Apr 4, 2020

Sakit (Lirik)





Kalau kau rasa tak dihargai
Tutuplah mata, peganglah hati
Kalau kau rasa diri kau sunyi
Jangan bersedih
Aku disini
Walau hidupmu tumpas
'Ku akan beri kerjasama
Bangkit wahai kawan, hidup ini tak sempurna
Jangan selalu bersedih
Kujuga selalu terleka
Kesilapan lama bakal jadi rama-rama
Tapi aku sakit bila ramai keji
Sakit aku bukan sakit dihati
Jadi sakit aku pendam sendiri
Rasa sakit ini tak akan berhenti
Mergerti
Kuterpaksa hadap walau penat lari
Kuterpaksa jatuh bila penat diri
Kuterpaksa hilang walau ramai cari
Aku lupa ingatan
Jadi tolong ingatkan
Saat luar kawalan
Jadi tolonglah pesan
Tolonglah aku kawan
Aku ni manusia
Kubuat kesilapan
'Ku manusia biasa
Percayalah
'Ku yang berikan tangan
Jika engkau memerlukan
Jadi tolong jangan segan

*Sekali sekala
**Salin sini, sebab rasa lirik ni sesuatu sangat masa pertama kali dengar

Mar 1, 2020

Tulisan balas buat Hanan


Sahabatku yang baik, 
ini ialah sebuah memoir, kupahat kembali perca-perca kenangan lalu, juga catatan harapan hari-hari mendatang.





Sahabatku yang tulus, 
tahun ini dan tahun lalu aku rasakan tahun yang begitu banyak kejanggalan. Antaranya termasuklah berjarak denganmu. Benar, jasad kita jauh,
sudah lama kita tidak bertemu, semakin jarang juga kita berbual mesra. Kita masing-masing sedang memperjuangkan hidup di titik temu yang tidak lagi selari, seperti dulu.

Sahabatku yang jujur,
Aku sering berasa janggal kerana engkau tidak pernah melihatku ganjil dengan perwatakanku yang tidak handal mengekspresi.

Sahabatku yang penyayang,
Sahabat yang aku rindukan lebih kerap dari kekerapanku menggunakan pendrive kembar kita, ketahuilah bahawasanya aku juga berasa janggal tatkala kau bertanyakan "kenapa?" saatku berada di hadapanmu dan mataku gagal menyembunyikan luka. Aku diam, tapi kau tidak pernah memaksa aku membuka bicara. Kau akan bersenandung ceria, melagukan kisah-kisah lucu dan 'bbolah' setiap kali aku terlupa untuk ketawa.

Sahabatku yang setia,
walau beberapa tempoh kebelakangan ini antara kita tiada khabar berita, bertukar cerita, tapi aku tahu kau sentiasa ada. Aku berasa janggal apabila mendiamkan kekhuatiranku, sedang kau sudah terlebih dahulu mampu membacanya. Kau damaikan sebuah rasaku, kata kau; "perdamaian dengan takdir hanya perlukan masa.."
Juga saat kau jujur menata kata hatimu; "aku akan doakan mg sungguh-sungguh mizah, sebab aku pun terkesan sama. Aku tahu mg boleh, mg meme jenis kuat tanpa mg sendiri sedar benda tu.."





Sahabatku yang lembut hatinya,
percayalah, aku akan merindui segala tentangmu. Tentang suatu hari kau sebagai Timbalan Exco Sukan menyampaikan hajat agar aku sanggup mejadi pic acara ping pong pada Sukan Sea 2015 ketika kau berada di tanah air. Tentang episod petualangan kita di Selayangku Sayang pada cuti musim panas 2016. Tentang hari aku menemanimu masuk ke qa3ah di fatrah muraqabah nihaeiah Kenitra. Tentang Februari 2017 yang menghadiahi kita kenangan ke Ma3ridh Kutub, juga kisah kau ke maktabah La Colline untuk mendapatkan 'pendrive' yang sama, yang akhirnya kau bawa ia sampai ke tanah Andalusia, kau kirimkan gambar, ku simpan ia sebaiknya.
Tentang tudung bawal glitter merahku yang kau pinjam pakai gaya shawl ke Diskusi Bersama Dr MDB pada malam selepas kita bergelap dan kau bertanyakanku soalan di luar duga. 

Sahabatku sayang,
aku berasa janggal bilamana tiada mampu diri ini berada di sampingmu, menadah telinga menumpangkan bahu meredakan rawanmu yang dahulu.
Janggal juga terasa andai di hari bahagiamu nanti aku tiada di sana menyaksikan senyum manis penuh syukur indah tersimpul di bibir menaikkan serimu di pelaminan.


Terlalu janggal untuk aku pinggirkanmu dari rutinku.
Aku juga begitu.

Aku akan sentiasa mendoakan yang indah-indah untukmu, selayaknya kamu.
Moga Allah rahmati ukhuwah kita, sampai nanti bertemu di 'menara cahaya'.
Kebahagiaanmu, kecintaanku.



Sahabatmu yang rindu.
KUL, MYS.
01032020, 22:45.

Dec 31, 2019

2020; Mimpi, Visi dan Transisi

BismiLlah.

Minggu-minggu yang sarat. Menjenguk ke luar jendela, saya melihat matahari sudah mencapah cahayanya, menebar warna alam, transisi waktu dhuha menjadi dhoha' di lembaran terakhir 2019. Sampai juga kita ke titik akhir ini sebelum 2020 menyingkap tirainya. Pernah dahulu berasakan angka 2020 itu masih terlalu jauh, masih lama, tapi lihatlah sekarang, kurang 24 jam lagi berbaki. Entahkan dinanti-nanti, atau dikhuatiri kehadirannya.

Merenung lagi mencari-cari dari mana arah datangnya riuh cicipan sang burung sesama sendiri, tidak kelihatan ia di mana-mana, hanya bunyinya sahaja signifikasi kewujudan. 
Di simpang jalan sana kelihatan beberapa orang siswi mengatur langkah ke kulliyyah sambil memegang tatap nota di tangan, barangkali sedang meredakan debar bakal menduduki ujian akhir semester beberapa detik lagi. Semoga dilapangkan mereka, kesemuanya. 

