Oct 31, 2020
Rumah Tangga Syurgawi (Lirik)
Jul 19, 2020
Secarik Catatan Lama
gersang dipancar terik suria berbahang
sepi sendiri tak terisi, kosong
akibat terlalu mendamba
kesempurnaan.
Apalah lagi yang dikejar dalam kehidupan?
Andai diri masih dibelenggu kejahilan
hidup dalam bayangan kegelapan,
kaku terperosok bungkam
Sekali-kali tidak akan mampir ketenangan
andai enggan melakukan pengislahan
Tuhan merahsiakan
ketentuan hidup insan
untuk menguji setiap dari kita
mana yang lalai
dan mana yang taat
Secarik Catatan Lama yang ditemukan di celah buku latihan.
Jun 28, 2020
Hari Ini dan Semalam
May 9, 2020
Setengah Ramadan
Kelmarin bulan penuh, awan meminggir tak kelihatan, memberi ruang buat sang bulan memperlihatkan seri cahayanya, terang.
Semalam bulan pula tak kelihatan, diganti awan memenuhi langit malam luas terbentang. Ketersalingan yang seimbang.
Pagi ini, seusai subuh lagi aku sudah membuka sayap jendela seluasnya, nyaman udara menjenguk ke dalam, menyegarkan sekali. Burung-burung riuh bercicip saling bersahutan dari pepohonan di belakang rumah, merdu sungguh zikirnya menyapa pendengaran. Langit beransur-ansur cerah, matahari bakal mengintai dari timur sedikit masa lagi.
![]() |
| Bulan; isyak 14 Ramadan 1441H |
![]() |
| Bulan; sebelum subuh 15 Ramadan 1441H |
Dalam dimensi kembali mencari diri ini, aku temukan banyak hal baru juga hal-hal yang tidak pernah benar-benar aku beri tumpuan sebelumnya.
Tempoh hari aku menggunakan meja belajar si adinda bongsu untuk bekerja, di situ aku temukan sekeping kertas yang dikoyak, dan ditulisnya dengan pensel, dijadikan memo barangkali. Doa apa?
Cuma doa untuk hal sepele yang teramat kecil dan biasa bagi orang-orang yang sekilas terbaca. Mungkin tak terlintas di fikiran dek kita si dewasa untuk mendoakan perkara sekecil itu pada waktu mustajab doa. Mungkin.
Tapi bagiku, doanya tulus.
Nantilah aku ceritakan lagi jika kuat kemahuan.
Kemudian disapa seorang kakanda yang sudah agak lama tidak berjumpa, datang bertanya khabar dalam usaha mentafsir keadaan diri. Aku sambut baik, membenarkan segala telahan. Dia terkedu, lantas menenangkan dan mendoakan. Dikirimnya sebuah cerpen dan kata-kata 'tawar' (begitu katanya) yang sudah cukup memenuhi kebutuhanku kala itu.
Terima kasih, kanda. Malam itu, aku nyaman.
Kemudian lagi, aku dihubungi seorang sahabat yang runsingkan ahwalku bagaimana (maafkan aku yang tidak memanjangkan perkara dan mendiamkan diri beberapa ketika tanpa khabar berita). Aku semakin baik, biizniLlah, sedang belajar melepas pergi semua dengan seratus peratus penerimaan, total. Allah pastikan bantu hamba-Nya yang berusaha dan melabuhkan harap pada-Nya. Mudah-mudahan dibimbing diri untuk membina harapan yang baru, semula. Iya, jangan khuatir lagi. Aku tidak akan mensia-siakan Ramadan ini yang tidak ternilai harganya, entahkan ini yang terakhir buatku, tak siapa tahu, hanya Allah Penentu.
Pada hujung fasa isolasi ini juga, aku berasa dekat dengan seorang kenalan. Sudah agak lama kenal namanya, sering mengintai melalui posting dan status media sosial, tapi sejujurnya belum pernah bertemu mata, hanya menyapa di media. Dia yang manis dan baik budi, tak lokek memberi khabar, saling berpesan. Hati mana yang tak jatuh sayang?
Memadai rupanya begitu, asalkan didasari kerana-Nya segala.
Semoga Dia rezekikan sebuah pertemuan pada waktu terbaik.
Isnin lepas pula, telah selamat seorang kakanda kami yang dikasihi diijabkabulkan dengan kunci pintu syurganya, alhamduliLlah, barakaLlahu lahouma :)
Kakanda yang ini, sungguh cekal dalam penantian dan pencariannya, juga seorang yang berani dan siap menghadapi risiko untuk setiap pilihan yang ditegaskan. Ada sekilas persamaan pada karakter kami, ah ha baru perasan rupanya baru-baru ini. Patutlah ada antara konflik hidupku yang dia lebih memahami apa sebenarnya yang dibimbangkan hati, menjadikan nasihatnya lebih berbekas berbanding yang lain tatkala itu.
Sudah dua kali Ramadan sejak penantian dan pencariannya (seperti yang dikongsikannya padaku). Dan Ramadan kali ini kisahnya berakhir indah, walau sebulan ditangguhkan dari tarikh perancangan nikah mereka yang sebenar, alhamduliLlah Dia izinkan. Benar-benar pesan yang dititip buatku tempoh hari menjadi kenyataan untuk dirinya sendiri. Selamat berbahagia, Ciqqi!
Ramadan bulan penuh kemuliaan, bulan al-Quran, bulan perjuangan dan pelbagai keutamaan yang sering disebut dan diingatkan kepada kita menjelang ketibaannya.
Ramadan juga, bagi seorang hamba yang hati dan mindanya sentiasa dipenuhi persoalan dan pilihan silih berganti yang berselirat ini..;
... ialah bulan membuat keputusan-keputusan besar dalam kehidupan.Demikianlah yang menjadi peganganku beberapa tahun ke belakang ini.
Namun, untuk Ramadan yang ini selepas beberapa kejadian dan pertimbangan, aku memperincikannya semula;
Ramadan ialah bulan membuat keputusan-keputusan besar dalam kehidupan, kerana al-Quran.
![]() |
| Masih memperjuangkannya. |
Setengah Ramadan ini segalanya menenangkan, ma shaa Allah, alhamduLillah, biizniLlah.
Langit, burung, bulan, pepohon dan dedaunan, pembacaan dan tulisan, kelas-kelas online, kebersamaan dan kesendirian, jua hati kalian.
Terima kasih. :)
Ini cerita setengah Ramadan aku.
