Mar 8, 2019

Cerita Perempuan-Perempuan Matang

بسم الله الرحمان الرحيم

Sering kita perihalkan kematangan. Dibicarakan ketika mendefinisi seseorang, atau menilai fikrah dan hujah dalam penulisan dan percakapan. Adapun demikian halnya, setiap dari kita memiliki piawaian yang berbeza dalam menilai kematangan.

Kematangan ialah aset penting dalam kehidupan.
Ia tidak diukur dengan umur, atau peringkat pengajian, pangkat mahupun fizikal. Harus kita fahami konsep matang ini dengan jelas, supaya kita tidak menzalimi mereka yang memang matang pada hakikatnya, dan supaya kita mampu membina lebih ramai manusia yang matang dalam erti kata yang sebenar.


"Matang adalah apabila seseorang itu mampu mengenali Allah, mengetahui matlamat kehidupannya, dan tanggungjawab keberadaannya di dunia ini. Seterusnya, dia bergerak bersungguh-sungguh ke arah memenuhi tuntutan kehidupannya sebagai hamba Allah, dan pentadbir muka bumi ini." (Hilal Asyraf)


Begitukah definisi matang? Apa keterikatannya?

Untuk mampu mencapai kematangan tersebut, seseorang itu harus memiliki disiplin yang tinggi, akhlak terpuji, punya ketegasan prinsip diri, ada pertimbangan pula antara banyak cabang dan sisi. Semua ini berteraskan definisi tadi.

'Development of thinking.'
Matang ialah abstrak dalaman yang berakar di fikiran, menjalar ke seluruh tindak tanduknya.

Begitulah secara teorinya. Matang atau kurang matang seseorang kebiasaannya lebih disedari oleh insan-insan yang berada di sekelilingnya, dalam lingkungannya menjalani hidup. Malah membahas seputar teori begini akan lebih mendorong kita untuk mengaitkan ia dengan peristiwa-peristiwa yang bersangkut paut dengan diri kita masing-masing, berlegar-legar di mandala kehidupan.





Cerita 1: Firasat Benar & 'Iffahnya Si Perempuan Madyan [Al-Qasas]
Kata guru kami, jika sudah diperihalkan Allah tentang seorang insan itu dalam Al-Quran, kesimpulannya hanya dua; sama ada individu itu seseorang yang hebat, yang beriman yang harus diberi perhatian, atau seseorang yang sangat zalim, buruk perilakunya, yang harus kita jadikan benteng, dibina sempadan.

Dalam surah Al-Qasas, bermula ayat 15-22. Rentetan peristiwa Nabi Musa AS melarikan diri ke Madyan, terjadilah peristiwa yang sewajarnya menjadi rujukan dalam asas pergaulan lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

Nabi Musa AS membantu dua orang perempuan mengambil air untuk memberi minum ternakan mereka. Jika ditadabbur uslub yang digunakan berserta tafsir para mufassir, 

 "تمشي على استِحياء ---- القوي الأمين"[Al-Qasas, 25]

Frasa "berjalan dalam keadaan malu" ini apabila diperhalusi, menunjukkan nilai iman yang tinggi pada si perempuan Madyan. Malu adalah kosmetik yang tinggi harganya bagi perempuan yang beriman. Perasaan malu itulah perisai dalam perhubungan lelaki dan perempuan. Menariknya, kisah ini mengajar keseimbangan malu, dan dalam masa yang sama masih mampu berkomunikasi dan saling membantu antara berlainan jantina. Kata orang kita, "malu biar bertempat."

Bukan sekadar itu, bahkan cerita ini disusuli pula dengan analisis bijaksana perempuan ini terhadap peribadi Nabi Musa AS.

Kuat (mampu melaksanakan tugas/memikul tanggungjawab) dan amanah; dua kunci utama dalam pemilihan pemimpin, atau pekerja.
Padahal pertemuannya dengan Nabi Musa sangatlah singkat, malah tidak ada perkenalan mahupun perbualan panjang antara mereka.


Dalam tafsir  menjelaskan bahawa perempuan itu berkata,  
“beliau (seorang diri) mengangkat (batu penutup perigi Madyan) yang tak mampu diangkat melainkan dengan kekuatan 10 lelaki. Tambahan pula apabila aku berjalan di hadapannya (ketika menjemputnya ke rumah kita), beliau berkata: Saudari berjalanlah di belakangku. Apabila aku menyimpang dari jalan ke rumahmu, lontarkan batu kepadaku supaya aku tahu mana jalannya" (Tafsir Ibn Kathir).