Mengalih pandangan ke dashboard meja tulis, checklist  dan notis Disember meragut perhatian. Alhamdulillah, hampir kesemuanya ditanda, tinggal dua. Setiap proses ada ansur-ansurnya, itu fundamental yang harus dipegang, namun yang mampu diselesaikan hari ini usah ditangguh ke esok hari, yang boleh diusahakan sekarang kenapa harus ditunda kemudian?  Kata Fahri dalam 'Ayat-Ayat Cinta', "orang yang gagal merancang ialah orang yang merancang untuk gagal." Alhamdulillah lagi.
Merancang sesuatu menjadikan kita lebih jelas tujuan, sekurang-kurangnya. Mengikhtiarkan ke arah sesuatu itu merupakan pilihan masing-masing. Natijahnya, rezeki itu tetap hak mutlak Tuhan. 
Masih segar lagi titip kata Kak Yuli tempoh hari (semoga Kak Yuli baik-baik saja khabarnya!), ".. setiap daripada kita punya kekurangan dan kelebihan masing-masing, tinggal nanti rezeki Tuhan itu yang menentukan keberuntungannya di mana, bagaimana."

Sambil bersyukur, saya sering bertanya sendiri, bagaimana kelak apabila rutinitas ini berakhir? Berapa lama tempoh untuk saya beradaptasi, lagi?

Semakin beranjak masa, semakin banyak pula yang menjadi kebimbangan. Mungkin kerana kita semakin banyak tahu, banyak persoalan, banyak pula justifikasi. Mungkin.
Teringat. Pernah ditanya oleh seseorang tentang visi hidup nun beberapa tahun terkebelakang. Soalnya;

"What is your vision? 
What do you want to do for the sake of this world and your life?"


Pulau Redang, somewhere in 2011, I guess. Captured by Pak N.

Tidak saya beri jawabnya. Waktu itu saya sendiri masih tercari-cari makna sebenar sebuah kehidupan ini. Hamba Allah? Khalifah Allah? Ya, saya tahu itu semua. Setiap kali diceramahkan pun akan membahas seputar isu dan kenyataan yang sama. Pi mai pi mai tang tu jugalah. Tetapi sekarang saya kira saya semakin faham betapa pentingnya yang disoalkan itu. Terima kasih buat yang bertanya.

2019 berakhir, 2020 bermula. Ia masih dalam kerangka proses menuju visi abadi. Di setiap selanya terhimpun untaian demi untaian cita-cita dan impian; yang jelas, yang samar kedua-duanya. Kata Paulo Coelho; 
"You don't need to explain you dreams. They belong to you."

Pastilah kesemua kita punya cita-citanya yang tersendiri, sama ada yang dikhabarkan atau yang disimpan. Cita-cita yang sentiasa ada, tidak pernah terpadam. Impian yang sentiasa subur memekar, belum layu meluruh.
Tempohnya?
Setengah tahun? Satu tahun? Lima tahun? Sepuluh tahun?

Entah. Ada waktunya kita tidak boleh terlalu terikat dengan tempoh masa, kelak akan menjerumuskan kita dengan simptom membanding-bandingkan kemajuan tingkat hidup kita dengan orang. Bekerjalah. Berusahalah. Itu yang lebih utama. 

Rabbi, izinkanlah hamba.
Kau susunlah. Kau berikanlah. Kau permudahkanlah. Kau berkatilah.
Hantarkanlah padaku orang-orang baik yang Kau kasihi untuk membersamai perjalanan ini, kekalkan bersamaku hamba-hambaMu yang beriman,
 yang boleh menegur tindak tanduk dan perkataanku, berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran, yang saling setia memimpin sesama sendiri mengutip bahagian-bahagian dari nikmat dan musibah kehidupan ini dengan jalan ketaatan.

Tetntang cita-citanya, sekarang masih kabur. Tetapi yakinku Kau akan membantu hamba-hambaMu, janjiMu tak termungkir. Tiada yang perkenan segalanya melainkan Engkau. Tiada yang membuka jalan-jalan yang tidak disangka selain Engkau.


Harus lebih mapan dan bersedia untuk berkarya dengan segala rasa yang menerpa beriring waktunya yang terbaik. Tidak mengapa untuk berbuat salah, asalkan jiwa sentiasa punya ruang yang besar untuk merendah diri dan belajar dari setiap khilaf. 
Belajar sayangi diri. Sayangi insan-insan yang membersamai.
Sayang itu abstrak, menyayangi punya banyak cara untuk dimanifestasi. Tidak terhad dengan lisan atau dengan kebersamaan semata.

Terima kasih teruntuk kesemua watak; yang sentiasa di sisi tidak mengira jarak jauh dekat jasad ini, yang memandang bening seorang saya padahal betapa besar lompong diri, masih sudi mendampingi, sungguh jiwa merekalah yang terlebih jelita. Yang baru datang. Yang mendadak renggang. Yang jejaknya hilang, ketahuilah, saya tidak pernah pandai untuk mengungkap kata perpisahan. Tetapi saya akan cuba belajar untuk bawa diri, hanya jika yang satunya terlebih dahulu menapak pergi.

2020. Pertamanya, semoga percaya itu tidak sirna.
Kata Pak Hamka, "..kepercayaan itu tempat bergantung di dalam tiap perjuangan. Kepercayaan itulah kekuatan tempat bersandar bila kaki lemah melangkah. Ke sanalah dia berlindung pada waktu susah.." 
Dan tetaplah yang mengatasi percaya itu adalah keyakinan pada Allah yang tidak berbelah bahagi.

2020. Keduanya, masih saya berhajatkan dan mengikhtiarkan sehabis daya hal yang sama seperti azam yang dbangunkan 1441H yang lalu. Tidak berkurang walau sedikitpun. Juga menambah rencah rasa  dengan tulisan Mbak Apik, nukilnya, "Sederhanakan ekspetasi, tinggikan sabar, sempitkan ego, luaskan syukur. Berhenti menuntut hak, mulailah memenuhi kewajipan. Bumikan ikhtiar terbaik kita, langitkan niat karena-Nya."