Kamu, bagaimana?
Semoga dilimpah kurnia-Nya yang sama,
bahkan lebih lagi hendaknya.
May 2, 2020
Hari Pulang
Rindu bersepai di halaman rumah sebelum sempat kaki menapak
ke ruang tamu penuh nostalgia itu.
Sekurang-kurangnya, dia sudah berikhtiar untuk berpamit daripada insan-insan yang membersamai awal fasa perjuangan di kampus balik bukit, taman ilmu dan budi yang sudah menjadi subjek rindu.
Semester akhir itu banyak sekali pengajaran yang belum pernah dia temukan di mana-mana. Entahkan yang terpantul dari pengalamiannya sendiri, juga yang diserap rentetan perasaan-perasaan yang terluah padanya oleh insan-insan yang meletakkan sepenuh percaya. Kadang dia khuatir memikirkan, apalah yang diharap dari dirinya yang terumbang ambing di lautan ujiannya sendiri. Hendak berenang melawan arus tidaklah dia handal, hanya berpaut pada pelampung dan tunggul-tunggul kayu berceracakan, melawan arus menjinak ombak.
Banyak orang memberi kepercayaan, justeru banyaklah kisah yang dia dengarkan,
sungguh dengan hati penuh dia terlebih sudi, diam mendengarkan dengan saksama, sedangkan air matanya sendiri telah tergenang pula.
Barangkali begini cara Allah meminjamkan kekuatan; dengan menjadi medium penguat kepada orang lain. Untuk itu tentulah dirinya yang harus terlihat kuat dahulu.
'Dari gesekan dan kesulitanlah, sebuah peribadi akan terbentuk matang.'
Dia ialah manusia yang masih percaya pada kudus doa dan rahmat Tuhan, mungkin sahaja bahasa takdir yang sedang ditempuhnya ini masih belum mampu difahamkan. Apalah daya seorang hamba yang lemah, manusia yang penuh keluh kesah.
"Apa yang mustahil berlaku hanyalah apa yang Allah tidak tetapkan takdirnya ia berlaku untukmu, bukan apa yang engkau tidak mampu lakukan."
Ini bukan pertama kali mengalami kejatuhan,
berasa tidak mampu bertahan.
Tetapi, nah, lihatlah. Bukankah sudah banyak fasa-fasa rapuh nan goyah yang berjaya dilepasi dengan izin-Nya sehingga tiba ke percaturan detik ini?
Bahkan ada yang bertanya, bagaimana dia tempuh semua?
Malah dia sendiri tidak tahu harus memberi jawab apa, tahu-tahunya sudah dilepasi.
Hari sebelum hari pulang, perbualan yang kemas dirakam dalam kotak fikiran;
"Akak rasa ini karma ke? Saya bimbang kalau-kalau yang jadi ni sebab silap saya."
"AstaghfiruLlah, jangan fikir macam tu, dik.
Setiap kali terdetik rasa nak salahkan diri sendiri, baca doa Nabi Adam AS banyak kali sampai tenang balik, cuba buat gitu. Kuatkan hati.
Rasulullah tak pernah buat sakit hati orang pun, tapi macam-macam orang buat pada baginda. Ya, kita tentulah tak sama macam Nabi, kita buat silap, tapi kita sedar mana silap kita dan cuba nak perbetulkan keadaan kan?
Ini ujian awak, dik. Akak tak tahu apa yang awak rasa tapi akak tahu memang perit. Ada sebab Allah uji kita. Sekurang-kurangnya kita rasa lebih nak dekat dengan Allah kan?"
Pesan-pesan yang sungguh berharga.
Akan dia kenang selama, yang dizinkan-Nya.
Kalau nak dibahas tentang mengeluhkan silap dan 'ungkit-mengungkit', tentulah manusia yang paling layak mengungkit itu Nabi Yusuf AS; dibuang saudara dipisahkan dari ayahanda, difitnah dipenjara sedang di mana silap baginda?
Juga Nabi Ayyub AS hampir hilang seluruhnya saat Allah menguji, tapi baginda memanjat syukur terus tanpa henti.
Inna Lillah. Jauh yang amat dengan peribadi sendiri.
![]() |
| Terima kasih kakak-kakak saya. :') |
Banyak sekali yang dia tinggalkan di sana, tinggalkan kenangan.
Ada hutang yang belum langsai rupanya, hutang budi. :')
Teruntuk Kak Hanum,
terima kasih atas kelapangan masa dan kemurahan hati. Mudah-mudahan Allah lapangkan segala urusan dan berkahi rezeki.
Buat Kak Syifa,
semoga setiap yang diimpikan itu dibukakan jalan-jalan pula untuk merealisasikannya. Terima kasih atas baik budi akak pada saya.
Kak Hidayah yang cekal hatinya,
semoga sabar dan rahmat-Nya sentiasa memeluk jiwa akak yang tegar menghadapi semua.
Kak Jihad
akak mengajar saya banyak benda walau kita kenal tak lama,
moga najah kbeer mengiringi liku-liku pengajian ini.
dan kepada Kak Halimah jiran depan,
akan sentiasa saya kenang si burung sepasang itu. Semoga yang baik-baik untuk akak, sentiasa.
Yang pergi, dilepaskan.
Yang kekal, diperjuangkan.
Yang datang, dimaknakan.
Semoga.
Hari ini hari pulang
dikawani doa dan harapan
riuh sepanjang jalan.
Semoga yang satunya nanti datang;
namanya keajaiban
untuk melerai segala
kusut persoalan hari ini
yang bergayutan.
Apr 12, 2020
Kontradiksi Mac
Meninggalkan dan ditinggalkan.
Pernah suatu hari diungkapkan pada seseorang yang padanya dibangunkan harapan dan kepercayaan, bahawa yang ditinggalkan itu terlebih perit, tapi menjadi yang meninggalkan itu tetap terasa sakit.
Iya, kisah ini kisah yang tidak dimulakannya dengan 'rasa',
tetapi dengan seteguh yakin dan sekebun percaya,
selebihnya murni tunas tawakkal bercambah dari-Nya
bersayapkan gerun dan harap,
moga rahmat-Nya memayungi di permulaan hingga ke akhirnya.
Rumit hendak menjaga hak manusia dengan hak Tuhan.
Bimbangkan ada garisan yang dilampaui,
malah rupa-rupanya terjerat dengan tali rasa sendiri.
14/1
Rentetan Oktoberant yang berterusan hingga ke penghujung semester.
