Oct 31, 2020
Rumah Tangga Syurgawi (Lirik)
Jul 19, 2020
Secarik Catatan Lama
gersang dipancar terik suria berbahang
sepi sendiri tak terisi, kosong
akibat terlalu mendamba
kesempurnaan.
Apalah lagi yang dikejar dalam kehidupan?
Andai diri masih dibelenggu kejahilan
hidup dalam bayangan kegelapan,
kaku terperosok bungkam
Sekali-kali tidak akan mampir ketenangan
andai enggan melakukan pengislahan
Tuhan merahsiakan
ketentuan hidup insan
untuk menguji setiap dari kita
mana yang lalai
dan mana yang taat
Secarik Catatan Lama yang ditemukan di celah buku latihan.
Jun 28, 2020
Hari Ini dan Semalam
May 9, 2020
Setengah Ramadan
Kelmarin bulan penuh, awan meminggir tak kelihatan, memberi ruang buat sang bulan memperlihatkan seri cahayanya, terang.
Semalam bulan pula tak kelihatan, diganti awan memenuhi langit malam luas terbentang. Ketersalingan yang seimbang.
Pagi ini, seusai subuh lagi aku sudah membuka sayap jendela seluasnya, nyaman udara menjenguk ke dalam, menyegarkan sekali. Burung-burung riuh bercicip saling bersahutan dari pepohonan di belakang rumah, merdu sungguh zikirnya menyapa pendengaran. Langit beransur-ansur cerah, matahari bakal mengintai dari timur sedikit masa lagi.
Bulan; isyak 14 Ramadan 1441H |
Bulan; sebelum subuh 15 Ramadan 1441H |
Dalam dimensi kembali mencari diri ini, aku temukan banyak hal baru juga hal-hal yang tidak pernah benar-benar aku beri tumpuan sebelumnya.
Tempoh hari aku menggunakan meja belajar si adinda bongsu untuk bekerja, di situ aku temukan sekeping kertas yang dikoyak, dan ditulisnya dengan pensel, dijadikan memo barangkali. Doa apa?
Cuma doa untuk hal sepele yang teramat kecil dan biasa bagi orang-orang yang sekilas terbaca. Mungkin tak terlintas di fikiran dek kita si dewasa untuk mendoakan perkara sekecil itu pada waktu mustajab doa. Mungkin.
Tapi bagiku, doanya tulus.
Nantilah aku ceritakan lagi jika kuat kemahuan.
Kemudian disapa seorang kakanda yang sudah agak lama tidak berjumpa, datang bertanya khabar dalam usaha mentafsir keadaan diri. Aku sambut baik, membenarkan segala telahan. Dia terkedu, lantas menenangkan dan mendoakan. Dikirimnya sebuah cerpen dan kata-kata 'tawar' (begitu katanya) yang sudah cukup memenuhi kebutuhanku kala itu.
Terima kasih, kanda. Malam itu, aku nyaman.
Kemudian lagi, aku dihubungi seorang sahabat yang runsingkan ahwalku bagaimana (maafkan aku yang tidak memanjangkan perkara dan mendiamkan diri beberapa ketika tanpa khabar berita). Aku semakin baik, biizniLlah, sedang belajar melepas pergi semua dengan seratus peratus penerimaan, total. Allah pastikan bantu hamba-Nya yang berusaha dan melabuhkan harap pada-Nya. Mudah-mudahan dibimbing diri untuk membina harapan yang baru, semula. Iya, jangan khuatir lagi. Aku tidak akan mensia-siakan Ramadan ini yang tidak ternilai harganya, entahkan ini yang terakhir buatku, tak siapa tahu, hanya Allah Penentu.
Pada hujung fasa isolasi ini juga, aku berasa dekat dengan seorang kenalan. Sudah agak lama kenal namanya, sering mengintai melalui posting dan status media sosial, tapi sejujurnya belum pernah bertemu mata, hanya menyapa di media. Dia yang manis dan baik budi, tak lokek memberi khabar, saling berpesan. Hati mana yang tak jatuh sayang?
Memadai rupanya begitu, asalkan didasari kerana-Nya segala.
Semoga Dia rezekikan sebuah pertemuan pada waktu terbaik.
Isnin lepas pula, telah selamat seorang kakanda kami yang dikasihi diijabkabulkan dengan kunci pintu syurganya, alhamduliLlah, barakaLlahu lahouma :)
Kakanda yang ini, sungguh cekal dalam penantian dan pencariannya, juga seorang yang berani dan siap menghadapi risiko untuk setiap pilihan yang ditegaskan. Ada sekilas persamaan pada karakter kami, ah ha baru perasan rupanya baru-baru ini. Patutlah ada antara konflik hidupku yang dia lebih memahami apa sebenarnya yang dibimbangkan hati, menjadikan nasihatnya lebih berbekas berbanding yang lain tatkala itu.