2020. Ketiganya, menyerahkan setiap cita-cita dan harapan yang membuncah hanya pada Dia semata.
Kerana antara yang diingatkan oleh Habeebuna Rasulullah SAW, 'tawakkal itu setelah mengikat unta...' Allah tahu setiap satu yang diusahakan hambaNya biar sekecil zarah pun, Dialah Al-Hasib Yang Maha Menghitung, Dialah Al-Basiir Yang Maha Melihat yang di luar dan di dalam hati hambaNya, Dialah Al-'Alim Yang Maha Mengetahui. Dialah Ar-Rahman Ar-Rahim. HasbunaLlah wa ni3mal wakeel.
وَأُفَوِّضُ أَمْرِي إِلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَصِيرٌ بِالْعِبَادِ

Rasulullah SAW ajarkan kita untuk menjadi hamba yang bersyukur dalam apa jua keadaan.
Bila mendapatkan hal-hal baik yang kita suka, ucapkan:

"الحمدلله الذي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصالحات"

Dan apabila ditimpa hal yang sebaliknya, ucapkanlah:

"الحمدلله على كل حال".




Sedang mengenang anak soleh pintar; Wan Waiz Ayyash.
Hari ini ulang tahunnya yang ke-empat. Antara antidote CikMijah. :)
اللهم فقه في الدين

31122019
Gombak, MYS.

Dec 10, 2019

Sebuah Tulisan; Di Sebalik Kedipan Mata & Perbualan Maya


'Pertemuan berlaku
di penjuru matamu
yang ungu
lalu membiru...


Boleh jadi mimpi itu cara bertemu.
Bebas di minda, terpenjara di natura.
Setelah sekian pekan berselang siang dan malam, akhirnya aku menggenapkan hati dan menukang tulisan ini tatkala manusia yang lainnya bersesak di kafeteria untuk makan tengah hari. Tentangku jangan kau risaukan, aku belum lapar memandangkan sudah makan berat pagi tadi.

Apa khabarmu, kawan? 
Lama sungguh kita tidak berpeluang bertemu mata, mencurah segala rasa dan menggeledah pengalaman masing-masing selari perjalanan hidup yang tiada jedanya.
Kalau dahulu kita dipisah jarak berbeza tempat pengajian, sekarang sudah tidak. Ah, membahaskan jarak lebih jelas rupanya, sehingga kita terlupa pasangannya; masa. Masa yang ajaib, menghadiahkan kita ceritera hidup yang pelbagai, ada antaranya yang hanya dibentuk lewat usia dan pengalaman.
Er, terasa janggal pula untuk memulakan.
Kawan, selain keluarga, kau kini milik masyarakat. Aku senang dengan pencapaianmu,  kesibukanmu dan kesibukanku tentu jauh bezanya sehingga agak sukar untuk aku meraih khabarmu, maaflah, aku hanya meneka-neka sahaja sementelah belum berada dalam fasa tersebut. 

Maaf juga, jika tulisan ini menggugat ketenteramanmu, aku tidak bermaksud membuatmu terganggu. Aku menyusun dan mendendangkannya di sini sekadar untuk melepaskan galau yang bergayut di tabir jiwa, tidak terlalu ketara sebenarnya, cuma sesekali diselak, kelihatan juga ia. Sejujurnya, tulisan ini tidaklah sepenting mana, aku sekadar ingin berkongsi, mahukah kau mendengar dendangannya?

Terima kasih, kawan. :)
Baiklah. Aku mula, ya?

Minggu lalu selesai sudah pembentangan terakhirku untuk semester ini, pembentangan terakhir untuk pengajian sarjanaku. Seperti kurang percaya bahawa ini sudah yang terakhir rupanya. Alhamdulillah. Allahu Akbar! 
Betapa lega dan lapangnya jiwa ini hanya Tuhan Yang Tahu. Pembentangannya lancar, dan aku berasakan aku sudah mengikhtiarkan sehabis daya, natijahnya aku serahkan padaNya, moga bermanfaat dan difahami segala yang disyarahkan. Terima kasih atas doronganmu selama ini, aku sangat menghargainya.
Berbalik kepada pembentangan, aku membentangkan fasl awwal (bahagian pertama) yang dihadam dan diringkaskan dari sebuah kitab falsafah yang tinggi perbendaharan katanya berjudul 'أزمة العقل المسلم' (Krisis Akal Muslim). Kitabnya dalam Bahasa Arab, boleh juga didapati versi terjemahannya dalam Bahasa Inggeris, dikarang oleh Prof Emiritus Dr Abdul Hamid Abu Sulayman, rektor kedua UIAM yang setelah beliau disusuli Prof Emiritus Dr Kamal Hassan. Iya kau benar, tentulah perbahasan ini dalam jajahan subjek Islamization of Knowledge (IOK), wajibat  yang dituntut Dr Adham yang sangat teliti dan tinggi himmahnya untuk subjek yang diajar beliau untuk kali pertama. Terlalu banyak yang ingin dikisahkan lagi tentang subjek ini, sebenarnya. Tidak mengapalah, aku pinggirkan dahulu kronologi yang selainnya, boleh ya?

Baiklah, kembali pada kisah pembentanganku tadi.
Seputar mauduk pembentanganku itu, ada beberapa hadis Nabi SAW yang perlu aku terangkan dan mencari keterikatannya dengan tajuk utama perbahasan - Krisis Akal Muslim. Dan hadis pertamanya ialah tentang niat, persis Imam An-Nawawi yang meletakkan hadis ini sebagai muqaddimah Al-Arba'in An-Nawawiyah, hadis yang tersangatlah biasa ditemukan di mana-mana, hatta kita sudahpun menghafal dan mempelajarinya semasa menekuni subjek PQS dahulu. (Ataukah subjek Pendidikan Islam semasa di lower form ya? Maaf, aku sudah lupa yang mana)


عَنْ أَمِيرِ الْمُؤْمِنِينَ أَبِي حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ:

" إنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى، فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إلَى مَا هَاجَرَ إلَيْهِ".

(أخرجه المسلم)


Masih terngiang-ngiang celahan Dr Adham tepat semasa aku memberi sedikit penjelasan tentang niat yang berkait rapat dengan konsep ikhlas; salah satu syarat diterima amalan. Beliau mengangguk-angguk, memberi perhatian. Kemudian dilontarkan soalan mudah sambil mengukir segaris senyum kebapaan, tidak lebih dari sekadar satu selingan pendek.

"Hal anti ta9dimiina lyaom lil ustaaz fa9at au Lillah?"