Melawan ketidakpastian yang menghakis sedikit demi sedikit segunung kepercayaan yang didaki sejak beberapa lamanya, bersama-sama.
Malam itu; malam kenangan, mata bergenang.
Antara terus berjuang mempertahan atau melepaskan,
entahkan yang mana nanti akan dimenangkan.
Pilihannya ialah membiarkan yang di sana memutuskan, fikirnya begitu lebih baik.
Yang pasti, yang mendoakannya bukan cuma dia.
PadaNya diserahkan seluruh ahwal
dengan segenap lapis jiwa.
7/3, dan seterusnya
Seusai itu Senja jadi sendu
Yang turut berasakan perubahan diri, datang bertanyakan;
apa sebenarnya yang terjadi?
Bagaimana dilewati semua ini?
Tak terjawab, masih.
Senyum; itu yang dipamer buat tatapan orang.
Senyum yang sama dulunya menahan debar teruja kegembiraan,
senyum yang sama kini menahan ketar perit sebuah kekecewaan.
Mungkin zahirnya dalam paksa atau rela, kita perlu senyum.
Harus terlihat kuat untuk menguatkan, kerana tanpa sedar, insan di sekeliling kita juga senyum walau ada perit dalam jiwa, untuk menggagahkan kita.
Yang membersamai dari awal kisah ini, yang mendoakan sejahtera kisah ini,
terkedu tak menjangkakan;
ceritakanlah bagaimana akhirnya jadi begini?
Tak tercerita. Sungguh.
Cuma ingin berterima kasih yang paling dalam, paling terang,
dan memohon setulus kemaafan teruntuk semua atas sebaris perkataan
dan diam yang panjang,
sekadar itu yang mampu diberikan
sebagai imbalan jawapan.
kemudian
lagi
Hakikat
diri tidaklah gagah mana.
Sudah
berhari-hari. Hari ini sudah menghampiri tempoh 'pantang',
tetapi masih juga
tak dapat melupakan,
belum benar-benar
mampu membiasakannya.
Melepaskan.
Mengikhlaskan. Bukanlah hal yang senang dilakukan semudah menuliskan.
Kebiasaan
baru ini terasa betapa menyesakkan, apabila terpaksa mengusir kenangan-kenangan
terbaik yang pernah ada, serta ingatan-ingatan yang dulunya sentiasa bergayutan
di minda, dan kini sudah tidak seharusnya menari-nari lagi di tubir mata.
yang di
dalam bergelut sendu jiwa luluh
harapan
ranap runtuh, hiba merusuh.
Ah, cengeng
rupanya!
Kelemahan
diri di titik ini barangkali lantaran dia seorang manusia yang mengenang setiap
inci kenangan, yang menyimpan kemas setiap details kejadian, yang memeluk erat
segala ingatan yang berjuntaian pada ranting fikiran.
Yang
meninggalkan, dan akan meninggalkan kita itu sentiasa ada,
di fasa
hidup manapun. Yang tetap tinggal pun pasti ada
"Bila kita dah mampu senyum pada kisah perit yang kita lalui,
itu tandanya kematangan," kata orang begitu.
Walau masih ada butiran air mata tersisa.
Jiwa.
Begitupun berantakan,
moga tidak akan henti diri dari melakukan pembersihan padanya.
Rasa itu ada, sakit itu ada, tentulah.
Tetapi ‘moving on’ bukan soal menghilangkan perasaan.
mustahil dilalui dengan mudah.
Bersedih, tetapi tetap bergerak, itu move on.
Sederhanakan kesedihan, berdamailah dengannya.
Beri kemaafan pada diri sendiri, berikan masa.
tepatnya masa amat berharga sekali untuk 'move on'.
Bukankah sepatutnya tidak menjadi terlalu sukar untuk melepaskan
apa yang bukan milik kita?
Yang cuma pinjaman, amanah sementara Dia hadirkan buat mengisi hidup.
Sabar kerana taat, sabar dengan taqwa.
Sabar dalam bersabar, kerana utamakan apa yang Nabi SAW suka,
yang mengharap redha Allah SWT semata.
Hanya satu harap dia, moga hari ini dan seterusnya dia masih gagah untuk menggagah, masih kuat untuk menguatkan, masih bertahan walau apa pun yang datang
kerana dia punya Tuhan.
Allah SWT merancang dengan penuh cinta,
mana mungkin berbekas kecewa?
Allah SWT tidak pernah zalim terhadap hamba-Nya.
Pada akhirnya benarlah,
setiap 'tawakkal' itu pasti akan teruji.
Asbabnya pelbagai, musabbabnya hanya Allah.
Allah jualah yang mentadbir, mengatur rezeki ke atas setiap ciptaannya. Sedang musim panas Dia turunkan salji dan menghantar angin dingin, apatah lagi dengan segala ahwal kecil kita ini.
Dan pada akhirnya,
masih ada Allah Al-Wakeel yang menerima kekurangan
dan kelemahan setiap hamba-Nya. Baik sangka pada Dia, dan semua akan baik-baik saja.
Walau pada zahir mata manusia, seburuk perkara.
NastaghfiruLlah. HasbunaLlah wa ni3mal wakeel. :')
So after all this time?
Mac 2019 - Mac 2020;
Apr 6, 2020
Migrasi Rasa (rentetan Puisi 'Gua')
padaku sudah memadai.
Apr 4, 2020
Sakit (Lirik)
Tutuplah mata, peganglah hati
Kalau kau rasa diri kau sunyi
Jangan bersedih
Aku disini
'Ku akan beri kerjasama
Bangkit wahai kawan, hidup ini tak sempurna
Jangan selalu bersedih
Kujuga selalu terleka
Kesilapan lama bakal jadi rama-rama
Sakit aku bukan sakit dihati
Jadi sakit aku pendam sendiri
Rasa sakit ini tak akan berhenti
Kuterpaksa hadap walau penat lari
Kuterpaksa jatuh bila penat diri
Kuterpaksa hilang walau ramai cari
Jadi tolong ingatkan
Saat luar kawalan
Jadi tolonglah pesan
Aku ni manusia
Kubuat kesilapan
'Ku manusia biasa
'Ku yang berikan tangan
Jika engkau memerlukan
Jadi tolong jangan segan
Mar 1, 2020
Tulisan balas buat Hanan
Sahabatku yang baik,
ini ialah sebuah memoir, kupahat kembali perca-perca kenangan lalu, juga catatan harapan hari-hari mendatang.
