya dengan harmoni, asalkan tidak dibiar menjunam dan tenggelam.

Sedar tidak sedar, sudah separuh semester pertama aku tempuh, cepat benar tidak terkejarkan, terasa baru sahaja bermula. Namun larianku tidak sepantas masa, ada waktu aku tercungap-cungap, menoleh kiri dan kanan mencari teman yang ingin sejalan. Dan untuk kali ini aku ingatkan diri, bahawa aku tidak berlumba dengan sesiapa, aku cuma berhajat sampai ke garisan penamatnya dengan selamat dan tenang, dengan ibrah dan pemerhatian, dengan berkah dan sebaik-baik amalan.

 "اللهم اختم لنا بحُسنِ الخاتِمَة واختِم لنا بالباقِيَاتِ الصَّالِحَات"


Sesiapa pun anda,
terima kasih atas kesabaran membaca dan berbaik sangka, moga Allah izin doa-doa kita terus basah mengiringi kehidupan selagi masih dipinjamkan nyawa.





Benar-benar satu kelaianan berada di sebalik perbukitan.
Kali pertama dengan pantai, aku berjauhan.
-dan yang sepatutnya buat kerja lain, pergi tulis benda lain -_-

Dialog-dialog hujung minggu sebelum cuti 'mid-sem'.
Oktober kali ini tanpa hujan lebat peralihan musim,
tanpa sweater, mazafil dan atai na3na3.
21102018
Gombak, MYS

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Transparent Teal Star