Entah kenapa, aku terkesima.
Mujur masih mampu mengawal riak wajah tenang, walau yang di dalam sudah dilanda air bah! Kelat rasanya. Mampukah kau bayangkan?
Aku tahu, beliau tidak cuma tujukan soalan itu kepadaku, bahkan termasuklah kesemua yang berada dalam kelas ketika itu. Dalam hatiku bisikkan istighfar.
Iya, 'bendanya simple' orang kata, yang kadang tidak terlintas pun di fikiran. Sebabnya?
Sudah terlalu biasa, sudah sebati menjadi rutin asasi. Perkara yang makruf harus dilaksanakan untuk mendapat sekian perkara. Sebagai seorang pelajar, haruslah ada tuntutan yang harus disempurnakan untuk dinilai dan dievaluasi, begitulah juga kita.
Betul lah mukmin itu harus itqan dalam setiap apa yang dikerjakannya, to please Allah, not others. Urusan sekecil ini pun selayaknya dipersembahkan dengan terbaik kerana Allah, apatah lagi untuk urusan-urusan yang besar. AstaghfiruLlah, aku khilaf, akulah yang lupa.
Seakan ia persoalan yang tidak hilang, mengetuk satu persatu jendela di benak fikiran.
Sepenting soalan, sedetik dilontarkan, sebesar pengajaran.
Sampai ke saat ini aku masih memikirkan.
Akal dan minda seakan tiada penat membahaskan isu yang sama sepekan ini. 
Ilmu. Amal. Konsep hamba - khalifah. Menjadi baik dan memberi kebaikan. Pengajian Sarjana yang sudah hampir ke penghujungnya. AllahuRabbi.

Sudah sering aku ditanya, "bila habisnya?"
Dan setiap kali itu juga ada rasa sebak mengintai dari dalam, perlahan menyusup masuk menghuni jiwa yang berselerak rasa, entah apa agaknya yang mendominasi sekeping hati?

Sejujurnya aku belum mahu habiskan tempoh pengajian ini. Kalau selama ini aku menyangka 3 semester seharusnya memadai, sekarang tidak. Jika diluah pada orang, mereka juga hairan denganku, mahu apa lagi berlama-lama dengan tempoh pengajian? 
Hakikatnya, aku sayangkan pengajian ilmu dan majlis-majlis talaqqi, aku kasihkan orang-orang baik yang aku temukan dalam pendakian plot ini, namun aku juga tidak betah dengan tuntutan assignments yang tak berkesudahan, juga sara hidup dan hal ehwal ekonomi diri. Aku kira, yang sebenarnya aku takutkan adalah fasa-fasa mendepan setelah berakhirnya fasa pengajian. Akan tetapi, hidup akan terus berjalan, usia sekarang akan terlewatkan juga, aku perlu berani menghadapi apa pun fasa selepas ini, bukan? 
Sudah masanya aku 'memberi' pada masyarakat dan mengutamakan yang lain, sepertimu, kawan. Atau setidaknya menebar manfaat buat keluarga dan diri sendiri yang terutama.

Pilihan ini tidak pernah aku sesalkan, sama sekali tidak pernah. Walau ada kalanya keluhan itu terpacul jua dari lisan ini, aku kira ia manifestasi jasad, fikiran dan emosiku yang lelah, barangkali disebabkan jauhnya realiti dari ekspektasi yang aku laburkan. 
Itulah. Sudah diingatkan berkali-kali agar lebih berwaspada dengan ekspektasi, tentang apa pun! Seronok kah meneka-neka dengan rasa?
Ah, maafkan aku yang tiba-tiba beremosi. Menjadi dewasa kian mengajar kita menyelam ke dasar emosi yang pelbagai, untuk itu aku perlu lebih gigih belajar untuk berdamai dan beradaptasi. Andai tersalah pilihan ini, aku belajar banyak hal rentetannya. Andai ia tepat, aku juga belajar. Terima kasih buat yang mempercayai pilihan ini, kaulah salah seorangnya, hatta hakikatnya kita tidak akan pernah tahu perihal tepat atau tidak, justeru harus tetap kita percaya bahawa setiap yang terjadi itulah yang terbaik. Aku sedang cuba memahaminya.

اللهم اجعلنا من الذين إذا علموا عملوا وإذا عملوا أخلصوا وإذا أخلصوا قبلوا عندك يا رب العالمين ونجوا من عذاب أليم




Kawan, jika kelopak matamu sudah berat, berehatlah dahulu, tidak perlu terburu-buru menghabiskan. Ceritaku masih ada lanjutannya.

Entahkan ini turning point ke berapa dalam hidup.
Izinkan aku kisahkan ini juga padamu; perihal peristiwa yang menempati plot pada suatu pagi Jumaat bulan Oktober sebelum diberitakan kejutan-kejutannya, aku menghadiri kuliah bulanan Ayyuhal Walad yang disampaikan oleh syaikhuna Alfadhil Ust Dr Ayman Al-Akiti, dianjurkan oleh Kulliyyah Economics and Management Sciences nun jauh di 'hujung dunia' (jika dihisab dari Mahallah Aminah). TabarakaLlah feek.

Ayyuhal Walad; karangan Imam Al-Ghazali, kitabnya kecil, nipis sahaja, jauh lebih sedikit helaian muka suratnya jika dibanding Matan Aljurumiyah, atau Hadis Al-Arba3in An-Nawawiyah. Dan sudah ku khatam baca ia.

Ajaibnya, setiap yang disyarahkan Alfadhil Ust, aku berasa takjub, sayu dan haru. Entahkan tepat atau tidak pemilihan perkataanku kali ini. Ah, sukar sekali menterjemahkan rasa ini menjadi kata-kata agar kau fahami tanpa perlu berfikir lama. Aku tahu, kau punya banyak prioriti.
Almuhim, jelaslah bahawa selama ini aku hanya sekadar 'membaca'nya sahaja. Sekarang aku faham kenapa Dr MDB membezakan antara perkataan 'read' dan 'recite'. 'Recite' lebih tepat untuk menterjemahkan kalimah 'iqra''. Menurutmu bagaimana?