Sahabatku yang tulus,
tahun ini dan tahun lalu aku rasakan tahun yang begitu banyak kejanggalan. Antaranya termasuklah berjarak denganmu. Benar, jasad kita jauh,
sudah lama kita tidak bertemu, semakin jarang juga kita berbual mesra. Kita masing-masing sedang memperjuangkan hidup di titik temu yang tidak lagi selari, seperti dulu.
Sahabatku yang jujur,
Aku sering berasa janggal kerana engkau tidak pernah melihatku ganjil dengan perwatakanku yang tidak handal mengekspresi.
Sahabat yang aku rindukan lebih kerap dari kekerapanku menggunakan pendrive kembar kita, ketahuilah bahawasanya aku juga berasa janggal tatkala kau bertanyakan "kenapa?" saatku berada di hadapanmu dan mataku gagal menyembunyikan luka. Aku diam, tapi kau tidak pernah memaksa aku membuka bicara. Kau akan bersenandung ceria, melagukan kisah-kisah lucu dan 'bbolah' setiap kali aku terlupa untuk ketawa.
walau beberapa tempoh kebelakangan ini antara kita tiada khabar berita, bertukar cerita, tapi aku tahu kau sentiasa ada. Aku berasa janggal apabila mendiamkan kekhuatiranku, sedang kau sudah terlebih dahulu mampu membacanya. Kau damaikan sebuah rasaku, kata kau; "perdamaian dengan takdir hanya perlukan masa.."
Juga saat kau jujur menata kata hatimu; "aku akan doakan mg sungguh-sungguh mizah, sebab aku pun terkesan sama. Aku tahu mg boleh, mg meme jenis kuat tanpa mg sendiri sedar benda tu.."
Sahabatku yang lembut hatinya,
percayalah, aku akan merindui segala tentangmu. Tentang suatu hari kau sebagai Timbalan Exco Sukan menyampaikan hajat agar aku sanggup mejadi pic acara ping pong pada Sukan Sea 2015 ketika kau berada di tanah air. Tentang episod petualangan kita di Selayangku Sayang pada cuti musim panas 2016. Tentang hari aku menemanimu masuk ke qa3ah di fatrah muraqabah nihaeiah Kenitra. Tentang Februari 2017 yang menghadiahi kita kenangan ke Ma3ridh Kutub, juga kisah kau ke maktabah La Colline untuk mendapatkan 'pendrive' yang sama, yang akhirnya kau bawa ia sampai ke tanah Andalusia, kau kirimkan gambar, ku simpan ia sebaiknya.
Tentang tudung bawal glitter merahku yang kau pinjam pakai gaya shawl ke Diskusi Bersama Dr MDB pada malam selepas kita bergelap dan kau bertanyakanku soalan di luar duga.
Sahabatku sayang,
aku berasa janggal bilamana tiada mampu diri ini berada di sampingmu, menadah telinga menumpangkan bahu meredakan rawanmu yang dahulu.
Janggal juga terasa andai di hari bahagiamu nanti aku tiada di sana menyaksikan senyum manis penuh syukur indah tersimpul di bibir menaikkan serimu di pelaminan.
Terlalu janggal untuk aku pinggirkanmu dari rutinku.
Aku juga begitu.
Aku akan sentiasa mendoakan yang indah-indah untukmu, selayaknya kamu.
Moga Allah rahmati ukhuwah kita, sampai nanti bertemu di 'menara cahaya'.
Kebahagiaanmu, kecintaanku.
Dec 31, 2019
2020; Mimpi, Visi dan Transisi
Minggu-minggu yang sarat. Menjenguk ke luar jendela, saya melihat matahari sudah mencapah cahayanya, menebar warna alam, transisi waktu dhuha menjadi dhoha' di lembaran terakhir 2019. Sampai juga kita ke titik akhir ini sebelum 2020 menyingkap tirainya. Pernah dahulu berasakan angka 2020 itu masih terlalu jauh, masih lama, tapi lihatlah sekarang, kurang 24 jam lagi berbaki. Entahkan dinanti-nanti, atau dikhuatiri kehadirannya.
Merenung lagi mencari-cari dari mana arah datangnya riuh cicipan sang burung sesama sendiri, tidak kelihatan ia di mana-mana, hanya bunyinya sahaja signifikasi kewujudan.
Di simpang jalan sana kelihatan beberapa orang siswi mengatur langkah ke kulliyyah sambil memegang tatap nota di tangan, barangkali sedang meredakan debar bakal menduduki ujian akhir semester beberapa detik lagi. Semoga dilapangkan mereka, kesemuanya.
Mengalih pandangan ke dashboard meja tulis, checklist dan notis Disember meragut perhatian. Alhamdulillah, hampir kesemuanya ditanda, tinggal dua. Setiap proses ada ansur-ansurnya, itu fundamental yang harus dipegang, namun yang mampu diselesaikan hari ini usah ditangguh ke esok hari, yang boleh diusahakan sekarang kenapa harus ditunda kemudian? Kata Fahri dalam 'Ayat-Ayat Cinta', "orang yang gagal merancang ialah orang yang merancang untuk gagal." Alhamdulillah lagi.
Merancang sesuatu menjadikan kita lebih jelas tujuan, sekurang-kurangnya. Mengikhtiarkan ke arah sesuatu itu merupakan pilihan masing-masing. Natijahnya, rezeki itu tetap hak mutlak Tuhan.
Masih segar lagi titip kata Kak Yuli tempoh hari (semoga Kak Yuli baik-baik saja khabarnya!), ".. setiap daripada kita punya kekurangan dan kelebihan masing-masing, tinggal nanti rezeki Tuhan itu yang menentukan keberuntungannya di mana, bagaimana."
Sambil bersyukur, saya sering bertanya sendiri, bagaimana kelak apabila rutinitas ini berakhir? Berapa lama tempoh untuk saya beradaptasi, lagi?
Semakin beranjak masa, semakin banyak pula yang menjadi kebimbangan. Mungkin kerana kita semakin banyak tahu, banyak persoalan, banyak pula justifikasi. Mungkin.
Teringat. Pernah ditanya oleh seseorang tentang visi hidup nun beberapa tahun terkebelakang. Soalnya;
"What is your vision?
What do you want to do for the sake of this world and your life?"