Sudah dua kali Ramadan sejak penantian dan pencariannya (seperti yang dikongsikannya padaku). Dan Ramadan kali ini kisahnya berakhir indah, walau sebulan ditangguhkan dari tarikh perancangan nikah mereka yang sebenar, alhamduliLlah Dia izinkan. Benar-benar pesan yang dititip buatku tempoh hari menjadi kenyataan untuk dirinya sendiri. Selamat berbahagia, Ciqqi!
Ramadan bulan penuh kemuliaan, bulan al-Quran, bulan perjuangan dan pelbagai keutamaan yang sering disebut dan diingatkan kepada kita menjelang ketibaannya.
Ramadan juga, bagi seorang hamba yang hati dan mindanya sentiasa dipenuhi persoalan dan pilihan silih berganti yang berselirat ini..;
... ialah bulan membuat keputusan-keputusan besar dalam kehidupan.Demikianlah yang menjadi peganganku beberapa tahun ke belakang ini.
Namun, untuk Ramadan yang ini selepas beberapa kejadian dan pertimbangan, aku memperincikannya semula;
Ramadan ialah bulan membuat keputusan-keputusan besar dalam kehidupan, kerana al-Quran.
Masih memperjuangkannya. |
Setengah Ramadan ini segalanya menenangkan, ma shaa Allah, alhamduLillah, biizniLlah.
Langit, burung, bulan, pepohon dan dedaunan, pembacaan dan tulisan, kelas-kelas online, kebersamaan dan kesendirian, jua hati kalian.
Terima kasih. :)
Ini cerita setengah Ramadan aku.
Kamu, bagaimana?
Semoga dilimpah kurnia-Nya yang sama,
bahkan lebih lagi hendaknya.
May 2, 2020
Hari Pulang
Rindu bersepai di halaman rumah sebelum sempat kaki menapak
ke ruang tamu penuh nostalgia itu.
Sekurang-kurangnya, dia sudah berikhtiar untuk berpamit daripada insan-insan yang membersamai awal fasa perjuangan di kampus balik bukit, taman ilmu dan budi yang sudah menjadi subjek rindu.
Semester akhir itu banyak sekali pengajaran yang belum pernah dia temukan di mana-mana. Entahkan yang terpantul dari pengalamiannya sendiri, juga yang diserap rentetan perasaan-perasaan yang terluah padanya oleh insan-insan yang meletakkan sepenuh percaya. Kadang dia khuatir memikirkan, apalah yang diharap dari dirinya yang terumbang ambing di lautan ujiannya sendiri. Hendak berenang melawan arus tidaklah dia handal, hanya berpaut pada pelampung dan tunggul-tunggul kayu berceracakan, melawan arus menjinak ombak.
Banyak orang memberi kepercayaan, justeru banyaklah kisah yang dia dengarkan,
sungguh dengan hati penuh dia terlebih sudi, diam mendengarkan dengan saksama, sedangkan air matanya sendiri telah tergenang pula.
Barangkali begini cara Allah meminjamkan kekuatan; dengan menjadi medium penguat kepada orang lain. Untuk itu tentulah dirinya yang harus terlihat kuat dahulu.
'Dari gesekan dan kesulitanlah, sebuah peribadi akan terbentuk matang.'
Dia ialah manusia yang masih percaya pada kudus doa dan rahmat Tuhan, mungkin sahaja bahasa takdir yang sedang ditempuhnya ini masih belum mampu difahamkan. Apalah daya seorang hamba yang lemah, manusia yang penuh keluh kesah.
"Apa yang mustahil berlaku hanyalah apa yang Allah tidak tetapkan takdirnya ia berlaku untukmu, bukan apa yang engkau tidak mampu lakukan."
Ini bukan pertama kali mengalami kejatuhan,
berasa tidak mampu bertahan.
Tetapi, nah, lihatlah. Bukankah sudah banyak fasa-fasa rapuh nan goyah yang berjaya dilepasi dengan izin-Nya sehingga tiba ke percaturan detik ini?
Bahkan ada yang bertanya, bagaimana dia tempuh semua?
Malah dia sendiri tidak tahu harus memberi jawab apa, tahu-tahunya sudah dilepasi.
Hari sebelum hari pulang, perbualan yang kemas dirakam dalam kotak fikiran;
"Akak rasa ini karma ke? Saya bimbang kalau-kalau yang jadi ni sebab silap saya."