Rentetannya lagi, dalam sebuah diskusi Prof Emiritus Dr Kamal Hassan berkisarkan Imam Al-Ghazali seputar muqaddimah kitab Ihya' Ulumuddin (sesi ini diadakan secara bulanan di M. Kamal Hassan Library, betapa aku terlalu ingin kau menyertainya semenjak aku sertainya kali pertama! Tapi malangnya sesi ini dijadualkan pada waktu kau bekerja), ada diterangkan tentang seorang yang berilmu yang sibuk dengan personaliti luarannya tetapi tidak 'menjaga' peribadi dalamannya; "بيت مظلم باطنه"
Umpama memiliki sebuah rumah yang hanya diletakkan lampu di luar, tetapi di dalamnya gelap gelita. Menyedihkan. Lantaran itu, Al-Ghazali sangat menekankan peranan hati; hati yang punya nafsu, yang dibahagikan pula dengan pembahagiannya yang tertentu.

Sedikit aku kongsikan di sini apabila seorang kekanda menata kalamnya;
".. bahawa kita ini manusia, takkan pernah kenal potensi sebenar nafsu ammarah dalam diri kita. Lantaran itu, Allah menegaskan untuk manusia menjauhi segala punca kerosakan diri dan kerosakan yang mampu kita sebabkan kepada orang lain. Adapun kita, tidak akan sunyi dari diuji untuk mendekati pintu kerosakan itu, kerana musuh yang bersembunyi takkan pernah berputus asa sehingga kita mati, binasa. Bentuk tipu daya sang musuh bahkan tidak kita ketahui dari arah mana datangnya. Jalan menjaga diri cuma satu, taqwa. Kalau didekati, jauhkanlah diri. Kalau kita pula yang mendekati, muhasabahlah nafsu itu ke mana tujuannya. Allah SWT pasti bantu hambanya yang berusaha menjaga dan memelihara kehormatan diri."

Au kama qaalat.
Cuma seperca persepsi, walhal masih panjang benar yang harus difahami dengan baik. Nanti kita bahaskan lagi tentangnya, biizniLlah.


"Get the knowledge, know how to worship Allah, and give benefit to ummah."
Ilmu itu sifatnya memanfaatkan. Ilmu yang bermanfaat akan menjadikan seseorang itu lebih baik dari keadaannya yang sebelumnya. Bukan tidak pernah tahu apalagi diberitahu tentang ini. Boleh jadi kurang cakna tentang implikasi ilmu itu terhadap diri sendiri. Setinggi manapun peringkat pengajian, andai ilmu itu tidak bermanfaat, jadilah si penuntutnya itu sama sahaja,tiada qiimah, tiada miizah padanya. Inilah antara hal yang merusuh jiwaku pada minggu-minggu terkebelakang ini, aku khuatir andai tergolong aku dalam 'golongan yang sama sahaja, tiada beza', harapanku murni kepadaNya aku pohonkan agar Dia bantu aku menjadi seorang aku yang lebih baik dari segenap segi, dengan ilmu yang bermanfaat, sentiasa, selamanya, selagi hayat dikandung badan. Kerana ilmu yang bermanfaat itu salah satu pelaburan agung selain sadaqah dan doa anak yang soleh, andai nanti jasad ini luput ditelan bumi.
Sudikah kau bersama-samaku menyibukkan diri dengan ilmu dan hal-hal kebaikan untuk hari-hari selepas hari ini?

Kau tahu, kawan. Rasa-rasa asing tentang kekecewaan itu semakin disembunyikan, semakin menjadi nyata ia, lambat laun kan terlihat di mata juga, sesuatu yang tidak kita inginkan sama sekali.

Tidak adil begini, bukan? Seharusnya aku juga mendengarkanmu.

Apa sahaja yang kau dambakan, apa sahaja yang kau harapkan daripadaku, itu ialah hak-hak yang wajar aku dengarkan dan berikhtiar untuk penuhi, sekarang atau nanti. Luahkanlah impianmu yang kau timbun sekian lama. Ceritakan padaku, kawan. Kesibukan akan mengambil jedanya memberi ruang untuk kau bersuara, mendominasi. Aku mungkin tidak pandai 'mencari', namun aku kan tetap di sini, menunggu setiap patah katamu untuk aku perhalusi.

Kawan,

aku sering mendengar dan membaca kata orang, bahawa penantian itu satu penyeksaan. Iya, mungkin ada benarnya, namun aku punya perkiraan lain. Bahawa penantian itu satu perjuangan. Kau tahu tidak, apa yang diperjuangkan? 

Tujuan.

Harus kita jelaskan dahulu tujuannya. Setelah itu baharulah kita tempa senjatanya; iaitu sabar dan yakin pada Tuhan. Dengan sabar dan yakin, penantian bukanlah satu penyeksaan, bahkan ia bertukar menjadi satu didikan, agar hati bersangka baik pada Tuhan. Juga, selagimana kita fahami tujuannya, maka penantian akan menjadi satu proses yang sangat berharga. Asal sahaja kita masih mahu memperjuangkan.


Rumit juga menjadi seorang aku, 

pada kenyataannya ingin sahaja aku mengganggu di setiap pagi hari minggumu dengan soalan; "jadi harus bagaimana kita memandang hidup ini? Bagaimana untuk saling menguatkan sesama sendiri dalam mendepani ujian-ujian hidup yang tak terjangkakan? Kita ingin mengatur masa hadapan yang seperti apa?", atau "senandungkan padaku tentang tokoh-tokoh yang kau segani itu, bagaimana karakternya begitu ampuh sehingga berjaya menempah tempat di hatimu?" atau mungkin juga meminta pandanganmu tentang Elif Shafak dan perbahasan cintanya, tentang Rumi dan Tabrizi yang dikaryakan dalam 'The Forty Rules of Love' sambil menikmati sepinggan keropok lekor dan menghirup secawan teh pudina hangat, atau kopi kegemaranmu.

Realitinya tiada apa yang berlaku. Fikiran itu berlalu, dan segalanya seakan kaku. Seperti katamu, aku masih aku yang sama. Sayu rasa hati, tetapi aku sedar, aku tidak punya apa-apa untuk menepisnya selain diam dan muhasabah diri, mengharapkan keajaiban.


Ah, usah kau berasa bersalah.

Aku percaya, dan masih percaya bahawa kau orang yang baik, cuma sedang (mungkin) tewas dengan situasi. Tidak pernah terlintas di hati ini meletakkan kau sebagai puncanya, malah aku juga tidak menyalahkan sesiapa. Aku kira ia kronologi penting untuk ku tempuh, supaya aku belajar  lebih mengenal dan berdamai dengan perasaan sendiri.
Barangkali jiwamu juga sedang bergolak dengan perubahan demi perubahan ini. Itulah hidup, kawan. "Ia umpama guli yang melantun; sentiasa mencari tempat sesuai untuk berdiam. Tiba masa, berhentilah ia usai ketemu apa yang dicarinya." Begitu tafsiran seorang kenalanku.