![]() |
| Pulau Redang, somewhere in 2011, I guess. Captured by Pak N. |
Tidak saya beri jawabnya. Waktu itu saya sendiri masih tercari-cari makna sebenar sebuah kehidupan ini. Hamba Allah? Khalifah Allah? Ya, saya tahu itu semua. Setiap kali diceramahkan pun akan membahas seputar isu dan kenyataan yang sama. Pi mai pi mai tang tu jugalah. Tetapi sekarang saya kira saya semakin faham betapa pentingnya yang disoalkan itu. Terima kasih buat yang bertanya.
2019 berakhir, 2020 bermula. Ia masih dalam kerangka proses menuju visi abadi. Di setiap selanya terhimpun untaian demi untaian cita-cita dan impian; yang jelas, yang samar kedua-duanya. Kata Paulo Coelho;
"You don't need to explain you dreams. They belong to you."
Pastilah kesemua kita punya cita-citanya yang tersendiri, sama ada yang dikhabarkan atau yang disimpan. Cita-cita yang sentiasa ada, tidak pernah terpadam. Impian yang sentiasa subur memekar, belum layu meluruh.
Tempohnya?
Setengah tahun? Satu tahun? Lima tahun? Sepuluh tahun?
Entah. Ada waktunya kita tidak boleh terlalu terikat dengan tempoh masa, kelak akan menjerumuskan kita dengan simptom membanding-bandingkan kemajuan tingkat hidup kita dengan orang. Bekerjalah. Berusahalah. Itu yang lebih utama.
Rabbi, izinkanlah hamba.
Kau susunlah. Kau berikanlah. Kau permudahkanlah. Kau berkatilah.
Hantarkanlah padaku orang-orang baik yang Kau kasihi untuk membersamai perjalanan ini, kekalkan bersamaku hamba-hambaMu yang beriman, yang boleh menegur tindak tanduk dan perkataanku, berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran, yang saling setia memimpin sesama sendiri mengutip bahagian-bahagian dari nikmat dan musibah kehidupan ini dengan jalan ketaatan.
Tetntang cita-citanya, sekarang masih kabur. Tetapi yakinku Kau akan membantu hamba-hambaMu, janjiMu tak termungkir. Tiada yang perkenan segalanya melainkan Engkau. Tiada yang membuka jalan-jalan yang tidak disangka selain Engkau.
Harus lebih mapan dan bersedia untuk berkarya dengan segala rasa yang menerpa beriring waktunya yang terbaik. Tidak mengapa untuk berbuat salah, asalkan jiwa sentiasa punya ruang yang besar untuk merendah diri dan belajar dari setiap khilaf.
Belajar sayangi diri. Sayangi insan-insan yang membersamai.
Sayang itu abstrak, menyayangi punya banyak cara untuk dimanifestasi. Tidak terhad dengan lisan atau dengan kebersamaan semata.
Terima kasih teruntuk kesemua watak; yang sentiasa di sisi tidak mengira jarak jauh dekat jasad ini, yang memandang bening seorang saya padahal betapa besar lompong diri, masih sudi mendampingi, sungguh jiwa merekalah yang terlebih jelita. Yang baru datang. Yang mendadak renggang. Yang jejaknya hilang, ketahuilah, saya tidak pernah pandai untuk mengungkap kata perpisahan. Tetapi saya akan cuba belajar untuk bawa diri, hanya jika yang satunya terlebih dahulu menapak pergi.
2020. Pertamanya, semoga percaya itu tidak sirna.
Kata Pak Hamka, "..kepercayaan itu tempat bergantung di dalam tiap perjuangan. Kepercayaan itulah kekuatan tempat bersandar bila kaki lemah melangkah. Ke sanalah dia berlindung pada waktu susah.."
Dan tetaplah yang mengatasi percaya itu adalah keyakinan pada Allah yang tidak berbelah bahagi.
2020. Keduanya, masih saya berhajatkan dan mengikhtiarkan sehabis daya hal yang sama seperti azam yang dbangunkan 1441H yang lalu. Tidak berkurang walau sedikitpun. Juga menambah rencah rasa dengan tulisan Mbak Apik, nukilnya, "Sederhanakan ekspetasi, tinggikan sabar, sempitkan ego, luaskan syukur. Berhenti menuntut hak, mulailah memenuhi kewajipan. Bumikan ikhtiar terbaik kita, langitkan niat karena-Nya."
2020. Ketiganya, menyerahkan setiap cita-cita dan harapan yang membuncah hanya pada Dia semata.
Kerana antara yang diingatkan oleh Habeebuna Rasulullah SAW, 'tawakkal itu setelah mengikat unta...' Allah tahu setiap satu yang diusahakan hambaNya biar sekecil zarah pun, Dialah Al-Hasib Yang Maha Menghitung, Dialah Al-Basiir Yang Maha Melihat yang di luar dan di dalam hati hambaNya, Dialah Al-'Alim Yang Maha Mengetahui. Dialah Ar-Rahman Ar-Rahim. HasbunaLlah wa ni3mal wakeel.
وَأُفَوِّضُ أَمْرِي إِلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَصِيرٌ بِالْعِبَادِ
Hari ini ulang tahunnya yang ke-empat. Antara antidote CikMijah. :)
اللهم فقه في الدين
31122019
Dec 10, 2019
Sebuah Tulisan; Di Sebalik Kedipan Mata & Perbualan Maya
Boleh jadi mimpi itu cara bertemu.
Bebas di minda, terpenjara di natura.
Setelah sekian pekan berselang siang dan malam, akhirnya aku menggenapkan hati dan menukang tulisan ini tatkala manusia yang lainnya bersesak di kafeteria untuk makan tengah hari. Tentangku jangan kau risaukan, aku belum lapar memandangkan sudah makan berat pagi tadi.
Apa khabarmu, kawan?
Lama sungguh kita tidak berpeluang bertemu mata, mencurah segala rasa dan menggeledah pengalaman masing-masing selari perjalanan hidup yang tiada jedanya.
Kalau dahulu kita dipisah jarak berbeza tempat pengajian, sekarang sudah tidak. Ah, membahaskan jarak lebih jelas rupanya, sehingga kita terlupa pasangannya; masa. Masa yang ajaib, menghadiahkan kita ceritera hidup yang pelbagai, ada antaranya yang hanya dibentuk lewat usia dan pengalaman.
Er, terasa janggal pula untuk memulakan.
Kawan, selain keluarga, kau kini milik masyarakat. Aku senang dengan pencapaianmu, kesibukanmu dan kesibukanku tentu jauh bezanya sehingga agak sukar untuk aku meraih khabarmu, maaflah, aku hanya meneka-neka sahaja sementelah belum berada dalam fasa tersebut.