"AstaghfiruLlah, jangan fikir macam tu, dik.
Setiap kali terdetik rasa nak salahkan diri sendiri, baca doa Nabi Adam AS banyak kali sampai tenang balik, cuba buat gitu. Kuatkan hati.
Rasulullah tak pernah buat sakit hati orang pun, tapi macam-macam orang buat pada baginda. Ya, kita tentulah tak sama macam Nabi, kita buat silap, tapi kita sedar mana silap kita dan cuba nak perbetulkan keadaan kan?
Ini ujian awak, dik. Akak tak tahu apa yang awak rasa tapi akak tahu memang perit. Ada sebab Allah uji kita. Sekurang-kurangnya kita rasa lebih nak dekat dengan Allah kan?"
Pesan-pesan yang sungguh berharga.
Akan dia kenang selama, yang dizinkan-Nya.
Kalau nak dibahas tentang mengeluhkan silap dan 'ungkit-mengungkit', tentulah manusia yang paling layak mengungkit itu Nabi Yusuf AS; dibuang saudara dipisahkan dari ayahanda, difitnah dipenjara sedang di mana silap baginda?
Juga Nabi Ayyub AS hampir hilang seluruhnya saat Allah menguji, tapi baginda memanjat syukur terus tanpa henti.
Inna Lillah. Jauh yang amat dengan peribadi sendiri.
Terima kasih kakak-kakak saya. :') |
Banyak sekali yang dia tinggalkan di sana, tinggalkan kenangan.
Ada hutang yang belum langsai rupanya, hutang budi. :')
Teruntuk Kak Hanum,
terima kasih atas kelapangan masa dan kemurahan hati. Mudah-mudahan Allah lapangkan segala urusan dan berkahi rezeki.
Buat Kak Syifa,
semoga setiap yang diimpikan itu dibukakan jalan-jalan pula untuk merealisasikannya. Terima kasih atas baik budi akak pada saya.
Kak Hidayah yang cekal hatinya,
semoga sabar dan rahmat-Nya sentiasa memeluk jiwa akak yang tegar menghadapi semua.
Kak Jihad
akak mengajar saya banyak benda walau kita kenal tak lama,
moga najah kbeer mengiringi liku-liku pengajian ini.
dan kepada Kak Halimah jiran depan,
akan sentiasa saya kenang si burung sepasang itu. Semoga yang baik-baik untuk akak, sentiasa.
Yang pergi, dilepaskan.
Yang kekal, diperjuangkan.
Yang datang, dimaknakan.
Semoga.
Hari ini hari pulang
dikawani doa dan harapan
riuh sepanjang jalan.
Semoga yang satunya nanti datang;
namanya keajaiban
untuk melerai segala
kusut persoalan hari ini
yang bergayutan.
Apr 12, 2020
Kontradiksi Mac
Meninggalkan dan ditinggalkan.
Pernah suatu hari diungkapkan pada seseorang yang padanya dibangunkan harapan dan kepercayaan, bahawa yang ditinggalkan itu terlebih perit, tapi menjadi yang meninggalkan itu tetap terasa sakit.
Iya, kisah ini kisah yang tidak dimulakannya dengan 'rasa',
tetapi dengan seteguh yakin dan sekebun percaya,
selebihnya murni tunas tawakkal bercambah dari-Nya
bersayapkan gerun dan harap,
moga rahmat-Nya memayungi di permulaan hingga ke akhirnya.
Rumit hendak menjaga hak manusia dengan hak Tuhan.
Bimbangkan ada garisan yang dilampaui,
malah rupa-rupanya terjerat dengan tali rasa sendiri.
14/1
Rentetan Oktoberant yang berterusan hingga ke penghujung semester.
Melawan ketidakpastian yang menghakis sedikit demi sedikit segunung kepercayaan yang didaki sejak beberapa lamanya, bersama-sama.
Malam itu; malam kenangan, mata bergenang.
Antara terus berjuang mempertahan atau melepaskan,
entahkan yang mana nanti akan dimenangkan.
Pilihannya ialah membiarkan yang di sana memutuskan, fikirnya begitu lebih baik.
Yang pasti, yang mendoakannya bukan cuma dia.
PadaNya diserahkan seluruh ahwal
dengan segenap lapis jiwa.
7/3, dan seterusnya
Seusai itu Senja jadi sendu
Yang turut berasakan perubahan diri, datang bertanyakan;
apa sebenarnya yang terjadi?
Bagaimana dilewati semua ini?