Untuk kau yang hadir dan hilang pada kedipan mata yang sama, semoga kita akan saling membantu dan mengingatkan tentang luasnya rahmat dan kasih sayang Tuhan. 
Untuk kita yang sedang dan akan saling memperbaiki, mengasah peribadi dengan batu pengalaman yang berbeza, seganas apa pun lautan berombak membadai pantai rasa, semoga kita akan mampu tenang dan lapang menerimanya.
Semoga dengannya menjadikan kita seorang hamba yang sentiasa menghisab diri dan melakukan tazkiyah. Kalau dengan cara meluahkan padamu aku menjadi lega, maka akan lebih melegakan lagi menenangkan apabila kita lebih banyak berbual dengan Tuhan, seperti tausiyah Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid. Kepada Allah kita kisahkan semua perinciannya, meluahkan segala yang terbuku di jiwa, mengadukan setiap suka dan duka, menumbuhkan tunas-tunas doa yang telah kita tanamkan benihnya bersama-sama. Sama ada dengan hal yang kita hajatkan atau sebaliknya, Allah Maha Mendengar lagi Maha Tahu wasilahnya, ketepatan waktunya, maka dari situ kita belajar tentang keyakinan. Yakinlah. 

Dan tentang satu hal lagi yang barangkali terpinggir dari perhatian kita; tawakkal dan penyerahan. Menyerahkan setiap hal ehwal kehidupan, perasaan, kesejahteraan jasadiah dan rohaniah bahkan seluruhnya kepada Allah. 

Terima kasih sudi meneleku tulisan yang tidak seberapa ini hingga ke akhirnya. :)
Mohon dimaafkan atas segala khilaf yang berlaku, yang dalam sedar atau sebaliknya. Aku keliru bagaimana harus beraksi di posisiku sekarang. Walau bagaimanapun jua, aku akan sentiasa menyokongmu, mendoakanmu semoga setiap langhkahmu dipeliharaNya.
Hujan, ribut membadai, gersang, hangat melepuh, semoga kita akan tetap setia menjaga doa dan tujuan dengan tulus penyerahan padaNya Yang Maha Merencanakan. Seperti kata-katamu tempoh hari, " kita sama-sama doakan yang tebaik."
Dan untuk setiap yang kita hajatkan, semoga terkabul dengan cara yang paling indah. Aamiin.

And the du'a for all occassions is seeking for Allah's forgiveness.
".... إنّي كلما دعوتهم لتغفرَلهم"



... Pertemuan berlalu
di penjuru dadaku
yang sayu
lalu terharu.'
-Pertemuan, T. Alias Taib






DIsebabkan terlalu ingin mengarang setelah sekian lama menyepi
tapi di Mahallah dah seminggu tak dapat sambungan wifi,
maka aku ke sini, seharian, dari pagi,
untuk menggerakkan wajibat, dan menukang ini.

Hari ini aku mengarangnya sebagai seorang 'aku',
yang tidak lain adalah untuk menasihati diri sendiri,
boleh jadi akanku ulang baca sebagai 'kau' pula,
suatu hari nanti.

Dar Al-Hikmah, Taman Ilmu dan Budi.
10122019
16:10

Aug 29, 2019

CANT-UM ?



Di celah perbukitan,
Ada cerita-cerita eceran
dikait, disulam untaian demi untaian
disimpan, tidak didendangkan.

Tiada yang istimewa seperti anggapanmu,
koleksi ceritaku hanya cerita kaku
cerita-cerita biasa 
setelah hujan reda.
Cerita sepulang dari pengajian 
bersama seorang teman
sambil menggeladah langit malam,
bersinar bebola matanya dek teruja,
 "bulan terang!", 
begitu teriaknya.

Cerita pada sebuah hari minggu, berteleku
bersama-sama komputer riba dan buku
Episod demi episod 'pandai-pandailah bawa diri',
dan rentetan 'tahaddu tahabbu'.






Seperti apa ya cerita
yang didamba?
Aku sudah tidak punya cerita kembara 
seperti dahulu.
Jasadku sudah ribuan batu 
dari kota ilmuwan 
madrasah tertua dibuka sang serikandi
Fatimah Al-Fihri tenang bersemadi
meninggalkan legasi.

Namun demikian,

aku belum pernah jemu untuk kembali 
menapak ke kota Mu'tamid  bertemu ratunya
bersenandungkan hikayat si Loubna 
menjadi secerdas dia, ah, jauh panggang dari apinya
mengibrahi ketelitian seni bina kota megah,
dinding merah, di sanalah 
ku temukan muda tunas Granada,
ku senandungkan iramanya
deras mengalir sejarahnya 
bak Quadalquivir berkurun lama.


Atau,
cerita melankoli barangkali, ya?
Sementelah masih menggendong
rindu yang semakin menjauh itu,
pada saatnya perlu.
Tidak aku dibebankan ia, tidak pula ia
menghakis rasaku yang sekarang.
Ia baik-baik saja 
di tempat selayaknya berada.


"Adil itu melatakkan sesuatu sesuai tempatnya. Menjaga setiap langkah dan kata. Menjaga dengan rasa ikhlas dan tanggungjawab, tidak culas timbal balas diharap. Begitu mukmin yang kuat."

Seringku menata hati dengannya.
Mendewasa biarlah juga
dengan mulianya peribadi dan
penambah baikkan praktis agama.

Aku bukan Khansa'

yang begitu handal memintal rasa 
menjadi kata-kata
lantas kau baca, kau selam 
ke dasar suka dukanya.


Masih seorang aku 
yang hanya memanfaatkan ruang 
bertinta, mencorak kanvas sendiri.
Dengan carik-carik tulisan ini
seakan aku punya  tembok, bersembunyi.
Enggan disanjung mata-mata yang memandang,
apatah lagi minta ditangis jiwa-jiwa yang empati.
Kerana bahagia itu dirasai dari dalam,
tetapi 'kelihatan bahagia' itu yang ditagih dari luar,
ditopeng plastik dan kosmetik, sementara.
Palsu.

Cerita libur yang terisi

tapi belum lengkap dinukil,
untuk dipahat pada helaian kanvas ini.
Dan, soalan yang belum benar-benar luntur;
"bagaimana membuat pilihan?"