Maaf juga, jika tulisan ini menggugat ketenteramanmu, aku tidak bermaksud membuatmu terganggu. Aku menyusun dan mendendangkannya di sini sekadar untuk melepaskan galau yang bergayut di tabir jiwa, tidak terlalu ketara sebenarnya, cuma sesekali diselak, kelihatan juga ia. Sejujurnya, tulisan ini tidaklah sepenting mana, aku sekadar ingin berkongsi, mahukah kau mendengar dendangannya?
Terima kasih, kawan. :)
Baiklah. Aku mula, ya?
Minggu lalu selesai sudah pembentangan terakhirku untuk semester ini, pembentangan terakhir untuk pengajian sarjanaku. Seperti kurang percaya bahawa ini sudah yang terakhir rupanya. Alhamdulillah. Allahu Akbar!
Betapa lega dan lapangnya jiwa ini hanya Tuhan Yang Tahu. Pembentangannya lancar, dan aku berasakan aku sudah mengikhtiarkan sehabis daya, natijahnya aku serahkan padaNya, moga bermanfaat dan difahami segala yang disyarahkan. Terima kasih atas doronganmu selama ini, aku sangat menghargainya.
Berbalik kepada pembentangan, aku membentangkan fasl awwal (bahagian pertama) yang dihadam dan diringkaskan dari sebuah kitab falsafah yang tinggi perbendaharan katanya berjudul 'أزمة العقل المسلم' (Krisis Akal Muslim). Kitabnya dalam Bahasa Arab, boleh juga didapati versi terjemahannya dalam Bahasa Inggeris, dikarang oleh Prof Emiritus Dr Abdul Hamid Abu Sulayman, rektor kedua UIAM yang setelah beliau disusuli Prof Emiritus Dr Kamal Hassan. Iya kau benar, tentulah perbahasan ini dalam jajahan subjek Islamization of Knowledge (IOK), wajibat yang dituntut Dr Adham yang sangat teliti dan tinggi himmahnya untuk subjek yang diajar beliau untuk kali pertama. Terlalu banyak yang ingin dikisahkan lagi tentang subjek ini, sebenarnya. Tidak mengapalah, aku pinggirkan dahulu kronologi yang selainnya, boleh ya?
Baiklah, kembali pada kisah pembentanganku tadi.
Seputar mauduk pembentanganku itu, ada beberapa hadis Nabi SAW yang perlu aku terangkan dan mencari keterikatannya dengan tajuk utama perbahasan - Krisis Akal Muslim. Dan hadis pertamanya ialah tentang niat, persis Imam An-Nawawi yang meletakkan hadis ini sebagai muqaddimah Al-Arba'in An-Nawawiyah, hadis yang tersangatlah biasa ditemukan di mana-mana, hatta kita sudahpun menghafal dan mempelajarinya semasa menekuni subjek PQS dahulu. (Ataukah subjek Pendidikan Islam semasa di lower form ya? Maaf, aku sudah lupa yang mana)
عَنْ أَمِيرِ الْمُؤْمِنِينَ أَبِي حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ:
" إنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى، فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إلَى مَا هَاجَرَ إلَيْهِ".
(أخرجه المسلم)
Masih terngiang-ngiang celahan Dr Adham tepat semasa aku memberi sedikit penjelasan tentang niat yang berkait rapat dengan konsep ikhlas; salah satu syarat diterima amalan. Beliau mengangguk-angguk, memberi perhatian. Kemudian dilontarkan soalan mudah sambil mengukir segaris senyum kebapaan, tidak lebih dari sekadar satu selingan pendek.
"Hal anti ta9dimiina lyaom lil ustaaz fa9at au Lillah?"
Entah kenapa, aku terkesima.
Mujur masih mampu mengawal riak wajah tenang, walau yang di dalam sudah dilanda air bah! Kelat rasanya. Mampukah kau bayangkan?
Aku tahu, beliau tidak cuma tujukan soalan itu kepadaku, bahkan termasuklah kesemua yang berada dalam kelas ketika itu. Dalam hatiku bisikkan istighfar.
Iya, 'bendanya simple' orang kata, yang kadang tidak terlintas pun di fikiran. Sebabnya?
Sudah terlalu biasa, sudah sebati menjadi rutin asasi. Perkara yang makruf harus dilaksanakan untuk mendapat sekian perkara. Sebagai seorang pelajar, haruslah ada tuntutan yang harus disempurnakan untuk dinilai dan dievaluasi, begitulah juga kita.
Betul lah mukmin itu harus itqan dalam setiap apa yang dikerjakannya, to please Allah, not others. Urusan sekecil ini pun selayaknya dipersembahkan dengan terbaik kerana Allah, apatah lagi untuk urusan-urusan yang besar. AstaghfiruLlah, aku khilaf, akulah yang lupa.
Seakan ia persoalan yang tidak hilang, mengetuk satu persatu jendela di benak fikiran.
Sepenting soalan, sedetik dilontarkan, sebesar pengajaran.
Sampai ke saat ini aku masih memikirkan.
Akal dan minda seakan tiada penat membahaskan isu yang sama sepekan ini.
Ilmu. Amal. Konsep hamba - khalifah. Menjadi baik dan memberi kebaikan. Pengajian Sarjana yang sudah hampir ke penghujungnya. AllahuRabbi.
Sudah sering aku ditanya, "bila habisnya?"
Dan setiap kali itu juga ada rasa sebak mengintai dari dalam, perlahan menyusup masuk menghuni jiwa yang berselerak rasa, entah apa agaknya yang mendominasi sekeping hati?
Sejujurnya aku belum mahu habiskan tempoh pengajian ini. Kalau selama ini aku menyangka 3 semester seharusnya memadai, sekarang tidak. Jika diluah pada orang, mereka juga hairan denganku, mahu apa lagi berlama-lama dengan tempoh pengajian?
Hakikatnya, aku sayangkan pengajian ilmu dan majlis-majlis talaqqi, aku kasihkan orang-orang baik yang aku temukan dalam pendakian plot ini, namun aku juga tidak betah dengan tuntutan assignments yang tak berkesudahan, juga sara hidup dan hal ehwal ekonomi diri. Aku kira, yang sebenarnya aku takutkan adalah fasa-fasa mendepan setelah berakhirnya fasa pengajian. Akan tetapi, hidup akan terus berjalan, usia sekarang akan terlewatkan juga, aku perlu berani menghadapi apa pun fasa selepas ini, bukan?