Tak terjawab, masih.
Senyum; itu yang dipamer buat tatapan orang.
Senyum yang sama dulunya menahan debar teruja kegembiraan,
senyum yang sama kini menahan ketar perit sebuah kekecewaan.
Mungkin zahirnya dalam paksa atau rela, kita perlu senyum.
Harus terlihat kuat untuk menguatkan, kerana tanpa sedar, insan di sekeliling kita juga senyum walau ada perit dalam jiwa, untuk menggagahkan kita.
Yang membersamai dari awal kisah ini, yang mendoakan sejahtera kisah ini,
terkedu tak menjangkakan;
ceritakanlah bagaimana akhirnya jadi begini?
Tak tercerita. Sungguh.
Cuma ingin berterima kasih yang paling dalam, paling terang,
dan memohon setulus kemaafan teruntuk semua atas sebaris perkataan
dan diam yang panjang,
sekadar itu yang mampu diberikan
sebagai imbalan jawapan.
kemudian
lagi
Hakikat
diri tidaklah gagah mana.
Sudah
berhari-hari. Hari ini sudah menghampiri tempoh 'pantang',
tetapi masih juga
tak dapat melupakan,
belum benar-benar
mampu membiasakannya.
Melepaskan.
Mengikhlaskan. Bukanlah hal yang senang dilakukan semudah menuliskan.
Kebiasaan
baru ini terasa betapa menyesakkan, apabila terpaksa mengusir kenangan-kenangan
terbaik yang pernah ada, serta ingatan-ingatan yang dulunya sentiasa bergayutan
di minda, dan kini sudah tidak seharusnya menari-nari lagi di tubir mata.
yang di
dalam bergelut sendu jiwa luluh
harapan
ranap runtuh, hiba merusuh.
Ah, cengeng
rupanya!
Kelemahan
diri di titik ini barangkali lantaran dia seorang manusia yang mengenang setiap
inci kenangan, yang menyimpan kemas setiap details kejadian, yang memeluk erat
segala ingatan yang berjuntaian pada ranting fikiran.
Yang
meninggalkan, dan akan meninggalkan kita itu sentiasa ada,
di fasa
hidup manapun. Yang tetap tinggal pun pasti ada
"Bila kita dah mampu senyum pada kisah perit yang kita lalui,
itu tandanya kematangan," kata orang begitu.
Walau masih ada butiran air mata tersisa.
Jiwa.
Begitupun berantakan,
moga tidak akan henti diri dari melakukan pembersihan padanya.
Rasa itu ada, sakit itu ada, tentulah.
Tetapi ‘moving on’ bukan soal menghilangkan perasaan.
mustahil dilalui dengan mudah.
Bersedih, tetapi tetap bergerak, itu move on.
Sederhanakan kesedihan, berdamailah dengannya.
Beri kemaafan pada diri sendiri, berikan masa.
tepatnya masa amat berharga sekali untuk 'move on'.
Bukankah sepatutnya tidak menjadi terlalu sukar untuk melepaskan
apa yang bukan milik kita?
Yang cuma pinjaman, amanah sementara Dia hadirkan buat mengisi hidup.
Sabar kerana taat, sabar dengan taqwa.
Sabar dalam bersabar, kerana utamakan apa yang Nabi SAW suka,
yang mengharap redha Allah SWT semata.
Hanya satu harap dia, moga hari ini dan seterusnya dia masih gagah untuk menggagah, masih kuat untuk menguatkan, masih bertahan walau apa pun yang datang
kerana dia punya Tuhan.
Allah SWT merancang dengan penuh cinta,
mana mungkin berbekas kecewa?
Allah SWT tidak pernah zalim terhadap hamba-Nya.
Pada akhirnya benarlah,
setiap 'tawakkal' itu pasti akan teruji.
Asbabnya pelbagai, musabbabnya hanya Allah.
Allah jualah yang mentadbir, mengatur rezeki ke atas setiap ciptaannya. Sedang musim panas Dia turunkan salji dan menghantar angin dingin, apatah lagi dengan segala ahwal kecil kita ini.
Dan pada akhirnya,
masih ada Allah Al-Wakeel yang menerima kekurangan
dan kelemahan setiap hamba-Nya. Baik sangka pada Dia, dan semua akan baik-baik saja.
Walau pada zahir mata manusia, seburuk perkara.
NastaghfiruLlah. HasbunaLlah wa ni3mal wakeel. :')
So after all this time?
Mac 2019 - Mac 2020;
Apr 6, 2020
Migrasi Rasa (rentetan Puisi 'Gua')
padaku sudah memadai.