Jawabku hari ini,

pilihan itu hanya akan menjadi pilihan
apabila ia telah kita menangkan,
setelah tanpa sedar kita mulakan dengan perbandingan.

Membuat pilihan, itu seni dari hati.

Kerana hati ini juga tentera Allah. Saat ditetapkan segala sesuatu itu berlaku, maka Allah lah juga yang menggerakkan seluruh tentera-Nya ke arah ketetapan-Nya itu.
Pergantungan itu murni dengan keyakinan kita pada Allah, bukan sepenuhnya percaya pada harapan yang diberi manusia. Allah yang menentukan, lalu manusia sangkutkan harapan mereka dengan 'in shaa Allah'. Sekiranya sesuatu hal itu baik, dan tidak mendatangkan kemudharatan kepada kita sejatinya, maka begitulah harapan yang ditumbuhkan.

Jawabku selepas hari ini?

Belum tahu, belum pasti.
Mungkin berubah, mungkin juga masih begini.

Seperca cerita malam ini menegur seorang aku;

ada hal-hal dalam hidup ini yang aku anggap ia sebagai matlamat, padahal tidak. Bahkan ia cuma proses untuk mencapai matlamat yang belum terjelaskan. Hakikatnya akulah yang kabur, keliru membezakannya.
Begitu pula ada hal-hal yang dahulunya memberiku nikmat dan kepuasan ironinya kini datang sebagai ujian, menduga tahap sabar yang tinggi. 
Hati; akan lebih tenang setelah memahami konsekuensi.
Dan sewaspada manapun kita berusaha menjaga perasaan manusia-manusia di sekeliling, jangan dilupa bahawa Allah lah sebenar-benar penjaga. 
Allah beri kita ujian syaratnya tidak menunggu kita bersedia, Allah jualah yang memampukan kita menjalaninya.

Bagaimanalah mengaku diri seorang mukmin, jika tidak mampu bersabar apabila diuji dengan ujian perasaan? 

Yang masih belum mampu sabar itu akulah.
'Sabar itu tiada batasnya, 
tapi ada pilihan-pilihannya.'


فمن كان هجرته إلى الله ورسوله، فهجرته إلى الله ورسوله




Barangkali kau akan berkata padaku di suatu hari;
"Dan kau sudah tidak menulis lagi.
Padahal dengan cara itulah
aku mengenalmu, membacamu
melalui sekumpulan tulisan
yang kau tukangi dengan perasaan."


Dan hari ini (pertengahan November) aku kira sudahku temukan jawapannya lewat sebuah tulisan separa usang tergeletak di anjung seorang sifu sastera;
"Kita bukan sudah tidak punya masa, atau tiada cerita, 
kita cuma tidak mahu dilabel atau dibaca."

Iya. Begitulah.
"Tuhan ku bimbangi nikmat zikirku tiada lagi Rasa asyik ini, ku sangka Kau redhai Hampa sang nurani, kerna ku ingin bebas rasa hilang Tuhan dekatiku pada yang Kau cintai..." -Rabithah, Hilang.





Tulisan ini sebahagian daripada cerita-cerita biasa
malah lebih miskin aku daripadanya,
terlalu biasa untuk mengharap
 yang luar biasa.

Meninggalkan jejak-jejak perjalanan jasad dan hati

Kerana pada setiap hujung kembara
 lelah dan rindu kan tersisa.


 KUL, MYS | 2019. Selepas Mac.

TGG, MYS | 2019. Masih Ogos.
KUL, MYS | 2019, Novemberant. 
Setelah Oktober dan kejutan-kejutannya hadir.



Jul 5, 2019

Surat Balas Ron Weasley untuk Harry Potter



Untuk Harry.



*Gambar tiada kaitan


Surat kau benar-benar telah membuatkan aku malu sendiri, Harry.
Aku tahu akulah yang salah dalam hal kita. Sungguh aku juga buntu, entah bagaimana juga hal ini tercetus antara kita, berlanjutan bahkan, sehingga terbawa-bawa ke hari ini. Ah, aku rasakan sudah begitu lamanya.

Er, aku keliru mahu bermula dari mana.
Betul, Harry. Semuanya bertitik tolak semenjak malam pemilihan wira-wira untuk Triwizard Tournament. Kau tahu, semua pelajar termasuklah professor, dan aku sendiri Harry sahabatmu sangat terkejut apabila Professor Dumbledore melaungkan nama kau, nama keempat yang dikeluarkan oleh Goblet of Fire yang ajaib itu! Perasaanku bercampur baur. 
Terkejut dan hairan; bagaimana ia boleh terjadi? Sedangkan kita sebaya, masih bawah umur. Kita juga sama-sama menyaksikan apa yang menimpa Fred dan George akibat melanggar syaratnya. Terus, bagaimana piala api itu kau tundukkan? 
Sedih dan marah sekali gus; sangkaku ketika itu kau merahsiakan hal ini daripadaku untuk kepentinganmu. Harry Potter yang sentiasa masyhur, sehinggakan untuk pertarungan ini pun dia mampu terpilih sebagai wira sekolah! Fikiranku berkecamuk dan dipengaruh orang. Aku berasa disisihkan, seolah-olah aku bukan orang penting untukmu.

Tapi, Harry. Aku telah berbuat silap. Aku menyedarinya.
Dan sebenarnya, Harry, aku tidak mengambil waktu yang lama untuk menyesalinya, bahkan sebelum cabaran pertama kau lagi. Benar, begitulah yang terjadi. Tapi, ego aku rupanya bertembok juga, susah diruntuhkan. Aku jadi malu untuk meminta maaf padamu. Tambahan pula kau juga tidak menyapaku seperti biasanya. Aku jadi janggal mahu memulakan. Padahal, itu bukan salahmu sama sekali. Kau berkelakuan begitu pun, disebabkan aku yang memulakannya dulu. Ya, akulah punca.

Lalu, aku fikir dengan cara membocorkan rahsia pada Hagrid tentang kedatangan Charlie dari Romania, ia akan membantumu menghadapi cabaran pertama, yang aku sangat yakin, kau langsung tidak pernah terbayangkan bahawa kau akan berhadapan dengan naga! Dan seperti yang sudahku jangka kan, Hagrid sangat teruja apabila akhu khabarkan padanya tentang naga-naga itu sebelum diingatkan tentang kau, Harry, yang akan bertarung menundukkan makhluk itu. Dan aku tahu benar, Hagrid akan turut sama membantumu. Dia tidak akan membiarkanmu sendirian dalam hal yang genting sebegini.