Sudah masanya aku 'memberi' pada masyarakat dan mengutamakan yang lain, sepertimu, kawan. Atau setidaknya menebar manfaat buat keluarga dan diri sendiri yang terutama.
Pilihan ini tidak pernah aku sesalkan, sama sekali tidak pernah. Walau ada kalanya keluhan itu terpacul jua dari lisan ini, aku kira ia manifestasi jasad, fikiran dan emosiku yang lelah, barangkali disebabkan jauhnya realiti dari ekspektasi yang aku laburkan.
Itulah. Sudah diingatkan berkali-kali agar lebih berwaspada dengan ekspektasi, tentang apa pun! Seronok kah meneka-neka dengan rasa?
Ah, maafkan aku yang tiba-tiba beremosi. Menjadi dewasa kian mengajar kita menyelam ke dasar emosi yang pelbagai, untuk itu aku perlu lebih gigih belajar untuk berdamai dan beradaptasi. Andai tersalah pilihan ini, aku belajar banyak hal rentetannya. Andai ia tepat, aku juga belajar. Terima kasih buat yang mempercayai pilihan ini, kaulah salah seorangnya, hatta hakikatnya kita tidak akan pernah tahu perihal tepat atau tidak, justeru harus tetap kita percaya bahawa setiap yang terjadi itulah yang terbaik. Aku sedang cuba memahaminya.
اللهم اجعلنا من الذين إذا علموا عملوا وإذا عملوا أخلصوا وإذا أخلصوا قبلوا عندك يا رب العالمين ونجوا من عذاب أليم
Kawan, jika kelopak matamu sudah berat, berehatlah dahulu, tidak perlu terburu-buru menghabiskan. Ceritaku masih ada lanjutannya.
Entahkan ini turning point ke berapa dalam hidup.
Izinkan aku kisahkan ini juga padamu; perihal peristiwa yang menempati plot pada suatu pagi Jumaat bulan Oktober sebelum diberitakan kejutan-kejutannya, aku menghadiri kuliah bulanan Ayyuhal Walad yang disampaikan oleh syaikhuna Alfadhil Ust Dr Ayman Al-Akiti, dianjurkan oleh Kulliyyah Economics and Management Sciences nun jauh di 'hujung dunia' (jika dihisab dari Mahallah Aminah). TabarakaLlah feek.
Ayyuhal Walad; karangan Imam Al-Ghazali, kitabnya kecil, nipis sahaja, jauh lebih sedikit helaian muka suratnya jika dibanding Matan Aljurumiyah, atau Hadis Al-Arba3in An-Nawawiyah. Dan sudah ku khatam baca ia.
Ajaibnya, setiap yang disyarahkan Alfadhil Ust, aku berasa takjub, sayu dan haru. Entahkan tepat atau tidak pemilihan perkataanku kali ini. Ah, sukar sekali menterjemahkan rasa ini menjadi kata-kata agar kau fahami tanpa perlu berfikir lama. Aku tahu, kau punya banyak prioriti.
Almuhim, jelaslah bahawa selama ini aku hanya sekadar 'membaca'nya sahaja. Sekarang aku faham kenapa Dr MDB membezakan antara perkataan 'read' dan 'recite'. 'Recite' lebih tepat untuk menterjemahkan kalimah 'iqra''. Menurutmu bagaimana?
Rentetannya lagi, dalam sebuah diskusi Prof Emiritus Dr Kamal Hassan berkisarkan Imam Al-Ghazali seputar muqaddimah kitab Ihya' Ulumuddin (sesi ini diadakan secara bulanan di M. Kamal Hassan Library, betapa aku terlalu ingin kau menyertainya semenjak aku sertainya kali pertama! Tapi malangnya sesi ini dijadualkan pada waktu kau bekerja), ada diterangkan tentang seorang yang berilmu yang sibuk dengan personaliti luarannya tetapi tidak 'menjaga' peribadi dalamannya; "بيت مظلم باطنه"
Umpama memiliki sebuah rumah yang hanya diletakkan lampu di luar, tetapi di dalamnya gelap gelita. Menyedihkan. Lantaran itu, Al-Ghazali sangat menekankan peranan hati; hati yang punya nafsu, yang dibahagikan pula dengan pembahagiannya yang tertentu.
Sedikit aku kongsikan di sini apabila seorang kekanda menata kalamnya;
".. bahawa kita ini manusia, takkan pernah kenal potensi sebenar nafsu ammarah dalam diri kita. Lantaran itu, Allah menegaskan untuk manusia menjauhi segala punca kerosakan diri dan kerosakan yang mampu kita sebabkan kepada orang lain. Adapun kita, tidak akan sunyi dari diuji untuk mendekati pintu kerosakan itu, kerana musuh yang bersembunyi takkan pernah berputus asa sehingga kita mati, binasa. Bentuk tipu daya sang musuh bahkan tidak kita ketahui dari arah mana datangnya. Jalan menjaga diri cuma satu, taqwa. Kalau didekati, jauhkanlah diri. Kalau kita pula yang mendekati, muhasabahlah nafsu itu ke mana tujuannya. Allah SWT pasti bantu hambanya yang berusaha menjaga dan memelihara kehormatan diri."
Au kama qaalat.
Cuma seperca persepsi, walhal masih panjang benar yang harus difahami dengan baik. Nanti kita bahaskan lagi tentangnya, biizniLlah.
"Get the knowledge, know how to worship Allah, and give benefit to ummah."Ilmu itu sifatnya memanfaatkan. Ilmu yang bermanfaat akan menjadikan seseorang itu lebih baik dari keadaannya yang sebelumnya. Bukan tidak pernah tahu apalagi diberitahu tentang ini. Boleh jadi kurang cakna tentang implikasi ilmu itu terhadap diri sendiri. Setinggi manapun peringkat pengajian, andai ilmu itu tidak bermanfaat, jadilah si penuntutnya itu sama sahaja,tiada qiimah, tiada miizah padanya. Inilah antara hal yang merusuh jiwaku pada minggu-minggu terkebelakang ini, aku khuatir andai tergolong aku dalam 'golongan yang sama sahaja, tiada beza', harapanku murni kepadaNya aku pohonkan agar Dia bantu aku menjadi seorang aku yang lebih baik dari segenap segi, dengan ilmu yang bermanfaat, sentiasa, selamanya, selagi hayat dikandung badan. Kerana ilmu yang bermanfaat itu salah satu pelaburan agung selain sadaqah dan doa anak yang soleh, andai nanti jasad ini luput ditelan bumi.