Hebat sekali mata hati perempuan ini, pandangannya bukan pandangan kosong tetapi pandangan bijaksana menganalisis kewibawaan Musa. Benar sekali pujian Abdullah bin Mas’ud kepada beliau (Tafsir al-Tabari):

:أفرس الناس ثلاثة

العزيز حين تفرّس في يوسف فقال لامرأته:(أكرمي مثواه عسى أن ينفعنا أو نتخذه ولدًا)، وأبو بكر حين تفرَّس في عمر، والتي قالت:( يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الأَمين).ا
Ertinya: Manusia yang benar firasatnya ada tiga iaitu;
1. Al-Aziz (pemimpin Mesir); firasatnya tentang kualiti Yusuf dan meminta isterinya memuliakan keadaan Yusuf. [Surah Yusuf, 21]
2. Abu Bakar RA apabila beliau melihat Umar selayaknya menjadi khalifah selepasnya,
3. Perempuan dalam kisah Musa ketika menyatakan perihal peribadi Musa kepada bapanya. [Surah Al-Qasas, 26]


Firasat yang benar itu datang dari hati yang bersih. Hati, tempat jatuhnya pandangan Allah pada manusia.
Rupa-rupanya, peristiwa pembunuhan yang tidak disengajakan dan menjadi buruan Firaun itu menjadi asbab Nabi Musa AS ke Madyan, kemudiannya ditemukan jodoh dengan perempuan hebat ini. Asbabnya pelbagai, musabbabnya Allah jualah. Ma shaa Allah.


Cerita 2: Asiah & doanya yang bijaksana [At-Tahrim]

Asiah, si Ratu Syahadah. Perempuan  yang imannya teruji dengan suami yang zalim dan mengaku Tuhan, Firaun la'natullah. Tidak disebutkan nama Asiah dalam Al-Quran. Walau bagaimanapun, para ulama kebanyakkan mentafsirkan tentang ‘wanita Firaun’ yang dikisahkan itu ialah Asiah bintu Muzahim. Asiah ialah wanita mulia yang disebutkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadisnya. Biarpun perkahwinan ke atas Firaun atas dasar paksaan, tetapi demi membebaskan kedua-dua ibu bapanya, Asiah menerima pinangan Firaun.


Asiah hidup bersama Firaun di dalam sebuah istana yang dilimpah kemewahan. Sekalipun ketaatan kepada suami itu penting, tetapi hatinya jauh melonjak, mencari ketaatan yang jauh lebih utama, tempat tingginya di sisi Allah Rabbul Jalil. Berpaksikan keimanan dan ketaatannya pada Allah itulah Asiah merelakan dirinya diseksa oleh Firaun.
Kisah isteri Firaun ini dibicarakan Allah SWT di dalam al-Quran menerusi Surah At-Tahrim ayat 11. Allah berfirman yang bermaksud, 


“Dan Allah mengemukakan satu perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: “Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim” 


Guru kami menyatakan, bahawa doa ini doa yang sungguh bijaksana. Asiah memohon kepada Allah agar dibina sebuah rumah di sisi Allah di syurga. 
Mengapa Asiah memohon cuma sebuah rumah; sedangkan di syurga itu selayaknya diminta yang lebih indah. Seperti sebuah istana? Sedang dia pula mendiami istana Firaun selama di dunia.
Kontradiksinya, bahawa kehidupan yang bermewah-mewah di istana bersama-sama Firaun tidaklah mendatangkan kebahagiaan yang selayaknya, malah Asiah terlalu lemas hidup di dalam kekufuran. Justeru, permintaan sebuah rumah sudah memberi persepsi kepada Asiah bahawa istana dan kemewahan itu tidaklah memberi makna dalam hidupnya.
Sedar atau tidak, antara wanita-wanita utama yang diceritakan ialah mereka yang berkait rapat dengan kronologi hidup Nabi Musa AS (terutama dalam surah Al-Qasas). Bermula daripada ibu Nabi Musa, saudara perempuannya, isteri Firaun, dan kemudiannya tentang perempuan Madyan puterinya Syuaib dua bersaudara. Sungguhlah, AL-Quran itu sebaik-baik cerita. :)


Cerita 3: Menantu Umar Al-Khattab, Nenda Umar bin Abdul Aziz.

Dikisahkah, pada zaman Umar Al-Khattab, pernah beliau meronda pada waktu malam dan apabila menghampiri sebuah rumah, beliau terdengar perbualan antara seorang ibu dan anak perempuannya tentang jualan susu kambing. Barangkali mereka ini berjualan susu kambing di wilayah ini, fikir Umar.



Ibu: "Wahai anakku, campurkanlah susu itu dengan sedikit air. Biar kita dapat menjualnya dalam kuantiti yang lebih banyak." 
Anak: "Wahai ibu, bukankah itu satu penipuan? Kita tidak boleh berbuat begitu. Amirul mukminin melarang kita menipu dalam berniaga." 
Ibu: "Tidak mengapa, anakku. Tiada sesiapa yang melihat dan tahu kita melakukannya, termasuklah Amirul Mukminin." 
Anak: "Benar ibu, Amirul Mukminin tidak melihat kita, akan tetapi Tuhan Amirul Mukminin Allah sentiasa bersama kita, Maha Melihat dan Maha Mendengar."