Awal Charlie menghubungiku, memberitakan kehadirannya bersama naga-naga itu, aku runsing. Bagaimana kau ingin menghadapinya nanti? 
Aku sedikit lega kerana Hermione sentiasa di sampingmu, tidak seperti aku ini. Rajuk yang langsung tidak mendatangkan keuntungan. Ralat juga rasa hati. 
Aku mahu perbaiki keadaan kita, tapi buntu dengan cara yang bagaimana. Kau pun tahu sendiri kan, bagaimana teruknya aku apabila menggunakan kata-kata?


Sepanjang tempoh itu, aku galau sebenarnya, Harry. Berperang dengan perasaan, tapi tidak tahu bagaimana hendak diluahkan kata maaf.
Awalnya aku fikir kau tidak apa-apa dengan kelakuanku.

Tentu sahaja aku silap. 
Bahkan memang sewajarnya aku yang mendatangi kau dahulu. Kau pula malah membuatku mengulang tayang satu persatu kenangan kita walau cuma tercoret dalam buku catatan di bawah bantalmu. Berganda-gandalah sesalku, sahabat.
(Maafkan aku kerana tidak sengaja terbacanya, tempoh hari buku catatanmu terjatuh dari katil, aku cuma berniat ingin meletakkan di tempatnya, namun lain pula jadinya apabila aku terpandangkan namaku yang tertulis pada helaiannya yang terbuka. Maafkan aku untuk perkara kedua ini.) *plottwist!*  XD


Harry, aku percayakan kau, dan akan sentiasa berada disampingmu, through thick and thin. Maafkan aku Harry, kerana telah membuatkan kau sesedih itu. 
Harry, kau masih sudi mengambilku kembali sebagai sahabat, iya kan?


--> Baca entri terdahulu: (Surat Harry Potter untuk Ron Weasley)




05072019
(tiga tahun sangat baru Ron balas surat Harry haih)
Pause sebentar daripada realiti, sesambil korek entri dalam draft.
Belambak rupanya. Adehh.
[TGG, MYS]

Jun 29, 2019

Hati-Hati


Hati-hati menyusun kata.
Mungkin di sana 
ada yang terluka hatinya,
lantaran kita.
Sama ada yang ditutur satu persatu di hadapan muka,
atau cuma lewat pesanan suara,
termasuklah yang ditulis di media,
semuanya, waspadalah.


Hati-hati.
Kekiotikan dalaman
kita sangka apabila diluah akan difahami
ironinya menemukan makna dari pintalan rasa itu tidak mudah,
wahai kita.
Jikalau tidak berada-ada,

masakan tempua bersarang rendah?
Ya sudahlah, jujur saja
tidak perlu berpura-pura.
Bersetuju biarlah dengan kefahaman
bukan sekadar untuk menyelesaikan,
tapi nun di sini sana dihambur propaganda,
kencang.
Kelak tersadung keputusan sendiri,
dengan alasan apa mahu bertongkat bangkit nanti?


Sembunyi hanya bila perlu,
bukan untuk berselindung dari kenyataan 
dan rasa puas nafsu.
Kalau tak jujur, nilai yang lain pun akan hancur.
Barangkali antara berlaku jujur dan menjaga hati,
ada garisan yang sering dilampaui.


Akal tak sekali datang, runding tak sekali tiba.
Andai kefahaman tiada titik temunya,
pengalaman orang di kiri kanan pun tiada berguna.
Air setitik hendak dilautkan, tanah segenggam hendak digunungkan.
Betapa sukarnya menjadi waras 
ketika persekitaran berubah iklim kewarasannya.
Berlaku adil lah, 
sekurang-kurangnya dengan perasaan sendiri.
Namun apalah jua imbalannya membicarakan bisa lebah 
kepada seseorang
yang selama hidupnya 
belum pernah merasakan sengatan?



Terlihat keras dan kuat, tapi hujungnya terlalu sensitif dan rapuh. Hendaklah ia disimpan rapi.
Cuma patah sedikit, sudah tidak mampu digunakan, harus diasah dulu, diasah dengan caranya yang tersendiri.
Apalah gunanya batang resam jika tidak mampu menumpahkan hasil kaligrafi?


Segala yang lepas sudah berada di sempadan hidup 
yang tidak mampu lagi dijajah. 
Walau bagaimanapun juga, kita tidak tahu entahkan apa pengorbanan dan perjuangan yang harus ditempuh seseorang itu untuk sampai ke detik ini, di fasa manapun.
Lalu penawar kita apa?
Teruslah bertahan dengan keyakinan, sangka baik lagi dan lagi.
Ujian Allah datang dalam pelbagai bentuk, 
semoga dikuatkan juga kita dari segenap arah.
Mudah-mudahan kesemuanya ujian yang mendekatkan, bukan hukuman yang melalaikan.


"Semoga dipermudahkan."
Acapkali diucapkan. 
Tapi, hati benar-benar mengharapkan keajaiban, setiap dari kita pastilah demikian; menga'aamiin'kan ucapan yang baik, doa-doa tulus daripada insan-insan sekeliling, agar urusan benar-benar dipermudahkan Tuhan.
Kita tidak pernah tahu, doa siapa yang lebih dahulu Tuhan kabulkan. 
Andai Allah takdirkan sesuatu berlaku sesuai yang kita hajatkan, apa benar asbabnya doa kita sendiri? Atau sebenarnya hajat yang tumbuh dalam doa orang lain yang Allah perkenan. 
Takdir Allah terlalu rahsia, hanya akan terungkai sampai waktunya yang tepat. 
Rahmat Allah, itulah yang dihajatkan sentiasa, selamanya, untuk ke syurga.
ولو لا فضل الله عليكم ورحمته

Kebesaran Allah. Kekerdilan kita.




Rapuh di situ, retak di sini.
Tercicir di hujung sana.

Moga Allah sentiasa kuatkan
 untuk mengutip bahagian-bahagian dari kehidupan ini
 dengan jalan ketaatan.

Pengakhiran Syawal 1440H,
TGG, MYS.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Transparent Teal Star