Sudikah kau bersama-samaku menyibukkan diri dengan ilmu dan hal-hal kebaikan untuk hari-hari selepas hari ini?
Kau tahu, kawan. Rasa-rasa asing tentang kekecewaan itu semakin disembunyikan, semakin menjadi nyata ia, lambat laun kan terlihat di mata juga, sesuatu yang tidak kita inginkan sama sekali.
Tidak adil begini, bukan? Seharusnya aku juga mendengarkanmu.
Apa sahaja yang kau dambakan, apa sahaja yang kau harapkan daripadaku, itu ialah hak-hak yang wajar aku dengarkan dan berikhtiar untuk penuhi, sekarang atau nanti. Luahkanlah impianmu yang kau timbun sekian lama. Ceritakan padaku, kawan. Kesibukan akan mengambil jedanya memberi ruang untuk kau bersuara, mendominasi. Aku mungkin tidak pandai 'mencari', namun aku kan tetap di sini, menunggu setiap patah katamu untuk aku perhalusi.
Kawan,
aku sering mendengar dan membaca kata orang, bahawa penantian itu satu penyeksaan. Iya, mungkin ada benarnya, namun aku punya perkiraan lain. Bahawa penantian itu satu perjuangan. Kau tahu tidak, apa yang diperjuangkan?
Tujuan.
Harus kita jelaskan dahulu tujuannya. Setelah itu baharulah kita tempa senjatanya; iaitu sabar dan yakin pada Tuhan. Dengan sabar dan yakin, penantian bukanlah satu penyeksaan, bahkan ia bertukar menjadi satu didikan, agar hati bersangka baik pada Tuhan. Juga, selagimana kita fahami tujuannya, maka penantian akan menjadi satu proses yang sangat berharga. Asal sahaja kita masih mahu memperjuangkan.
Rumit juga menjadi seorang aku,
pada kenyataannya ingin sahaja aku mengganggu di setiap pagi hari minggumu dengan soalan; "jadi harus bagaimana kita memandang hidup ini? Bagaimana untuk saling menguatkan sesama sendiri dalam mendepani ujian-ujian hidup yang tak terjangkakan? Kita ingin mengatur masa hadapan yang seperti apa?", atau "senandungkan padaku tentang tokoh-tokoh yang kau segani itu, bagaimana karakternya begitu ampuh sehingga berjaya menempah tempat di hatimu?" atau mungkin juga meminta pandanganmu tentang Elif Shafak dan perbahasan cintanya, tentang Rumi dan Tabrizi yang dikaryakan dalam 'The Forty Rules of Love' sambil menikmati sepinggan keropok lekor dan menghirup secawan teh pudina hangat, atau kopi kegemaranmu.
Realitinya tiada apa yang berlaku. Fikiran itu berlalu, dan segalanya seakan kaku. Seperti katamu, aku masih aku yang sama. Sayu rasa hati, tetapi aku sedar, aku tidak punya apa-apa untuk menepisnya selain diam dan muhasabah diri, mengharapkan keajaiban.
Ah, usah kau berasa bersalah.
Aku percaya, dan masih percaya bahawa kau orang yang baik, cuma sedang (mungkin) tewas dengan situasi. Tidak pernah terlintas di hati ini meletakkan kau sebagai puncanya, malah aku juga tidak menyalahkan sesiapa. Aku kira ia kronologi penting untuk ku tempuh, supaya aku belajar lebih mengenal dan berdamai dengan perasaan sendiri.
Barangkali jiwamu juga sedang bergolak dengan perubahan demi perubahan ini. Itulah hidup, kawan. "Ia umpama guli yang melantun; sentiasa mencari tempat sesuai untuk berdiam. Tiba masa, berhentilah ia usai ketemu apa yang dicarinya." Begitu tafsiran seorang kenalanku.
Untuk kau yang hadir dan hilang pada kedipan mata yang sama, semoga kita akan saling membantu dan mengingatkan tentang luasnya rahmat dan kasih sayang Tuhan.
Untuk kita yang sedang dan akan saling memperbaiki, mengasah peribadi dengan batu pengalaman yang berbeza, seganas apa pun lautan berombak membadai pantai rasa, semoga kita akan mampu tenang dan lapang menerimanya.
Semoga dengannya menjadikan kita seorang hamba yang sentiasa menghisab diri dan melakukan tazkiyah. Kalau dengan cara meluahkan padamu aku menjadi lega, maka akan lebih melegakan lagi menenangkan apabila kita lebih banyak berbual dengan Tuhan, seperti tausiyah Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid. Kepada Allah kita kisahkan semua perinciannya, meluahkan segala yang terbuku di jiwa, mengadukan setiap suka dan duka, menumbuhkan tunas-tunas doa yang telah kita tanamkan benihnya bersama-sama. Sama ada dengan hal yang kita hajatkan atau sebaliknya, Allah Maha Mendengar lagi Maha Tahu wasilahnya, ketepatan waktunya, maka dari situ kita belajar tentang keyakinan. Yakinlah.
Dan tentang satu hal lagi yang barangkali terpinggir dari perhatian kita; tawakkal dan penyerahan. Menyerahkan setiap hal ehwal kehidupan, perasaan, kesejahteraan jasadiah dan rohaniah bahkan seluruhnya kepada Allah.
Terima kasih sudi meneleku tulisan yang tidak seberapa ini hingga ke akhirnya. :)
Mohon dimaafkan atas segala khilaf yang berlaku, yang dalam sedar atau sebaliknya. Aku keliru bagaimana harus beraksi di posisiku sekarang. Walau bagaimanapun jua, aku akan sentiasa menyokongmu, mendoakanmu semoga setiap langhkahmu dipeliharaNya.
Hujan, ribut membadai, gersang, hangat melepuh, semoga kita akan tetap setia menjaga doa dan tujuan dengan tulus penyerahan padaNya Yang Maha Merencanakan. Seperti kata-katamu tempoh hari, " kita sama-sama doakan yang tebaik."
Dan untuk setiap yang kita hajatkan, semoga terkabul dengan cara yang paling indah. Aamiin.
di penjuru dadaku
yang sayu
lalu terharu.'
-Pertemuan, T. Alias Taib