Sayydina Umar yang mendengar perbualan itu lantas menangis tersentuh. Rentetannya, beliau meminta anak lelakinya, Asim menikahi gadis penjual susu tersebut dan berdoa, "semoga lahir dari keturunan gadis ini pemimpin islam yang hebat yang dapat memimpin orang-orang arab dan 'ajam. "


Asim yang patuh menurut sahaja cadangan ayahandanya. Hasil dari pernikahan Asim dan gadis penjual susu tersebut, maka lahirlah seorang puteri yang diberi nama Laila. Laila kemudiannya berkahwin dengan Abdul Aziz, lalu dengan rahmat Allah, lahirlah dari mereka seorang anak yang sekarang kita kenali beliau dengan nama Umar bin Abdul Aziz, pemimpin agung yang didoakan oleh Umar al-Khattab. Ma shaa Allah.

Sudah kenal dengan perempuan ini?
Cuma seorang perempuan biasa yang membantu ibunya berjualan susu pada zaman itu, tetapi kerana taqwanya, Allah memuliakannya dengan menjadi menantu Sayyidina Umar, bahkan daripadanya lahirlah pula keturunan yang baik dan mulia, khalifah yang namanya tiada lekang meniti di bibir para ilmuwan.




"Fear Allah." 

Antara ayat Dr Nurul Jannah yang paling terkesan juga, selalu meniti di bibir beliau pada setiap kali pengajian syarah RiyadusSolihin. Dan benarlah, begitu hasilnya mukmin yang banar-benar meletakkan ketakutannya hanya pada Allah semata. Sejatinya seluruh hidupnya, tindak tanduknya, lintas rasanya, terkait dengan Allah.

Dalam Bahasa Arab, kalimah 'أمة' (ummah/umat) intinya dari kaliah 'أم' yang bermaksud 'ibu'. Tiadalah ummah apabila tiadanya ibu, justeru ibu itulah penentu arah ummahnya kelak yang menjadi madrasah pertama generasinya.
Jelas sekali, untuk mendidik, terlebih dahulu harus dididik. Setiap ibadah didahului dengan ilmu yang sohih, bukanlah sekadar taqlid membuta, semberono beramal tanpa sandaran yang jelas.


"Berburu di padang datar,dapat rusa belang di kaki.Berguru kepalang ajar,bagai bunga kembang tak jadi."


Maka, mendidik diri kita duhai sekalian perempuan, dalam Islam ia adalah investasi yang harus dijalankan. Bukan beban, tapi kemuliaan. Didikan apa lagi yang lebih indah daripada didikan Islam untuk diorientasikan menjadi bingkai pendidikan keluarga?


"الأسرة هي محراب لإقامة عبودية لله"


Kita tidak sempurna untuk tahu dan buat banyak perkara. Disebabkan itulah jua, hidup ini satu medan yang penuh hikmah untuk kita muhasabah dan ambil iktibar sesuatu pada setiap sela waktunya.

"Saya ingin sekali berkenalan dengan seorang 'gadis moden', yang berani, yang dapat berdiri sendiri, yang menarik hati saya sepenuhnya, yang menempuh jalan hidupnya dengan langkah cepat, tegap, riang dan gembira, penuh semangat dan keasyikan, gadis yang selalu bekerja tidak hany untuk kepentingan dan kebahagiaan dirinya sendiri saja, tetapi juga berjuang untuk masyarakat luas, bekerja demi kebahagiaan sesama manusia. Hati saya menyala-nyala karena semangat yang mengelora akan zaman baru..."[Surat-surat Kartini]

Kematangan itu ada pada ilmu dalam diri dan nilai dalam memandang kehidupan, wujud pada hati yang selalu membawa jiwa seorang hamba dalam dirinya untuk mengenal dan taqarrub dengan Tuhan. Kematangan tidak terbangun dengan sendirinya, ia perlu dibina. Semoga solehah dan kebijaksanaan menempati hati dan akal kesemua dari kita, duhai perempuan.

Sampai di sini dahulu. 
Masih ada lagi, bahkan ramai yang belum didendangkan. 





Hakikatnya sebuah tulisan;
meneruskan untuk meninggalkan.
Moga menjadi asbab hidayah,
penambah kebaikan, pemberat mizan.

Bersempena Women International Day.
08032019 - penghhujung Mac.
Gombak, MYS.

2 comments:

Anonymous said...

Salam,

Just wanted to let you know; the power saving mode that you probably set up for your blog isn't really working well for me when I tried to read on my iPad. It won't go away even if I swipe the screen unless I refresh the page, but it would only remain bright for 5 minutes until I have to refresh it again.

I love your writing, btw! :) #goals

Mizah Lee said...

Wsalam wbt.

Thank you for letting me know this. Tbh, I was trying to remove the setting once, but still do not manage to, perhaps too many years already.
And thank you for reading!

Best regards :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Transparent Teal Star